Jazakallahu Khairan

Thursday, November 15, 2012

Menulislah, aku ingin menjadi peminatmu.

Menghembus nafas  lega. Alhamdulillah, akhirnya terbuka kembali untuk menulis. Mungkin ada yang bertanya,

“Ke mana saya menghilang?”

Usah ditanya. Saya juga kurang pasti sama ada diri ini sedang berlayar atau tersadai di mana-mana kepulauan terpencil. Banyak perkara menarik ingin ditulis. Sebahagian besar akan saya kongsikan dan sebahagian lagi biarlah saya hadam untuk dijadikan gurindam atau sajak penglipur lara di malam hari. Insya-Allah dengan kekuatan ini saya akan kembali menulis sambil-sambil menyesuaikan diri dengan keadaan dan persekitaran baru yang Allah ‘hadiahkan’.

Bagaimana untuk ingin istiqamah dalam menulis?

Jika dilihat dari sudut saya mengemaskini blog, saya bukan orang yang layak menjawabnya. Bahkan saya juga bukanlah dari kalangan orang yang hebat dalam penulisan. Jauh sekali untuk berbangga dengan tulisan yang sedia ada. Saya juga salah seorang daripada pembaca tegar yang membaca hasil penulisan orang lain.

Ada yang memberi pandangan, menulis untuk mengejar jumlah mad’u. Boleh jadi menulis juga untuk menyebar kegembiraan dan membawa tulisan berupa peringatan. Jika tiada isi yang berunsur ‘kegembiraan’ dan ‘peringatan’ usahlah menulis. Saya masih berfikir.

Kamu. Jika mengelar diri daie, menulislah..

‘Dia juga hampir setahun berhenti menulis.’ 

Saya terima. 

Saya berhenti seketika dan memulakan kembali kini. Dan anda yang belum bermula, bila lagi? Selain salah satu pelaburan sebelum mata tertutup, anggaplah medan ini juga sebagai wasilah untuk mengasah bakat dan menajamkan pemikiran. Penulis sejati tidak akan membiarkan hasil tulisannya kosong tanpa isi dan dikaji. Bermuhasabah.

Tidakkah Allah SWT bersumpah, 

ن وَالْقَلَمِ وَمَا يَسْطُرُونَ
(al-qalam: 1)

Yakni, "Demi pena, dan demi apa yang dituliskan.."

Allah SWT bersumpah dengan perkara yang hebat-hebat belaka. Allah SWT tidak pernah bersumpah dengan benda yang remeh temeh. Demi matahari, demi bulan, demi masa, demi bintang, demi malam dan demi waktu dhuha. Ini bermakna pena juga punya nilaian kehebatannya. Kalau tidak, tidak berbunyilah perumpamaan, 'mata pena lebih tajam daripada mata pedang'.

Cuba kita mengandaikan, apa jadi sekiranya Saidina Abu Bakar tidak merestui permintaan Umar al-Khattab untuk menghimpunkan Al-Quran? Juga apa yang terjadi jika imam-imam Mazhab dan para cendiakawan hanya menzahirkan ilmunya melalui bahasa lisan tidak melalui bahasa tulisan? Untuk memberikan ilmu satu jangkamasa hayat yang panjang, segala puji bagi Allah SWT yang telah mengilhamkan perantara pena dan juga tulisan.

Sekiranya anda hebat berpidato ala-ala Sukarno, maka ketahuilah ucapan anda itu hanya berlegar-legar di kalangan hadirin sahaja. Tetapi jika anda hebat menulis ala-la Dr Aidh' Abdullah Al-Qarni, percayalah banyak kertas dan skrin monitor yang rela menjadi medium untuk orang ramai membacanya.

Lihatlah betapa hebatnya kesan penulisan. Kalau tidak masakan terheretnya Syed Qutb ke tali gantung kerana pemerintah yang tidak sanggup menahan ketajaman buah penanya!


Andai peperangan itu memerlukan banyak pedang sebagai tunjang serangan dan pertahanan. Ketahuilah peperangan pemikiran hari ini memerlukan lebih banyak mata pena sebagai benteng pertahanan.

Kalau anda tiada bakat mengapa tidak mahu mengasahnya? Kalau punya bakat mengapa tidak mula menulis? Kalau sudah menulis kenapa tidak berusaha membetulkan ejaan dan tatabahasa mengikut disiplin yang sepatutnya? Jika sudah berdisiplin mengapa tidak menulis untuk manfaat islam keseluruhannya? Dan jika tidak punya tempat selesa, sedarlah bahawa Ibnu Sina, Syed Qutb dan Hamka sendiri menulis karya hebat zaman mereka di dalam penjara.

Mari menulis kembali, tapi membaca juga perlu!

1 comment:

SyaZa SyaFeeQaH said...

MasyaAllah. terima kasih atas ingatannya kak. ;)