Jazakallahu Khairan

Friday, September 30, 2011

Jaga Dirimu Buat yang Menduduki exam!

Minggu ini, dalam kesibukan sempat juga menziarahi seorang adik usrah yang bakal menduduki SPM. Bimbang dengan kondisi kesihatannya lantaran 3 hari tidak hadir ke sekolah. Diharap adik-adik usrah juga buat semua pelajar yang bakal menduduki peperiksaan penting dapat menjaga kesihatan diri dengan baik di saat-saat akhir ini. Maklumlah di musim cuaca tidak menentu, macam-macam boleh berlaku.

Mengimbas kembali nostalgia di zaman sekolah menengah. Berlayar sebentar ke Portal Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia. Sebuah laman yang kerap dikunjungi sewaktu bergelar calon SPM dan STPM. Buat sekian lamanya, saya bertandang lagi ke web tersebut untuk menghitung hari-hari yang masih berbaki buat junior-junior yang bakal menduduki peperiksaan PMR, SPM dan STPM.
PMR: 4 hari lagi
SPM: 45 hari lagi
STPM: 52 hari lagi

Buat yang sudah bersedia, alhamdulillah. Buat yang belum bersedia, fi amanillah. Sedikit tips persediaan untuk sahabat-sahabat yang sedang melangkah ke stage seterusnya. Di saat-saat akhir ni, kawal mental dan emosi dari perilaku yang merugikan serta prihatin lebih pada fizikal dan rohani diri.

Pengawalan Mental
  • Pakar-pakar motivasi mengatakan setiap kejayaan bermula dari minda yang berfikiran positif. Baik yang anda fikirkan, baiklah apa yang anda lakukan. Usah berteka-teki dengan keputusan yang bakal diperolehi sebaliknya teruskan usaha hingga ke akhirnya.
  • Jangan menyerah kalah sebelum peperiksaan!
  • Di saat-saat akhir, elakkan sebarang tekanan kerana tekanan yang anda hadapi akan mencacatkan kualiti usaha.
Pengawalan Emosi

Hindari diri dari;
  • CINTA MONYET. Permainan perasaan ini akan menggangu konsentrasi dan melekakan.
  • Overconfident. Yakin sudah mampu mencapai lulus dengan cemerlang akan mematikan semangat dalam diri untuk menambah usaha.
  • Menyakiti hati orang sekeliling terutamanya ibubapa dan guru. Hati-hati ini sangat perlu untuk dijaga. Khuatir luka yang anda guriskan itu menjadi penghalang untuk menjawab soalan dengan baik sewaktu peperiksaan.
  • Prasangka buruk pada orang lain. Sikap buruk ini hanya akan merugikan diri. Atas faktor cemburu, kejayaan orang lain dianggap bala pada diri. Kegagalannya pula mendatangkan kegembiraan. Perlu diingat, kejayaan kita juga adalah hasil dari doa orang lain. Doakan kebaikan orang lain, insyaAllah akan lebih ramai yang mendoakan kejayaan anda.

Persediaan Fizikal
  • Rehat yang mencukupi. Di waktu ini bukan masanya lagi untuk bersengkang mata hingga larut malam. Tidur sekurang-kurangnya 5-8 jam sehari.
  • Jaga pemakanan. Elakkan makanan yang mengandungi bahan-bahan tambahan seperti MSG. Banyakkan memakan makanan yang boleh menguatkan daya ingatan seperti kismis, kacang dan kurma.
  • Membuat senaman ringan. Baik untuk salur darah dan sendi-sendi badan.
  • Menitik beratkan keselamatan diri.
Persediaan Rohani
  • Banyakkan meminta pertolongan dari Allah SWT. Mohonlah doa di waktu-waktu mustajab.
  • Perbanyakkan amal ibadat untuk memperoleh ketenangan. Amalkan solat sunat hajat, taubat dan witir. Juga bertahajjud di sepertiga malam.
  • Jauhkan diri dari maksiat. Awasi mata, telinga dan setiap perilaku dari perkara-perkara dan tempat-tempat yang berunsur maksiat. Risau ianya akan mengelapkan hati dan seterusnya menyukarkan proses menjawab soalan.
Jika terlupa, bacalah doa yang diajarkan ketika terlupa;

(Subhaa na man laa ya naa mu wa laa yas huu Allahumma zakkirnii maa nasiit) 3x

Maksudnya: Maha Suci Tuhan yang tidak pernah tidur dan tidak pernah lalai, Wahai Tuhanku, ingatkanlah aku apa-apa yang aku lupa

Kejayaan itu bukan satu destinasi, tapi sebuah perjalanan. Semakin jauh anda berjalan, semakin bagus anda jadinya. Ianya tidak berpenghujung....

