Jazakallahu Khairan

Monday, January 16, 2012

Hudud: Ketegasan Bersulamkan Kelembutan

Saya tertarik dengan post terbaru yang dikongsikan oleh muslimahversatile berkenaan hudud. Dengan izin beliau, hasil penulisan itu saya pamerkan semula di laman ini. Semoga ada pencerahan kepada yang membaca..



بسم الله الرحمان الرحيم

Mungkin ada yang menilai saya menulis entry ini kerana saya pro-PAS dan cuba membawa apa yang PAS bawa. Maaf, saya menulis ini bukan kerana ingin menjelaskan apa yang PAS cuba bawa kepada rakyat Malaysia, tapi saya ingin sama-sama berkongsi apa yang ISLAM cuba bawa kepada penduduk-penduduk di bumi Allah ini.

Alhamdulillah, kini saya menuntut di Tahun 4 Kuliah Dakwah Islamiah, Mujamma’ Syeikh Ahmad Kiftaro, Damsyik, Syria. Sistem pengajian kami agak berbeza dengan university lain. Kami tidak menggunakan system semester, tetapi masih mengamalkan system tahunan, seperti system sekolah-sekolah di Malaysia.

Kami mula belajar untuk sesi baru pada bulan 11 setiap tahun, dan akan menduduki peperiksaan pada bulan 6 tahun selepasnya dengan purata subjek yang di bawa setiap tahun sebanyak 15 subjek. Subjek feqah merupakan salah satu subjek wajib setiap tahun. Tahun 1 kami mendalami feqah bab thoharoh. Tahun 2 pula fiqh ahwal Syakhsiah. Tahun 3 pula fiqh mu’amalat. Manakalah pada tahun 4 kami mendalami fiqh jinayat.

Alhamdulillah, saya diberi peluang belajar tentang hukuman hudud dan jenayah di bumi Syria ini. Untuk entry kali ini, saya tidak akan menjelaskan hukum hudud dari awal hingga akhir. Tetapi ingin berkongsi serba sedikit tentang kelembutan yang tersulam di sebalik ketegasan hukum sebatan hudud ciptaan Sang Pencipta terhadap manusia kerdil yang bernama manusia.

Hukum sebatan di dalam hudud dikenakan kepada penzina (bujang), Qozaf, dan peminum arak. Hukuman tidak dijalankan sesuka hati, tetapi perlu berlandaskan syarat-syarat yang telah di gariskan Islam.

Alat sebatan adalah cemeti kulit yang bersaiz sederhana, tidak terlalu tebal dan tidak terlalu nipis, tidak juga terlalu keras dan tidak terlalu lembut. Cemeti itu mestilah mempunyai satu hujung sahaja, tidak boleh sekiranya hujung cemeti itu bercabang dua atau lebih.

Cara memegang cemeti adalah dengan meletakkan cemeti di antara jari telunjuk dan jari manis atau diantara jari kelingking dan jari manis. Tujuannya supaya sebatan yang dikenakan kepada pesalah tidak terlalu kuat dan dapat mengawal sebatan itu secara sederhana. Ketika pensyarah saya menunjukkan cara memegang cemeti yang betul, semua kami di dalam kelas yang terdiri dari pelajar Arab, Somalia, Rusia, Cina dan Melayu terpaku melihat lembutnya cara hukuman yang telah di tetapkan oleh Islam. Tiba-tiba terdengar suara seorang pelajar arab..

“Anisah, memang lembut begini ke cara pelaksanaan hukuman hudud dalam Islam?” Tanya pelajar arab itu.

“ Ye, memang lembut beginilah hukum Allah.Kamu semua terkejut melihat hukum Allah seindah ini? Masyarakat memang begitu, bila dengar sahaja tentang hudud mereka membayang suatu hukuman yang ganas dan teruk. Tetapi sebenarnya hukum Allah itu indah..”Jawab pensyarah kami.

Berbeza dengan sebatan yang di amalkan sekarang sama ada di penjara ataupun sekolah-sekolah iaitu dengan mengenggam rotan di antara ibu jari dan jari telunjuk, supaya kekuatan sebatan secara maksimum dapat diberikan.

