Seorang panglima pasukan pertahanan Yahudi, Moshe Dayan telah menggariskan 3 kelemahan
umat Islam dalam hasil penulisannya. Artikel ini pada awalnya ditentang oleh musuh-musuh Islam sebelum beliau
meyakinkan akan sifat umat Islam yang malas membaca. Di dalam penulisan tersebut beliau menyatakan, 3 punca utama umat Islam lemah adalah,
- Tidak belajar dari sejarah lampau
- Tidak merancang
- Malas membaca
Jika diperhati, ketiga-tiganya jelas merujuk kepada pembacaan dan ilmu. Adapun andai kita seorang yang rajin membaca telah diperingatkan oleh Imam As-Syafie dalam
kata-katanya,
“Ilmu itu
ibarat binatang buas, jika ingin mendapatkannya ikatlah dengan pena ”
Mencari ilmu yang hilang di pena tulisan? Adalah pelik lagi merugikan dalam senario ini, adapun pembaca gemar menulis tetapi hasil tulisannya hilang tidak meresap ke dalam diri sendiri. Sungguhpun berjilid-jilid
kitab dibelek, kajian demi kajian diterokai, begitulah juga curahan pandangan yang
dikongsi bagi menghasilkan sebuah tulisan. Tujuannya untuk menyampaikan isi penting
dan lontaran gugusan idea. Namun, pelik bila diteliti kesannya umpama kosong di
dalam diri. Umpama menukilkan tulisan di atas pasir pantai, hilang disapu
ombak.
Bagaimana mahu memahat ilmu yang telah dicatit? Sesetengah
pihak mengatakan ketiadaan ilmu kerana kurangnya pembacaan. Justeru, bagaimana
pula yang gemar membaca tetapi tetap kosong tiada apa-apa? Ya. Mungkin ilmu itu
ada cuma kita tidak amalkan.
Bila membaca semula contengan dan coretan tulisan lalu,
terasa hairan. Seolah-olah blog ini bukan saya yang punya. Ke mana hilangnya
segala isi penting itu? Mungkinkah yang diserap menjadi tulisan, hasil cut and paste bukan copy
untuk dikongsi? Alangkah ruginya.
Mendengar kata-kata Ibnu Mubarak, sudah cukup membuatkan
diri terhantuk,
‘’Seseorang itu sentiasa alim
selama mana dia menuntut ilmu. Apabila datang persepsi yang beliau sudah alim,
maka jahillah dia’’
Ibarat diketuk dengan tukul, bengkak. Moga bengkak ini
terus membekas sebagai ingatan. Insya-Allah.
Golongan Yahudi mempunyai ilmu tetapi tanpa amal, mereka dimurkai Tuhan. Golongan Nasrani pula mereka beramal tanpa ilmu lantas mereka menjadi sesat. Oleh itu
Allah perintahkan kita berlindung dari dua puak ini. Seperti kataNya dalam
surah al-Fatihah ayat 7,
صِرَ ٰطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّاۤلِّينَ
“bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat” (1:7)
Penjagaan ilmu berkait dengan kerendahan hati. Setiap pengejar
ilmu perlu memaknai hakikat ini hatta memperoleh
tingkat ilmu paling canggih pada zamannya kerana Allah jualah yang mengajar dan
memberi kefahaman dari setiapnya.
الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ“yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan” (96:4)
Mungkin suatu ketika dulu adapun pena dan tulisan dilihat sebagai
benda tidak bernyawa. Bahkan dinilai tidak mempunyai kekuatan juga tiada sebarang pengertian
kepada manusia. Adapun nilai sebuah pena hanya diketahui Allah hinggakan dalam
surah pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad, Allah telah menyebutnya. Maka dari benda kaku itulah telah Allah jadikan sebagai alat bantu mengajar kepada manusia bagi memperjelaskan ilmu dan menyampaikan risalah terdahulu.
No comments:
Post a Comment