Jazakallahu Khairan

Monday, January 31, 2011

Berhujung minggu di Sipitang

29-30 Jan 2011 mencoretkan 1 lagi memori indah. Buat pertama kalinya menjejakkan kaki ke Sipitang membantu menjayakan program Qiam Perdana KRU cawangan Sipitang bersama rakan-rakan seperjuangan. Anggaran 2 jam setengah perjalanan, menghilangkan penat. Pelik, mungkin kerana teruja dapat bersua dengan sahabat seperjuangan KRU di Sipitang.
kamera tertinggal di rumah pabila asyik mendengar celoteh cik Nafisah, kamera phone pun jadila :)

Jam 4.20 petang, rombongan pertama sampai ke Masjid Haji Hashim. Peserta kelihatan berlegar-legar disekitar masjid tatkala menanti meja pendaftaran dibuka. Terima kasih kepada kancil merah kepunyaan En. Fazren yang cukup berjasa.

Program berlangsung dengan mukadimah pemberian taklimat dan penghargaan alu-aluan kepada para peserta program. Peserta seramai 25 muslimin dan 19 muslimat menjadi penyeri di sepanjang aktiviti berlangsung. Masing-masing mempunyai kelebihan dalam berhujah, bertutur juga dalam berlakon. Bersemangatkan laungan "Satu.....Akidah!"
sesi memberi 4 rukun

Tunjuk ajarku Sifu - Akhi Arif dan Akhi Amin

Mereka geng lidah. Sibuk berbincang berkenaan si buta

Udara Sipitang cukup bersih dan nyaman, lebih-lebih lagi di waktu pagi. Usai berqiam, aktiviti di teruskan dengan beberapa aktiviti ringan dan slot terakhir iaitu "Berhasilkah aku?"
pantai di belakang masjid~ saya xtipu. Sangat cantik dan segar

Wakil PSS dan KRUKK bergerak kembali ke lapangan asal tepat jam10 pagi menaiki bas express. Tiba di terminal pada jam 12 lebih. Buat yang berminat untuk ke Sipitang, tiket KK-Sipitang bernilai RM15 sahaja.

Akhirul kalam, semoga sahabat-sahabat Sipitang terus istiqomah dalam memajukan diri dan masyarakat setempat bersesuaian dengan tuntutan Islam. Syukran jazilan atas jemputan dan memori yang indah sepanjang waktu di sana.

Sepantas awan berarak, ku harapkan diri ini juga akan terus bergerak.

Sunday, January 23, 2011

Mari Bercinta~

Beberapa hari lepas saya didatangi seorang junior mengadukan kekeliruan yang dihadapi. Mehnah yang sukar untuk ditempuhi. Bukan calang-calang, mencabar iman dan ketaqwaan diri. Agak tergamam mendengarkan kisahnya. Dari butir-butir katanya terjelma keikhlasan untuk tetap setia memegang tali Allah.

"Ketahuilah adikku, diri ini juga mungkin akan menemui mehnah sebegitu rupa. Malah mungkin lebih sukar lagi. Hanya Allah yang mengetahui” monolog saya di dalam hati.

Soal hati, soal cinta? Siapala diri ini mahu memberikan nasihat soal ini. Takut-takut akan diuji semula dengan bicara sendiri. Otak ligat memikirkan nasihat yang wajar diberi. Boleh dikatakan saya agak allergic bila berbicara soal ini. Tidaklah allergic yang gatal-gatal badan atau muntah-muntah itu tapi sensitive tatkala mendengarnya.

“Sekali engkau terjebak, penawarnya sukar dicari.”

Mengapa sensitive? “Cinta Ini Membunuhku”. Seperti tajuk sebuah lagu pula. Kerana cinta itu dulu yang pernah meragut sahabat kecintaan, dulu cinta itu yang pernah menjadikan diri ini lupa di antara Tuhan dan syaitan. Cinta itu juga yang dulu hampir memadamkan memori matlamat hidup ini. Ahh semua kerana cinta, hidup jadi tidak tentu arah!

Tapi benarkah cinta yang harus dipersalahkan?? Kasihan cinta. Sudah dipanggil buta, dituding pula selaku punca segala-galanya. Cinta terus mendiamkan diri, hanya mampu memerhatikan gelagat orang yang menjadi hamba cinta. Cinta manusia, cinta harta, cinta dunia.