Kadar pukulan adalah sederhana. Tidak di pukul terlampau kuat dan tidak juga terlampau lembut. Orang yang menjatuhkan hukuman itu pula tidak boleh menghayun cemeti itu hingga melebihi paras kepala. Hm, bayangkanlah..sekuat mana pukulan itu…

Pesalah di sebat di bahagian belakang badan ( و الكتفين الظهر) , disebat dalam keadaan pesalah itu duduk, tidak dilentangkan badannya, dan tidak di ikat atau di pegang oleh sesiapa. Sekirannya pesalah itu mengelak ataupun lari ketika hendak di sebat (akibat kesakitan), pesalah tidak perlu di kejar.

Ketika hukuman di jalankan, pesalah lelaki perlu membuka baju dan dalam masa yang sama menutup aurat mereka, iaitu menutup dari pusat hingga ke lutut. Manakala bagi pesalah wanita pula, aurat harus di tutup seperti biasa, tetapi pesalah harus memakai sehelai pakaian yang nipis.

Berbeza dengan hukuman sebat yang dijalankan sekarang, badan pesalah dilentangkan dan di ikat, pesalah di sebat di bahagian punggung, Orang yang menjalankan hukuman itu pula menghayun semaksimun mungkin rotan yang terdiri dari pelbagai saiz ketika menyebat pesalah dan aurat pesalah sama sekali tidak terjaga ketika hukum di jatuhkan, iaitu bahagian punggung di biarkan terbuka begitu sahaja tanpa ada sehelai kain pun menutupinya. Allahurabbi…

Hayunan sebatan sivil

Bilangan sebatan dalam Islam adalah sebanyak 100x bagi penzina, 40x(syafie) atau 80x (jumhur) bagi peminum arak, dan 80x bagi qozaf. Sebatan itu dipukul secara berturut-turut. Namun, sekiranya akibat dari sebatan itu pesalah kelihatan sakit ataupun dengan menyambung sebatan itu dikhuatiri pesalah akan cedera (memberi kesan negative kpd pesalah secara kritikal), maka sebatan boleh diberhentikan dan disambung pada waktu yang lain.

Hukuman sebatan tidak di jalankan ketika hal pesalah itu masih mabuk, atau pun pesalah itu sedang sakit. Tidak juga di sebat dalam cuaca yang terlampau panas dan juga cuaca yang terlampau sejuk, dikhuatiri akan memudaratkan kesihatan pesalah.

Ketika sedang rancak pensyarah saya menjelaskan tentang hukuman sebatan di bilik kuliah, tiba-tiba ada seorang budak Rusia yang duduk di hadapan saya mengangkat tangan memberi isyarat kepada pensyarah yang dia ingin bertanyakan sesuatu.

“ Anisah, boleh tak di Negara yang tidak mengamalkan hukuman hudud, ulama’ di Negara itu yang menjalankan serta menjatuhkan hukuman hudud kepada rakyat yang bersalah? ” Soal budak Rusia itu.

“ Tak boleh.. hukuman hudud mesti dijalankan oleh pemerintah setiap Negara. Pemerintah pula akan melantik qadhi untuk menjalankan hukum hudud. Ulama’ tiada hak untuk menjalankan hukuman hudud. Kalau di sesebuah Negara itu tidak dilaksanakan hudud seperti mana yang di suruh Allah, maka kerajaan dan pemimpin Negara itu yang bersalah..” Jawab Doktor Fathinah Mardini, pensyarah subjek feqah kami.

Kami menganggukkan kepala tanda faham dan setuju apa yang diperkatakan oleh Doktor Fathinah. Terlintas di benak fikiran saya, siapa pula yang menentukan pemimpin atau kerajaan kalau bukan rakyat?? Hmmm….

Kadang-kadang terfikir, hukum-hukum Allah seakan-akan kisah hikayat yang hanya terbuku di dalam al-Quran tanpa dipraktikkan di oleh manusia di zaman era kemodenan dan teknologi, sama ada Negara yang mengaku dan mengatakan mereka adalah sebuah Negara Islam mahupun Negara bukan Islam.

Semoga segala apa yang kami pelajari tentang Islam akan dapat kami praktikkan dan amalkan satu hari nanti. Bukan sekadar belajar dan kemudian kami tidak dibenarkan untuk beramal dengan apa yang kami pelajari sedangkan ia adalah setinggi-tinggi hukum dan setinggi-tinggi arahan dari setinggi-tinggi kuasa, iaitu tuhanmu dan juga tuhan ku…ALLAH….

Wallahua’lam..

