Jazakallahu Khairan

Saturday, January 5, 2013

Musafir di bumi Tuhan.

Indah bumi ini pada 'teguran'Nya.

Ini bukan kali pertama saya melihat bumi yang hijau bertukar menjadi coklat pasir. Dataran rata yang menggantikan gunang ganang beserta bangunan kotak yang menghiasi kota. Jordan ini juga sebahagian dari bumi Syam. Kapal masih di udara dan saya masih selamba. Sudah saya dimaklum urusan masuk ke Jordan tidak terlalu ketat. Jika kapal ini menuju ke Syria, saat itu pasti saya sedang gelisah.


Disebabkan syarikat penerbangan membatalkan tiket return saya ke Syria baru-baru ini, segera saya menukar arah ke Jordan setelah pihak universiti memaklumkan penerimaan saya sebagai salah seorang pelajar yang berjaya mendapat tempat perpindahan dari Syria. Sekurang-kurangnya sempadan Mafraq, Jordan dan Syria tidaklah jauh berbatu-batu seperti jarak Syria ke Malaysia. Hanya 15 minit perjalanan. Semoga negara itu segera aman sebelum saya menamatkan pengajian.

Hikmah kembara, membuka mata.

Beralih dari merenung mendung di hati, ada baiknya merancang cara untuk mengisi perpindahan ke tempat baru dengan nafas dan semangat baru. Hikmah bermusafir ada disebut di dalam Al-Quran yang menyuruh umat Islam mengembara. Firman Allah SWT yang bermaksud: 

“Tidaklah mereka menjelajah di muka bumi, supaya mereka mempunyai hati yang dapat memikirkan atau telinga dapat digunakan untuk mendengar? Kerana sebenarnya bukan mata yang buta, tetapi yang buta ialah hati dalam dada.” (Surah al-Hajj, ayat 46) 

“Katakanlah: mengembaralah kamu di muka bumi kemudian lihatlah bagaimana kesudahan orang-orang yang telah lalu (yang telah dibinasakan); kebanyakan mereka adalah orang-orang musyrik.” (Surah ar-Rum, ayat 42) 

Secara ringkas, hikmah musafir: 
1. Menghilangkan kesedihan yang menimpa diri.
2. Membina kehidupan dan impian baru.
3. Memperolehi ilmu baru.
4. Menguatkan jiwa.
5. Membina keputusan malah mengubah pandangan daripada statik kepada lebih dinamik.
6. Bergaul dan berkenalan dengan pelbagai rencam dan budaya manusia dan bangsa.

Inilah impian kebanyakan orang, untuk mengembara dan merasai pengalaman berada di negara orang. Telah dinyatakan bahawasannya individu yang duduk sahaja di suatu tempat tidak akan sama dengan orang yang telah bergerak di banyak tempat. Namun sempadan perlu diletakkan supaya tujuan bermusafir itu biarlah ibadah, bukan untuk berbangga-bangga apatah lagi bermaksiat. Berusaha untuk meraih taqwa dihujung pengembaraan. Moga dibukakan minda saat melihat keindahan alam yang pastinya berbeza dengan tempat kelahiran.

p/s: Moga dipermudahkan urusan buat mereka yang turut mengimpikan kembara mengenal pencipta.