Bit taufiq wannajah fil imtihan

Monday, September 26, 2011

Rehlah Sept KRUKK

Lihatlah alam, tidak putus-putus bercerita akan kehebatan Penciptanya. Melihat sebuah kesempurnaan di depan mata. Laut yang terbentang luas. Subhanallah.. Seluas saujana mata memandang, sebiru laut membisikkan sebuah ketenangan.

Alhamdulillah pada 24 September 2011, Kelab Remaja Ukhuwwah (KRU) cawangan Kota Kinabalu telah mengadakan sebuah rehlah bersama ahli yang dirancang ad-hoc. Rehlah yang diadakan di Taman Awam Teluk Likas bertujuan merapatkan hubungan sesama ahli dan membangkitkan semangat sahabat-sahabat yang bakal menduduki peperiksaan.

Syukran lihudurikum buat sahabat KRU Sipitang yang sudi hadir meraihkan sedikit jamuan yang disediakan. Dalam bersantai, beberapa aktiviti berbentuk kuiz diadakan bagi menguji tahap persediaan sahabat-sahabat yang bakal menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini.

Sekalung terima kasih, selaut budi buat senior dan junior yang sudi hadir. Jazakumullah khairan katsiran wa jazakumullah ahsanal jaza. Semoga dipertemukan lagi.

Saturday, September 24, 2011

Nilai Segulung Tikar Getah..

Hanya dengan sekecil-kecil perkara, kegembiraan dapat anda sebarkan kepada orang lain. Hatta hanya dengan sekuntum senyuman mahupun sepatah salam.

Hidup bermasyarakat lapang-lapangkan berkongsi rasa gembira agar ikatan yang dibina bertambah utuh. Bahkan menjadi sunnah Rasulullah untuk menggembirakan hati orang lain meskipun cuma seorang kanak-kanak.

Pada asalnya niat sekadar mahu menziarahi rumah senior PSS di Tuaran, secara tidak langsung bertukar menjadi misi menghulurkan bantuan ke rumah jiran sekampung. Merentasi jambatan, jalan-jalan kecil berlubang, batas-batas sawah padi, pagar-pagar buluh dan dawai-dawai besi berduri, akhirnya team PSS dan KRU selamat tiba ke tempat yang dituju, sebuah pondok kecil.

Sebarkan gembira ke seluruh pelusuk dunia.

Ada apa pada segulung tikar getah?

Di sebuah pondok kecil berdinding dan berlantai papan rapuh. Menjadi tempat sepasang suami isteri dan 4 orang anak kecil berlindung dan berpijak. Hanya segulung tikar getah setakat ini yang mampu disumbangkan menjadi alas duduk, makan, bermain, belajar dan tidur kepada keluarga ini. Orang dikota sibuk-sibuk menambah barangan yang tidak berkecukupan. Rupanya yang dibendang hanya mampu menambah rasa syukur setiap hari dalam meneruskan kehidupan.

"Jangan sesekali kamu memperkecilkan kebajikan sesekalipun ketika kamu mencurahkan air sehingga habis dari bekasmu ke bekas orang lain yang meminta air dan ketika kamu bercakap dengan saudaramu dengan menunjukkan muka yang manis kepadanya"
(Direkodkan oleh Tabrani)

Si Kecil Ika gembira memikul tikar getah

Sesi berkenal-kenalan

Khidmat memasang tikar getah

"Sesiapa yang membantu memenuhi keperluan saudaranya, Allah akan membantu memenuhi keperluannya dan sesiapa yang membantu melepaskan kesusahan Muslim, Allah akan membantu melepaskan kesusahannya pada hari kiamat."
(Direkodkan oleh Bukhari)

alhamdulillah, sekadar yang mampu

Misi mencari jalan pulang

Semoga post ini dapat melahirkan rasa senang kepada para pembaca untuk menyebarkan 'kegembiraan' kepada insan-insan yang sangat memerlukan. Insya-Allah akan dipantulkan kegembiraan yang berganda-ganda buat anda semula.

Selamat beramal!