*Saya sendiri belum membuat kajian secara menyeluruh tentang hukum hudud. Mungkin apa yang saya tulis berbeza dengan apa yg anda pernah jumpa ttg hudud sebelum ini. Mungkin ada perbezaan pendapat ulama’ di dalam cara pelaksanaan hukum hudud.. Maklumat-maklumat yg saya tulis di dalam entry ini adalah berdasarkan maklumat yang saya perolehi dalam bilik kuliah dan kitab pengajian di bilik kuliah iaitu kitab ‘ Al-‘uquubaat Ash-Syar’iyyah Wal Aqdiyyah Wash Syahaadaat ’ karangan penulis terkenal Duktor Wahbah az-Zuhaili.

Saturday, January 7, 2012

Formatif Tahun Baru.

"Oh, Tuhan mengapa dulu aku tidak melakukan begini begitu. Kenapa aku tidak mengakhirinya dengan begitu begini."

Alangkah indahnya hidup ini jika hari-hari dimulakan dengan memperbaharui azam dan diakhiri dengan muhasabah sebelum tidur.

Pejam celik tahun 2011 telah pun berakhir, disusuli tahun 2012. Mulalah suara-suara hati dilontarkan melalui laman-laman maya seperti blog dan facebook. Di laman itu pelbagai luahan dan status berbaur semangat melangkah ke tahun baru, masing-masing melakar azam baru. Tidak kurang yang meluahkan kerisauan lantaran azam-azam lama yang belum tercapai, usia yang semakin meningkat dan 1001 hal lagi.

Alternatif Countdown 2012.
Bermacam-macam kisah tercoret di malam tahun baru. Ramai yang meraihkan kehadiran 2012. Tidak kurang juga yang membiarkan detik itu berlalu begitu saja. Malaysia saja khabarnya, sambutan countdown tahun baru diadakan dengan bermacam-macam ragam masyarakat di pelbagai tempat.

Melihat kondisi masyarakat hari ini yang semakin parah. Anak-anak muda pula kian lemas dalam gejala hedonisme, 1 alternatif telah dilaksanakan bagi menarik masyarakat khususnya anak muda agar tidak terjerumus dengan kegiatan negative di malam tahun baru. Syabas buat “countdown 2012” yang menampilkan Ustaz Azhar Idrus dan beberapa lagi artis tanah air seperti Zizan Raja Lawak, Akhil Hayy, Sham Kamikaze, Shahir AF dan Imam Muda Ashraff. Pengunjung yang membanjiri Dataran Shah Alam seramai hampir 80,000 pada malam itu jelas membuktikan masyarakat hari ini menginginkan majlis-majlis yang mampu membentuk rohani individu dan juga memberi kemaslahatan dalam institusi kekeluargaan. Khuatir dengan sambutan yang berunsurkan maksiat dan pengaruh buruk yang bakal menghancurkan anak-anak.

Usia sekadar nombor?
Melangkah setapak lagi ke tahun baru, masing-masing mulai menghitung usia yang semakin meningkat. Buat insan yang menghitung usia dengan mata hati akan sentiasa menginsafi setiap detik yang berlalu. Cukup membenihkan rasa penyesalan jika dinilai kembali usia bertahun-tahun yang dibiarkan berlalu kosong begitu saja. 15 tahun bukan satu jangka masa yang pendek. Apatah lagi 20, 30, 40 tahun. Alangkah rugi dalam jangka waktu itu jika kita hanya tahu menulis, membaca dan mengira tanpa mampu menafsir dan mengkaji tujuan asal diciptakan.

Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan agar mereka beribadah kepadaku
52:56

Sebagaimana setiap barangan dipasaran mempunyai tarikh luput, begitulah juga manusia. Akan tiba waktunya manusia dimatikan untuk kehidupan yang lebih panjang. Bumi semakin sarat dengan makhluk perosak selari dengan usia manusia yang juga semakin meningkat. Tidak pasti kita bakal mati ketika bumi terbelah dua ataupun ketika ajal tiba. Cuma yang pasti, di akhir nanti setiap amal yang dilakukan akan dinilai satu per satu sebagai tiket menuju ke syurga ataupun neraka.

Menyedari hakikat usia yang semakin meningkat, ilmu dan amalan juga perlu selari dipertingkatkan sebagai persiapan untuk dibentang di hadapan Allah kelak. Bermula detik ini, ayuh! Usah bertangguh lagi, dunia ini tidak lama. Mari bangkit bersama jiwa yang segar dan minda yang sihat.

Jiwa yang segar menghadirkan kekhusuyukan dalam solat. Melahirkan bait-bait kata yang penuh hikmah. Juga memungkinkan seseorang murah dengan senyuman bila bersua. Tetapi kedekut dengan tertawa kerana mengingat akan hadirnya kematian pada saat bila-bila.

