Salam Syawal ke-19!
Seindah namanya Aidilfitri, berlapang dirilah menyambut raya dengan kembali kepada fitrah asal diciptakan dimuka bumi. Jalan asal sudah diterokai, hanya tinggal perlu koreksi untuk meneliti dalam diri ciri-ciri muslim sejati yang wajar diaplikasi.
Sudah hukum alam, yang bertentangan dengan fitrah itu jelik dan merosakkan. Baju yang kotor akan melalui proses penyucian agar dapat digunapakai semula. Sesuai dengan pembawaan imej yang bersih dan selesa buat si pemakai. Begitulah juga hati, harus dijaga supaya sentiasa bersih bagi mengelakkan si pemilik berasa kusut dan gusar. Hati yang tenang perlu dipohon dari Allah. Selain memohon keampunan dan rahmat dari Allah SWT, hubungan sesama manusia juga harus diperbaiki. Minta di maafkan kesalahan dan pinta doa berterusan. Selain menyebarkan mesej ucapan raya, ziarah yang sudah menjadi amalan masyarakat Malaysia sewaktu hari raya juga adalah dituntut kerana ianya juga sebahagian daripada ibadat yang sangat besar fadhilatnya.
Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang menziarahi orang sakit, atau menziarahi saudaranya kerana Allah, dia akan diseru malaikat dengan seruan: Alangkah bagusnya engkau, alangkah bagusnya perjalananmu, sudah tersedia untukmu sebuah rumah di dalam syurga." (Hadis riwayat at-Tirmizi)
Alhamdulillah di hari lebaran ini berkesempatan menziarahi rumah sanak-saudara, guru-guru, sahabat handai, jiran tetangga dan beberapa kenalan. Juga dapat beramah mesra bersama ahli-ahli persatuan, mad'u-mad'u, keluarga angkat dan sahabat-sahabat PASTI. Semoga pertemuan yang dirancang mencambahkan lagi kemesraan dan keakraban kita semua. Lebar-lebarkan lebaran dengan ziarah-menziarahi.
Ala kulli hal, dalam memastikan ziarah ini berupa ibadah maka beberapa adab perlu dipatuhi dan diketahui. Secara ringkasnya;
1. Niat yang betul
2. Menghormati masa tuan rumah
3. Tidak meremehkan ibadah utama seperti solat
4. Memberikan salam juga senyuman yang manis
5. Menjaga pergaulan sesama muslimin dan muslimat
Gambar yang ada untuk dikongsikan..
Antara rumah keluarga angkat yang diziarahi
Antara rumah ahli/sahabat yang diziarahi
No comments:
Post a Comment