Wednesday, September 21, 2011

Puasa 6; Syawal masih berbaki

Syawal masih berbaki.
Buat yang belum memulakan puasa sunat syawal, sudah-sudahlah dengan alasan "masih awal".

Cuti umum raya pada tahun ini agak pendek. Undangan open house hanya lebat di hujung minggu. Jadi mudahlah untuk melaksanakan puasa sunat syawal. Syawal bukanlah bulan untuk bersuka ria semata, tetapi telah disyariatkan puasa 6 hari bulan Syawal sebagai satu latihan. Bahwasannya amal ibadat itu bukan terletak pada bulan-bulan tertentu sahaja tetapi amalan itu perlu konsisten sepanjang hidup manusia.

Pelajar yang cemerlang akan berusaha untuk mendapatkan markah yang terbaik dalam setiap ujian yang diduduki. Kerana nilai-nilai nombor ini yang menentukan gred yang bakal diperolehi. Analoginya sama buat individu muslim yang menginginkan keputusan yang cemerlang sewaktu dihisab di akhirat kelak. Amalan-amalan sunat inilah yang akan membantu dalam menentukan mumtaz, jayyid jiddan sehinggalah rasib.

Gred apakah yang anda idam-idamkan untuk ibadat puasa pada tahun ini? Untuk gred terbaik cukup mudah dengan memenuhi syarat bertahan hanya untuk 6 hari di bulan Syawal.

Apa faedahnya berpuasa sunat syawal?

Pertama: Menampung mana-mana kekurangan puasa fardhu.

Sempurnanya ibadat seseorang terletak pada amalan sunat yang telah dilakukan. Bukan sekadar pelaksanaan ibadat yang wajib semata-mata. Umum mengetahui solat adalah perkara terawal yang dihisab kelak. Maka, solat-solat wajib akan dinilai dahulu sebelum solat sunat dihitung sebagai menutup mana-mana kelompangan yang ada di dalam amalan solat kita. Sebagaimana puasa, pasti ada yang terkurang di suatu sudut. Justeru, anda masih berpeluang untuk mendapatkan markah yang tinggi dalam penilaian puasa. Peluang masih terbuka dalam pelaksanaan puasa sunat enam hari di bulan syawal.

Kedua: Menggenapkan ganjaran berpuasa setahun penuh.

Rasulullah bersabda; “Setiap satu amalan kebajikan itu digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda”. Jika 1 hari berpuasa bersamaan 10 pahala, puasa sebulan akan bersamaan puasa selama sebulan. Dengan berpuasa sunat 6 hari, akan menggandakan pahala kita menjadi setahun.

Ketiga: Melakukan puasa syawal merupakan tanda diterimanya amalan puasa Ramadhan.

Para ulama berkata: “Pahala kebaikan adalah dengan kebaikan setelahnya. Siapa yang melakukan kebaikan, lalu setelahnya diikuti dengan kebaikan lainnya, maka itu bukti diterimanya kebaikan pertama”. Apabila Allah menerima amal ibadah seseorang, Allah akan memudahkan hambaNya itu untuk melakukan amal soleh yang lainnya.

Keempat: Melaksanakan puasa syawal adalah sebagai bentuk syukur pada Allah.

Tidak ada nikmat yang paling berharga selain mendapat keampunan dari Allah. Justeru, orang yang berpuasa di bulan Ramadhan berhak mendapatkan keampunan (maghfirah) dari Allah atas segala dosa-dosanya yang lalu. Dengan meneruskan amal puasa di bulan Syawal menzahirkan salah satu rasa syukur kita kepada Allah atas segala kebaikan yang telah diberikan.

Kelima: Melaksanakan puasa syawal menandakan bahawa ibadahnya berterusan, tidak bermusim.

كونــوا ربانيين ولا تكونوا رمضانيين

”Jadilah kamu hamba Allah dan janganlah kamu jadi hamba Ramadhan”.

Dengan berakhirnya musim Ramadhan kali ini, berakhirlah kebaikan berganda buat orang-orang yang berbuat baik dan keburukan berganda buat orang-orang yang berbuat buruk. Sungguhpun bulan seribu rahmat itu sudah berlalu, semoga ia tidak menjadi titik noktah amalan baik yang kita lakukan sepanjang Ramadhan. Amalan puasa tidak hanya terhad pada bulan Ramadhan, tetapi juga sunat dilaksanakan pada hari dan juga tarikh-tarikh tertentu.
Selamat menghabiskan puasa 6 hari di bulan Syawal!

