Jazakallahu Khairan

Thursday, November 22, 2012

Dua di antara yang bertuah.


Syria masih bergolak dan Gaza kembali berdarah

Hati ini berlagu sebak. Setiap yang dilafaz dari mereka seperti peluru Short Gun yang menabrak terus ke hati. Sejurus saya beristighfar mengenangkan dhaifnya diri ini. Terlalu ramai orang mulia di muka bumi ini. Dan saya hanya insan kerdil, yang amat kerdil. Hanya menagih kasih di bumi Ilahi. 

“Bersyukurlah, negara kita bebas dari peperangan.” 

Kita bersyukur. Alhamdulillah. Bersukacita dengan kurniaan Allah. Berlapang dengan segala kesusahan yang tidak ditimpakan ke atas diri kita. Kita lena dan bangun dari atas tilam yang empuk. Tiap hari sekadar menjalani rutin harian seperti orang kebanyakan. Belajar dengan tenteram dan kadangkala tanpa segan silu melepaskan kebosanan dengan melelapkan mata dikala kelas masih berlangsung. Bahkan rungutan kadangkala kita semburkan untuk hari-hari yang dilalui tanpa suatu kepentingan. Andai saja kita diberi peluang duduk bersama mereka yang dikurniakan syahid dan mereka mula membuka cerita kebahagiaan memuncak hidup abadi di syurga, pasti saja rasa senang yang kita ada pada hari ini akan kita infakkan semuanya. Berharap agar tiada satupun dari dirinya yang menjadi penghalang untuk terus ke syurga Allah. 

Lebih baik punya hayat yang pendek tetapi panjang cita-cita, daripada punya hayat yang panjang tetapi kosong daripada perjuangan. Saya juga tidak mahu mati dengan sekadar meninggalkan tiga baris tanda di batu nisan sahaja. Berharap saya mampu mendapatkan lebih daripada itu. 


"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang yang beriman akan jiwa mereka dan harta benda mereka dengan (balasan) bahawa mereka akan beroleh Syurga, (disebabkan) mereka berjuang pada jalan Allah maka (di antara) mereka ada yang membunuh dan terbunuh. (Balasan Syurga yang demikian ialah) sebagai janji yang benar yang ditetapkan oleh Allah di dalam (Kitab-kitab) Taurat dan Injil serta Al-Quran; dan siapakah lagi yang lebih menyempurnakan janjinya daripada Allah? Oleh itu, bergembiralah dengan jualan yang kamu jalankan jual-belinya itu, dan (ketahuilah bahawa) jual-beli (yang seperti itu) ialah kemenangan yang besar."

Ya Rabb. Maka benarlah janji itu. Pengorbanan harta, jiwa dan segala sesuatu pada hari ini akan dibalas dengan ganjaran berlipatganda lebih besar daripada Allah azzawajala. Tidak terjangkau akal dan minda. 

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan at-Tirmidzi, Ibnu Majah dan Ahmad, Rasulullah bersabda maksudnya, maksudnya: 
"Bagi orang yang mati syahid ada 6 keistimewaan iaitu: 

  1. Diampuni dosanya sejak mulai pertama darahnya meluncur keluar. 
  2. Melihat tempatnya didalam syurga. 
  3. Dilindungi dari azab kubur - dan terjamin keamanannya dari malapetaka besar. 
  4. Merasakan kemanisan iman. 
  5. Dikahwinkan dengan bidadari. 
  6. Diperkenankan memberikan syafaat bagi 70 orang kerabatnya." 
Allah Allah, risau membayangkan hari itu. Mungkinkah saya salah seorang yang hanya mampu memerhati golongan ahli syurga itu dari celah-celah kesesakan orang ramai? Dari mereka terpampang raut bahagia. Sambil membawa wajah yang tiada kebimbangan menanti amalan dihisab, mereka disambut jutaan malaikat dan bidadari ke dalam syurga. Cemburu jika begitulah saya kelak, hanya mampu berdiri menanti bersama golongan yang ‘menunggu’. 

Malulah pada diri. Jika kita tidak mampu berbuat seperti mereka yang sanggup turun bertarung nyawa demi sebuah agama dan kehidupan 'masa hadapan' yang terlalu bernilai, mengapa kita tidak cuba untuk berperang dengan nafsu diri? Bermula sekarang, bangkitlah dari kealpaan dan sujud rendahkan diri di hadapan Allah. Lantas pohonlah cinta dariNya dan juga kesejahteraan buat saudara yang terluka.

No comments: