Minggu ini, dalam kesibukan sempat juga menziarahi seorang adik usrah yang bakal menduduki SPM. Bimbang dengan kondisi kesihatannya lantaran 3 hari tidak hadir ke sekolah. Diharap adik-adik usrah juga buat semua pelajar yang bakal menduduki peperiksaan penting dapat menjaga kesihatan diri dengan baik di saat-saat akhir ini. Maklumlah di musim cuaca tidak menentu, macam-macam boleh berlaku.
Mengimbas kembali nostalgia di zaman sekolah menengah. Berlayar sebentar ke Portal Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia. Sebuah laman yang kerap dikunjungi sewaktu bergelar calon SPM dan STPM. Buat sekian lamanya, saya bertandang lagi ke web tersebut untuk menghitung hari-hari yang masih berbaki buat junior-junior yang bakal menduduki peperiksaan PMR, SPM dan STPM.
PMR: 4 hari lagi
SPM: 45 hari lagi
STPM: 52 hari lagi
Buat yang sudah bersedia, alhamdulillah. Buat yang belum bersedia, fi amanillah. Sedikit tips persediaan untuk sahabat-sahabat yang sedang melangkah ke stage seterusnya. Di saat-saat akhir ni, kawal mental dan emosi dari perilaku yang merugikan serta prihatin lebih pada fizikal dan rohani diri.
Pengawalan Mental
- Pakar-pakar motivasi mengatakan setiap kejayaan bermula dari minda yang berfikiran positif. Baik yang anda fikirkan, baiklah apa yang anda lakukan. Usah berteka-teki dengan keputusan yang bakal diperolehi sebaliknya teruskan usaha hingga ke akhirnya.
- Jangan menyerah kalah sebelum peperiksaan!
- Di saat-saat akhir, elakkan sebarang tekanan kerana tekanan yang anda hadapi akan mencacatkan kualiti usaha.
Pengawalan Emosi
Hindari diri dari;
- CINTA MONYET. Permainan perasaan ini akan menggangu konsentrasi dan melekakan.
- Overconfident. Yakin sudah mampu mencapai lulus dengan cemerlang akan mematikan semangat dalam diri untuk menambah usaha.
- Menyakiti hati orang sekeliling terutamanya ibubapa dan guru. Hati-hati ini sangat perlu untuk dijaga. Khuatir luka yang anda guriskan itu menjadi penghalang untuk menjawab soalan dengan baik sewaktu peperiksaan.
- Prasangka buruk pada orang lain. Sikap buruk ini hanya akan merugikan diri. Atas faktor cemburu, kejayaan orang lain dianggap bala pada diri. Kegagalannya pula mendatangkan kegembiraan. Perlu diingat, kejayaan kita juga adalah hasil dari doa orang lain. Doakan kebaikan orang lain, insyaAllah akan lebih ramai yang mendoakan kejayaan anda.
Persediaan Fizikal
- Rehat yang mencukupi. Di waktu ini bukan masanya lagi untuk bersengkang mata hingga larut malam. Tidur sekurang-kurangnya 5-8 jam sehari.
- Jaga pemakanan. Elakkan makanan yang mengandungi bahan-bahan tambahan seperti MSG. Banyakkan memakan makanan yang boleh menguatkan daya ingatan seperti kismis, kacang dan kurma.
- Membuat senaman ringan. Baik untuk salur darah dan sendi-sendi badan.
- Menitik beratkan keselamatan diri.
Persediaan Rohani
- Banyakkan meminta pertolongan dari Allah SWT. Mohonlah doa di waktu-waktu mustajab.
- Perbanyakkan amal ibadat untuk memperoleh ketenangan. Amalkan solat sunat hajat, taubat dan witir. Juga bertahajjud di sepertiga malam.
- Jauhkan diri dari maksiat. Awasi mata, telinga dan setiap perilaku dari perkara-perkara dan tempat-tempat yang berunsur maksiat. Risau ianya akan mengelapkan hati dan seterusnya menyukarkan proses menjawab soalan.
Jika terlupa, bacalah doa yang diajarkan ketika terlupa;
(Subhaa na man laa ya naa mu wa laa yas huu Allahumma zakkirnii maa nasiit) 3x
Maksudnya: Maha Suci Tuhan yang tidak pernah tidur dan tidak pernah lalai, Wahai Tuhanku, ingatkanlah aku apa-apa yang aku lupa
Kejayaan itu bukan satu destinasi, tapi sebuah perjalanan. Semakin jauh anda berjalan, semakin bagus anda jadinya. Ianya tidak berpenghujung....
Bit taufiq wannajah fil imtihan
No comments:
Post a Comment