Sunday, September 18, 2011

Kembali kepada fitrah, Ziarah yang berupa Ibadah

Salam Syawal ke-19!

Seindah namanya Aidilfitri, berlapang dirilah menyambut raya dengan kembali kepada fitrah asal diciptakan dimuka bumi. Jalan asal sudah diterokai, hanya tinggal perlu koreksi untuk meneliti dalam diri ciri-ciri muslim sejati yang wajar diaplikasi.

Sudah hukum alam, yang bertentangan dengan fitrah itu jelik dan merosakkan. Baju yang kotor akan melalui proses penyucian agar dapat digunapakai semula. Sesuai dengan pembawaan imej yang bersih dan selesa buat si pemakai. Begitulah juga hati, harus dijaga supaya sentiasa bersih bagi mengelakkan si pemilik berasa kusut dan gusar. Hati yang tenang perlu dipohon dari Allah. Selain memohon keampunan dan rahmat dari Allah SWT, hubungan sesama manusia juga harus diperbaiki. Minta di maafkan kesalahan dan pinta doa berterusan. Selain menyebarkan mesej ucapan raya, ziarah yang sudah menjadi amalan masyarakat Malaysia sewaktu hari raya juga adalah dituntut kerana ianya juga sebahagian daripada ibadat yang sangat besar fadhilatnya.

Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang menziarahi orang sakit, atau menziarahi saudaranya kerana Allah, dia akan diseru malaikat dengan seruan: Alangkah bagusnya engkau, alangkah bagusnya perjalananmu, sudah tersedia untukmu sebuah rumah di dalam syurga." (Hadis riwayat at-Tirmizi)

Alhamdulillah di hari lebaran ini berkesempatan menziarahi rumah sanak-saudara, guru-guru, sahabat handai, jiran tetangga dan beberapa kenalan. Juga dapat beramah mesra bersama ahli-ahli persatuan, mad'u-mad'u, keluarga angkat dan sahabat-sahabat PASTI. Semoga pertemuan yang dirancang mencambahkan lagi kemesraan dan keakraban kita semua. Lebar-lebarkan lebaran dengan ziarah-menziarahi.

Ala kulli hal, dalam memastikan ziarah ini berupa ibadah maka beberapa adab perlu dipatuhi dan diketahui. Secara ringkasnya;
1. Niat yang betul
2. Menghormati masa tuan rumah
3. Tidak meremehkan ibadah utama seperti solat
4. Memberikan salam juga senyuman yang manis
5. Menjaga pergaulan sesama muslimin dan muslimat
Gambar yang ada untuk dikongsikan..
Antara rumah keluarga angkat yang diziarahi

Antara rumah ahli/sahabat yang diziarahi

Thursday, September 8, 2011

Open House PSS & KRU


Salam mahabbah, salam ukhuwwah

Dengan berbesar hati Persatuan Siswazah Sabah(PSS) dan Kelab Remaja Ukhuwwah(KRU) menjemput tuan, puan, saudara saudari PSS dan KRU dari semua cawangan untuk hadir ke Majlis Rumah Terbuka dan Ramah Tamah Aidilfitri seperti keterangan yang berikut.

Tarikh: 10 September 2011 (Sabtu)
Masa: 9 Pagi - 12 Tengahari
Tempat: Masjid An-Nur, Tuaran

Sangat dialu-alukan buat yang hadir untuk membawa hidangan potluck mahupun kuih raya yang masih ber'bukit' di rumah :)

Atas kelebihan suku kaum yang bervariasi, boleh membawa juadah popular masyarakat masing-masing seperti buras, tumbu, nasu likku ataupun palopo sokko bagi yang berbangsa bugis. Juga buat yang berbangsa Bajau dengan kuih-muih tradisi seperti penjaram, kuih jala, baulu ataupun kalas. Kadazan-Dusun pula dengan hinava, tuhau mahupun noonsom bambangan sebagai hidangan sampingan. Juga dinanti-nantikan buat yang ringan tulang menyediakan rendang, kuah kacang atau mee kari. Berkonsepkan potluck, kita kumpul semua dan makan sama-sama.

Semoga juadah yang bakal disediakan dan juga kehadiran antum akan membawa keberkatan dan memeriahkan lagi majlis ini.

Sebarang pertanyaan, boleh terus menghubungi sdra. Azizul Julirin di talian 019-8106351.