Cinta terus bermonolog. “Aku memang buta, aku memang tidak mengenal sesiapa bahkan tidak mengenal halal dan haram. Hakikatnya aku ini suci lagi indah. Hanya bergantung kepada cara kamu untuk menguruskan aku."
Hakikatnya, Ketiadaan cinta juga mengundang masalah. Tanpa cinta ada ibu yang sanggup membuang anak, ada saudara yang sanggup memperkosa saudara, bilangan binatang bertopengkan manusia pula semakin ramai. Cinta itu anugerah, ia sukar dicari sukar juga diatasi. Benda yang susah itulah menjadi imtihan(ujian) untuk menguji keimanan.

Raja kepada cinta adalah Allah SWT. Allah merupakan kekasih yang paling memahami walhal dengan hanya 1 sifat cintaNya dilontarkan ke bumi, berkasih sayanglah semua makhluk termasuk binatang. Kita mahukan seseorang yang sempurna di hati untuk dicintai, seseorang yang kacak untuk ditatapi, seseorang yang soleh untuk saling memperingati, atau juga seseorang yang penyayang untuk saling mengasihani. Maka mintalah pada Tuhan yang Maha Pemberi. Sandarkan sepenuhnya kepada Allah sebaik-baik penentu kehidupan bahkan tiada sebarang kerugian dalam mencintai Allah sebagai yang terutama.

Ya Allah, diri ini hamba yang dhaif, lemah dan hina,
Kau bantulah agar diri ini tidak tergolong
dalam kalangan mereka yang kufur,
Jadikan diri ini semakin kuat dan dekat denganMu.
Berikanlah pengakhiran yang baik Ya Allah.
Kesusahan dunia ini biarlah ia menjadi bahan
untuk kesenangan di akhirat kelak~

P/S: berkenaan title di atas, pembaca yang bijaksana lebih arif soal sambungannya :)

Monday, January 17, 2011

Aku Impikan Jalan yang Sederhana

"Hidayah itu milik Allah"

Ringkas si sahabat cuba bersahaja walaupun matanya turut memancarkan kilauan kaca yang hampir tumpah.

Perihal ini bukan suatu yang baru buat pendukung agama. Melihat sahabat yang dulunya menjadi mujahid pemangkin semangat juang anak bangsa, dialah srikandi yang berani tampil dalam membela nasib agama suatu ketika, sanggup mengorbankan masa dan harta kala menepis anasir negatif yang menodai anak-anak muda.
pilihan di tangan anda

Hari ini, tampak yang gagah itu masih 'gah' tapi dalam sudut yang berbeza. Kibaran panji perjuangan yang dulunya dijulang tinggi hampir-hampir mencecah ke tanah. Nyaris dipijak pula dek kaki yang dulu langkahnya terbuka luas menyampaikan amanah khalifahnya. Dulunya mujahidah ayu dipagari tajam duri mulai membuka ruang untuk lebih didekati.
Bila disapa katanya, zaman remaja hampir tamat. Dia belum merasa apa yang si fulanah lain rasakan. Mahu juga tubuh dilitupi pakaian yang menarik pandangan ribuan kumbang. Mahu juga rasa disayangi oleh si kumbang. Mahu juga merasa hidup bebas tanpa dipandang naqib/naqibah, ustaz/ustazah, ikhwah/akhawat jundullah. Argh, tension aku mendengar usrah. Apa ceramah? apa halaqah? Tiada jaminan kebendaan dan masa depan katanya.

Kecundang si anak adam, berdekahan syaitan gembira bersahut-sahutan. Kecundangnya membawa belasan anak muda yang menjadi idola perjuangannya suatu ketika dulu. Ini bukan isu yang baru, tapi isu yang membuatkan hati kian celaru! Mungkinkah salahnya pada niat suatu ketika dulu? atau...atau...atau...semua membatu, tanda tak tahu.

Katanya faham, faham dan faham tapi mungkin sengaja berbuat tidak faham. Susah di situ, kata mindanya "saya tahu". Dia mampu merungkai segala persoalan. Buntu memikirkan adakah dia sudah lupa pada al-Khaliq, al-Basir, al-Muhaimin, ar-Razzaq? Adakah dia sudah mengikis keimanannya dalam sekelip mata? Mana rasa kepercayanya pada ketentuan Allah dalam masa depannya? Kepercayaan kepada malaikat kiri dan kanan yang mencatit segala amalan baik buruknya? Kitabullah yang dipeluk erat setiap berkunjung ke mana-mana? Kecintaan pada Rasul Allah yang berlumuran darah menegakkan kalimah Allah? Kebangkitan pada hari akhirat yang memaparkan kembali segala perbuatan? Bahkan qada dan qadar, takdir pada kehidupan, jodoh, pertemuan dan kematian?

