Taubat ketika senja - Mati tidak mengenal usia
“Kita yang tua ni la yang sepatutnya banyak ikut program-program agama macam ni.” Sepotong ayat dilontarkan seorang makcik tua berkaca mata. Sambungnya lagi, di usia yang dilabel dekat dengan kematian itu perlu diisi dengan aktiviti kerohanian agar dapat mengingatkan diri kembali kepada pencipta. Saya tidak berniat untuk mencuri dengar perbualan sekelompok wanita berusia yang duduk semeja dengan kami. Suaranya yang kuat tidak mampu memekakkan telinga untuk tidak mengambil tahu. Hati bertasbih mengucapkan kalimah Alhamdulillah, semoga taubat mereka di terima Tuhan. Tapi hakikatnya mati tidak mengenal usia. Tidak semua manusia mati disebabkan tua. Dan tidak semua terdetik untuk bertaubat ketika tua.
Sebuah hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Abbas r.a, bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
"Bahawa malaikat maut memerhati wajah setiap manusia di muka bumi ini 70 kali dalam sehari. Ketika Izrail datang merenung wajah seseorang, didapati orang itu ada yang sedang gelak ketawa. Maka berkata Izrail: Alangkah hairannya aku melihat orang ini, sedangkan aku diutus oleh Allah Taala untuk mencabut nyawanya, tetapi dia masih berseronok-seronok bergelak ketawa."
Manusia tidak akan sedar bahawa dirinya sentiasa diperhati oleh malaikat maut, kecuali orang-orang soleh yang sentiasa mengingati mati akan sentiasa beringat-ingat dengan kematian. Manusia sedar hakikat setiap yang hidup pasti akan mati kecuali Allah SWT, tetapi manusia menilai kematian dari prespektif yang berbeza.
Ada yang menganggap kematian adalah suatu tabi'e sebagai pendapat golongan atheis, dan tidak kurang pula orang yang mengaitkan kematian itu dengan sebab-sebabnya yang zahir sahaja. Ada yang mengambil logik kematian disebabkan oleh sesuatu tragedi. Diakibatkan oleh peperangan, bencana alam atau kemalangan. Kematian juga dilihat disebabkan oleh serangan penyakit yang membawa maut.
Disebabkan manusia melihat kematian hanya dari sudut sebab musabab yang lumrah, maka manusia sering mengaitkan kematian itu dengan kejadian-kejadian yang disebut di atas. Jika berlaku kematian di kalangan mereka, lantas mereka bertanya, "Sebab apa si fulan itu mati, sakit atau kemalangan?".
Tidak ramai manusia yang mengaitkan kematian itu dengan kehadiran malaikat maut yang datang tepat pada saat ajal seseorang sudah sampai, sedangkan malaikat maut sentiasa berligar di sekeliling manusia, mengenal pasti memerhatikan orang-orang yang tempoh hayatnya sudah tamat.
Dalam firman Allah Taala yang bermaksud:
"Tiap-tiap umat mempunyai ajal, maka apabila telah datang ajalnya mereka tidak dapat mengundurkannya barang sesaat pun dan tidak dapat (pula) mencepatkannya."
(Surah Al-A'raf: ayat 34)
Berat sebelah.
Banyak perkara yang membuka minda dalam program pemantapan dakwah anjuran HALUAN pada 23-24 Disember tahun lalu. Hanya saya saja yang lambat berkongsi di blog atas kekangan yang mungkin sengaja dibuat-buat.
Dalam program ini isu diskriminasi amat popular dalam kalangan makcik-makcik sebentar tadi. Samada di waktu makan mahupun aktiviti berkumpulan. Petah berkata-kata, ”umat Islam itu bersaudara tapi kenapa ada yang membeza-bezakan di antara mualaf dari kalangan tempatan dan warga asing?” Bersuara atas dasar pengalaman. Terangnya lagi, masalah diskriminasi ini bukan diada-adakan dari kalangan mualaf itu sendiri tetapi dari kalangan pengajarnya. Masya-Allah. Golongan yang berfikiran mengklasifikasi inilah yang menjadikan Islam dipandang jumud. Hanya taqwa yang membezakan manusia di sisi Allah SWT.
Firman Allah,
“Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertakwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (QS. 49:13)
Sepintas lalu Program Pemantapan Dakwah. Biar gambar berbicara.
Kenangan bersama Dr Abdullah Sudin Abd Rahman (Batik Ungu)
& Ustaz Mohd Zamree Kautis Abdullah (Batik Hijau berkaca mata)
Bersama Ustaz Abu Hurairah Abdurrahman
Dari Kiri : Dr Azizan bin Ahmad ,Tuan Hj Awaluddin bin Nasution
& Tn Hj Sainuri bin Yahmin
Saudara baru dari SAHABAT
Wakil PSS (kekok mengenalkan diri melalui platform PSS)
Laporan lanjut program boleh terus rujuk ke sini
Gambar daripada saudara Hasmadi
No comments:
Post a Comment