Minda yang sihat menjamin pemikiran yang idealistik dan bukan sampah. Ia menetapkan halatuju arah panduan hidup dengan yakin dan tawakkal. Mengarahkan tubuh bekerja keras dan tidak bertangguh-tangguh. Solatnya dijaga siang dan malam tanpa kenal letih malah menjadi asyik pula. Dia sedar dunia bukan miliknya dan bukan tempatnya dia mahu bersenang-lenang.

Di dalam hadis Rasulullah SAW yang berbunyi;

Abdullah ibnu Umar menceritakan; 'Suatu hari Rasulullah SAW menepuk bahuku seraya berkata;

"Jadilah di dunia ini ibarat orang asing atau pengembara." Ibnu Umar melanjutkan, " Apabila datang petang jangan engkau menunggu pagi. Apabila datang pagi jangan engkau menunggu petang. Gunakanlah masa sihatmu sebagai bekal masa sakitmu. Dan gunakanlah masa hidupmu sebagai bekal kematianmu."


Sebelum kita menyesal dikemudian hari, beringat-ingatlah kita masih ada misi, visi yang belum tertunai. Takutlah jika amanah ini tidak berjaya dilaksanakan, maka Allah akan gantikan dengan kaum yang lebih menunaikan amanah.

If You Failed To Plan You Plan To Failed.

Selamat kembali ke sekolah!

created by Tokei Ikan Bertaqwa

Perancangan yang tersusun penting untuk mengapai kejayaan. Masuk ke alam persekolahan untuk sesi yang baru kebiasaannya para pelajar akan hadir ke sekolah dengan semangat dan azam yang diberi nafas baru. Masing-masing akan merombak dan menyusun jadual hidup dan bajet dengan lebih sistematik. Pada saya azam itu perlu bertunjangkan akar yang kukuh agar tetap utuh ketika terdedah dengan apa jua jenis cabaran. Dalam melaksanakan impian utama, jangan seolah-olah melepaskan batuk di tangga. Sememangnya lumrah setiap apa yang dirancang pasti terdedah kepada kegagalan. Oleh itu persiapkan diri dari segenap sudut agar rancangan yang dibuat tidak terbengkalai separuh jalan.

Saya menyelak satu per satu muka surat di dalam buku catatan usrah sewaktu berada di tingkatan 6. Buku catatan ke-4 yang banyak tercoret 1001 perkara. Antaranya banyak catitan susunan idea-idea program, sungguhpun tidak semua mampu dilaksana. Di sebahagian lain kecil ruang, banyak terselit coretan kata-kata semangat. Inilah hobi sewaktu mengantuk ataupun ketika terasa malas. Salah satu kaedah yang mampu menguatkan kembali ‘bateri’ yang lemah. Saya rindu zaman persekolahan yang banyak mengajar diri ini untuk menyusun jadual dengan lebih sistematik. Apatah lagi ketika bergelar pelajar yang bakal menduduki STPM ditambah dengan amanah jawatan-jawatan dalam dan luar sekolah yang harus dipikul. Sungguh jika masa diulang kembali, saya kurang yakin jika mampu melakukan hal yang masa seperti detik itu di samping sabar 'menikmati' panahan dari pihak-pihak tertentu.

Alhamdulillah, tahun baru hijrah 1433 saya dan beberapa orang pelajar Malaysia Syria yang lain selamat masuk ke bumi berkat Syam. Mula lagi mencatur sebuah perancangan jangka masa panjang buat masa depan diri, keluarga dan masyarakat bumi negeri di bawah bayu. Kerap saya bermimpi menjalani kehidupan sebagai pengembara bersama sahabat-sahabat Sabah samada di sini atau di sana. Hakikatnya, saya tetap sendiri memikul amanah menuntut ilmu ini untuk dibawa kembali setelah tiba waktunya. Acapkali terkenang wajah-wajah daie dan mad’u pendamba syurga. Mujur di sini dipertemukan dengan senior dan sahabat-sahabat sefikrah, yang banyak memberikan tunjuk ajar dan berkongsi semangat. Cukuplah untuk mengelakkan diri ini dari bermalas-malas dan putus asa. Semoga musim sejuk yang mengigit hingga ke tulang ini tidak menggagalkan planning asal.

Mohon doakan diberi kekuatan. Juga mohon transfer semangat kalian secara berterusan~