"Rehatkan dia buat sementara" akhirnya.

Itukah futur? Datangnya tanpa bayangan. Wahai penulis, hari ini dirimu tampil mengkritik si fulan dan fulanah. Jangan lupa, futur akan terus mencari mangsa. Wajar diri gusar memikirkan kekerapan futur itu bertandang, takut hingga satu saat dirimu juga tidak mampu lagi untuk menongkah.

Bagus jika ada suis yang boleh ditekan semasa kecemasan

Rasulullah SAW bersabda:
"Sesungguhnya jiwa itu bisa dilanda jemu, dan sesungguhnya seseorang dari kalian tak tahu kadar waktu semangatnya, maka hendaknya ia memperhatikan mana ibadah yang ia mampu lakukan, lalu ia tekuni, karena sesungguhnya amalan yang paling dicintai Allah adalah amalan yang dilakukan dengan sinambung walaupun sedikit "

Kemudian Rasulullah saw bersabda:
"Janganlah engkau membuat jiwamu membenci ibadah, kerjakan ibadah yang engkau sanggup, sesungguhnya Allah tidak akan bosan hingga engkau bosan"

Beliau Rasulullah saw bersabda kembali:
"Hati-hatilah engkau dari bersulit-sulit memaksakan diri dalam melaksanakan agama, karena Allah telah menjadikanya mudah. Maka ambilah darinya apa yang engkau mampu, sebab Allah mencintai amal shaleh yang langgeng walaupun sedikit."

di tempat lain cucu Rasulullah saw Ali Zenal Abidin ra berkata:
"Janganlah engkau membuat jiwamu tidak menyukai ibadah, kerjakanlah ibadah yang engkau mampu lakukan"

dan Ali Bin Abi Thalib ra berkata:
"Rayulah nafsumu untuk beribadah, berlemah lembutlah terhadapnya dan jangan engkau paksa ia. Ambilah saat santai dan semangatnya, kecuali dalam hal ibadah yang wajib atasmu, sebab ia harus dilaksanakan dan diperhatikan tepat pada waktunya"
















Aku impikan jalan yang sederhana~

Pesan Umar ra;
"Lakukan muhasabah terhadap diri sendiri sebelum orang lain melakukannya terhadap diri anda, timbanglah dirimu sebelum orang lain menimbangnya, dan hiaslah diri anda untuk hari penampilan yang luar biasa."

Perlu Bercakap Baik, Bersemangat, Berani dan Berdisiplin!!


Alhamdulillah setinggi-tinggi kesyukuran atas keizinanNya program Qiamullail Kelab Remaja Ukhuwwah cawangan Kota Kinabalu telah berjaya dilaksanakan dengan bantuan anjuran daripada Persatuan Siswazah Sabah. Qiam Perdana ini dilaksanakan bermatlamat melahirkan para daie yang berkualiti. Program yang dirangka telah diadakan pada 8-9 Januari bertempat di Masjid Universiti Malaysia Sabah.

Bagi melahirkan peserta yang lebih berkualiti, penganjur telah menetapkan kuota kepada 50 orang peserta bagi qiam kali ini. Hasil gabungan dari sekolah yang pelbagai-SMK Tebobon, SM Perempuan Likas, SMK Likas, Maktab Sabah, SM Agama Kota Kinabalu dan juga jemputan khas mujahid mujahidah dari KRU Tuaran, penyertaan mencapai 44 orang.

Qiam pada kali ini berlainan sedikit daripada qiam-qiam yang sudah. Selaku penggerak, tidak sewajarnya terus memberi tanpa perlu menerima input-input yang baru. Kali ini AJK KRUKK selaku tuan rumah turut menjadi peserta yang bersedia untuk diprogramkan oleh PSS. Pengisian yang disampaikan cukup berguna. Peserta didedahkan dengan pelbagai aktiviti yang melibatkan keyakinan dan kepimpinan dalam diri. Turut disajikan dengan tips-tips sebelum, semasa dan selepas berucap sebagai persediaan kepada para daie untuk turun ke medan dakwah.
Subhanallah~

Gambar dan rujukan lanjut di: PSSKK atau sini

p/s: Program seterusnya akan menyusul :)

