Syawal masih berbaki.
Buat yang belum memulakan puasa sunat syawal, sudah-sudahlah dengan alasan "masih awal".
Cuti umum raya pada tahun ini agak pendek. Undangan open house hanya lebat di hujung minggu. Jadi mudahlah untuk melaksanakan puasa sunat syawal. Syawal bukanlah bulan untuk bersuka ria semata, tetapi telah disyariatkan puasa 6 hari bulan Syawal sebagai satu latihan. Bahwasannya amal ibadat itu bukan terletak pada bulan-bulan tertentu sahaja tetapi amalan itu perlu konsisten sepanjang hidup manusia.
Pelajar yang cemerlang akan berusaha untuk mendapatkan markah yang terbaik dalam setiap ujian yang diduduki. Kerana nilai-nilai nombor ini yang menentukan gred yang bakal diperolehi. Analoginya sama buat individu muslim yang menginginkan keputusan yang cemerlang sewaktu dihisab di akhirat kelak. Amalan-amalan sunat inilah yang akan membantu dalam menentukan mumtaz, jayyid jiddan sehinggalah rasib.
Gred apakah yang anda idam-idamkan untuk ibadat puasa pada tahun ini? Untuk gred terbaik cukup mudah dengan memenuhi syarat bertahan hanya untuk 6 hari di bulan Syawal.
Apa faedahnya berpuasa sunat syawal?
Pertama: Menampung mana-mana kekurangan puasa fardhu.
Sempurnanya ibadat seseorang terletak pada amalan sunat yang telah dilakukan. Bukan sekadar pelaksanaan ibadat yang wajib semata-mata. Umum mengetahui solat adalah perkara terawal yang dihisab kelak. Maka, solat-solat wajib akan dinilai dahulu sebelum solat sunat dihitung sebagai menutup mana-mana kelompangan yang ada di dalam amalan solat kita. Sebagaimana puasa, pasti ada yang terkurang di suatu sudut. Justeru, anda masih berpeluang untuk mendapatkan markah yang tinggi dalam penilaian puasa. Peluang masih terbuka dalam pelaksanaan puasa sunat enam hari di bulan syawal.
Kedua: Menggenapkan ganjaran berpuasa setahun penuh.
Rasulullah bersabda; “Setiap satu amalan kebajikan itu digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda”. Jika 1 hari berpuasa bersamaan 10 pahala, puasa sebulan akan bersamaan puasa selama sebulan. Dengan berpuasa sunat 6 hari, akan menggandakan pahala kita menjadi setahun.
Ketiga: Melakukan puasa syawal merupakan tanda diterimanya amalan puasa Ramadhan.
Para ulama berkata: “Pahala kebaikan adalah dengan kebaikan setelahnya. Siapa yang melakukan kebaikan, lalu setelahnya diikuti dengan kebaikan lainnya, maka itu bukti diterimanya kebaikan pertama”. Apabila Allah menerima amal ibadah seseorang, Allah akan memudahkan hambaNya itu untuk melakukan amal soleh yang lainnya.
Keempat: Melaksanakan puasa syawal adalah sebagai bentuk syukur pada Allah.
Tidak ada nikmat yang paling berharga selain mendapat keampunan dari Allah. Justeru, orang yang berpuasa di bulan Ramadhan berhak mendapatkan keampunan (maghfirah) dari Allah atas segala dosa-dosanya yang lalu. Dengan meneruskan amal puasa di bulan Syawal menzahirkan salah satu rasa syukur kita kepada Allah atas segala kebaikan yang telah diberikan.
Kelima: Melaksanakan puasa syawal menandakan bahawa ibadahnya berterusan, tidak bermusim.
كونــوا ربانيين ولا تكونوا رمضانيين
”Jadilah kamu hamba Allah dan janganlah kamu jadi hamba Ramadhan”.
Dengan berakhirnya musim Ramadhan kali ini, berakhirlah kebaikan berganda buat orang-orang yang berbuat baik dan keburukan berganda buat orang-orang yang berbuat buruk. Sungguhpun bulan seribu rahmat itu sudah berlalu, semoga ia tidak menjadi titik noktah amalan baik yang kita lakukan sepanjang Ramadhan. Amalan puasa tidak hanya terhad pada bulan Ramadhan, tetapi juga sunat dilaksanakan pada hari dan juga tarikh-tarikh tertentu.
Selamat menghabiskan puasa 6 hari di bulan Syawal!
No comments:
Post a Comment