Sunday, January 16, 2011

Liqo' KRUKK

Kelab Remaja Ukhuwwah cawangan Kota Kinabalu telah mengadakan liqo' di antara Majlis Tertinggi dan AJK dari setiap lajnah pada 16 Januari 2010 bermula pada jam10 sehinggalah jam12 tengah hari. Perbincangan memfokuskan permasalahan dari kalangan pengerak dan seterusnya brainstorm untuk pimpinan yang akan datang. Turut bersama adalah saudara Renifezri selaku pengerusi Persatuan Siswazah Sabah cawangan Kota Kinabalu yang banyak menghulurkan bantuan dalam melancarkan perbincangan. Alhamdulillah, perancangan sekian lama untuk bersua muka dengan penggerak KRUKK oleh saudara Shahfieq iaitu pengerusi KRUKK dapat juga dilaksanakan dengan izinNya. Semoga cuti seminggu yang bermula 15 Januari 2011 lepas dapat dimanfaat oleh saudara Shahfieq sebaiknya demi Islam.
Mudah-mudahan segala urusan dipermudahkan

jazakallahu khairan kathira

Perkongsian Anjal yang Terlewat

Taubat ketika senja - Mati tidak mengenal usia
Kita yang tua ni la yang sepatutnya banyak ikut program-program agama macam ni.” Sepotong ayat dilontarkan seorang makcik tua berkaca mata. Sambungnya lagi, di usia yang dilabel dekat dengan kematian itu perlu diisi dengan aktiviti kerohanian agar dapat mengingatkan diri kembali kepada pencipta. Saya tidak berniat untuk mencuri dengar perbualan sekelompok wanita berusia yang duduk semeja dengan kami. Suaranya yang kuat tidak mampu memekakkan telinga untuk tidak mengambil tahu. Hati bertasbih mengucapkan kalimah Alhamdulillah, semoga taubat mereka di terima Tuhan. Tapi hakikatnya mati tidak mengenal usia. Tidak semua manusia mati disebabkan tua. Dan tidak semua terdetik untuk bertaubat ketika tua.

Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:

"Bahawa malaikat maut memerhati wajah setiap manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang sedang gelak ketawa. Maka berkata Izrail: Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok bergelak ketawa."

Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa diperhati oleh malaikat maut, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa mengingati mati akan sentiasa beringat-ingat dengan kematian. Manusia sedar hakikat setiap yang hidup pasti akan mati kecuali Allah SWT, tetapi manusia menilai kematian dari prespektif yang berbeza.

Ada yang menganggap kematian adalah suatu tabi'e sebagai pendapat golongan atheis, dan tidak kurang pula orang yang mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebabnya yang zahir sahaja. Ada yang mengambil logik kematian disebabkan oleh sesuatu tragedi. Diakibatkan oleh peperangan, bencana alam atau kemalangan. Kematian juga dilihat disebabkan oleh serangan penyakit yang membawa maut.

Disebabkan manusia melihat kematian hanya dari sudut sebab musabab yang lumrah, maka manusia sering mengaitkan kematian itu dengan kejadian-kejadian yang disebut di atas. Jika berlaku kematian di kalangan mereka, lantas mereka bertanya, "Sebab apa si fulan itu mati, sakit atau kemalangan?".

Tidak ramai manusia yang mengaitkan kematian itu dengan kehadiran malaikat maut yang datang tepat pada saat ajal seseorang sudah sampai, sedangkan malaikat maut sentiasa berligar di sekeliling manusia, mengenal pasti memerhatikan orang-orang yang tempoh hayatnya sudah tamat.

Dalam firman Allah Taala yang bermaksud:

"Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mencepatkannya."
(Surah Al-A'raf: ayat 34)

Berat sebelah.
Banyak perkara yang membuka minda dalam program pemantapan dakwah anjuran HALUAN pada 23-24 Disember tahun lalu. Hanya saya saja yang lambat berkongsi di blog atas kekangan yang mungkin sengaja dibuat-buat.

Dalam program ini isu diskriminasi amat popular dalam kalangan makcik-makcik sebentar tadi. Samada di waktu makan mahupun aktiviti berkumpulan. Petah berkata-kata, ”umat Islam itu bersaudara tapi kenapa ada yang membeza-bezakan di antara mualaf dari kalangan tempatan dan warga asing?” Bersuara atas dasar pengalaman. Terangnya lagi, masalah diskriminasi ini bukan diada-adakan dari kalangan mualaf itu sendiri tetapi dari kalangan pengajarnya. Masya-Allah. Golongan yang berfikiran mengklasifikasi inilah yang menjadikan Islam dipandang jumud. Hanya taqwa yang membezakan manusia di sisi Allah SWT.

Firman Allah,

“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (QS. 49:13)

Sepintas lalu Program Pemantapan Dakwah. Biar gambar berbicara.
Kenangan bersama Dr Abdullah Sudin Abd Rahman (Batik Ungu)
& Ustaz Mohd Zamree Kautis Abdullah (Batik Hijau berkaca mata)

Bersama Ustaz Abu Hurairah Abdurrahman

Dari Kiri : Dr Azizan bin Ahmad ,Tuan Hj Awaluddin bin Nasution
& Tn Hj Sainuri bin Yahmin

Saudara baru dari SAHABAT

Wakil PSS (kekok mengenalkan diri melalui platform PSS)

Laporan lanjut program boleh terus rujuk ke sini
Gambar daripada saudara Hasmadi

Monday, January 3, 2011

Kembali ke Pra tadika.

Hari ini (03 Januari 2010), hari bermulanya persekolahan bagi pelajar-pelajar sekolah rendah menengah mahupun mahasiswa-si di universiti. Ibu bapa tidak kurang peningnya mengurus kemasukan anak-anak bagi yang berusia seumpama darjah 1 ataupun pra tadika. Bermacam-macam ragam dapat ditonton.

Bagi lepasan exam besar(berstatus pengangur), normal akan ditanya masa cuti diisi dengan apa. Di kepala saya hanya memikirkan bekerja tanpa gaji kerana sudah memahami ketegasan ibu bapa yang tidak membenarkan kerja bermajikan.

IKUT NASIHAT ATOK
Naluri saya kuat mengatakan atok merupakan seorang yang strict kepada anak-anaknya tapi penyayang kepada cucu-cucu beliau. Sebarang pekerjaan yang kurang sesuai dengan syariat agama adalah ditegah sama sekali bagi cahaya mata perempuan. Hatta sekadar kerja sembilan juga tidak dibenarkan sekiranya pekerjaan terbabit melibatkan waktu kerja yang padat(tiada masa untuk solat), selesai malam atau perlu memakai seluar beserta baju t-shirt apatah lagi tuck-in. Lagi perlu melayan pelanggan termasuk lelaki yang bukan mahram juga bersubahat menjualkan barangan seperti arak dan rokok. Tapi sekatan ini tidak menghalang anak-anak atok dari mendapat pekerjaan yang terjamin. Masing-masing sudah menjadi guru mahupun pegawai bank.

IKUT PESAN AYAH
Keberanian untuk mendapatkan keizinan bekerja menjadi tumpul sekiranya diajukan kembali pertanyaan, 'Adakah bapa sudah tidak mampu menampung keluarga?' atau 'Apa lagi yang belum mencukupi?'. Niat dibatalkan. Memahami kepayahan ibu bapa mencari rezeki membanting tulang empat kerat membesarkan anak-anak, sebagai anak saya berasa malu untuk meminta duit berulang-ulang kali bagi memenuhi keperluan gerak kerja. Boleh jadi relod, tambang, minyak kereta atau wang keperluan untuk lain-lain perkara. Gaji kerja sementara sekurang-kurangnya dapat mengurangkan beban sampingan tersebut, juga buat simpanan melanjutkan pelajaran kelak.

Alhamdulillah, dengan izin Allah hari ini saya telah memulakan tugas sebagai guru sementara di Pusat Asuhan Tunas Islam As-Solihin. Kebenaran yang mudah diperolehi menyakinkan bahawa saya bukan dilarang bekerja tetapi dijaga :)

sangat comel budak ini bila tersenyum

hairan melihat kawan sekelas yang menangis

Aras kagum dan hormat mendadak naik terhadap guru tadika. Bukan sekadar perlu menjaga tetapi juga perlu mengasuh anak-anak kecil yang bermacam ragam. Bagi saya, kepuasan dapat dicapai bila berjaya membuat anak murid berasa selesa(berhenti menangis), juga berinteraksi. Doakan semoga saya dapat mendidik anak-anak kecil seusia 3-4 tahun yang bermacam karenah ini.

Hari pertama melayan karenah:

Dari Zeekry the comeloteh banyak celoteh boy;

"Cikgu, kenapa nama cikgu macam ikan yu?"

"........ (haha)"

"Cikgu suda ada berapa orang anak?"

"eh? cikgu nampak macam ada anak suda ka?"

"ndala, cikgu nampak muda. Saya ingat cikgu kawan yang mo belajar sama-sama kami tadi."

haha @_@