Jazakallahu Khairan

Monday, August 23, 2010

Dulu-dulu, ajar biar belajar.


"Mama, berapa minit lagi?"

Teringat awal semasa mula-mula diajar berpuasa. Tidak seperti Along dan Angah, mungkin kerana saya anak perempuan sulung maka dididik dengan lebih lembut dan manja. Saya hanya berjaya berpuasa penuh sewaktu berusia 6 tahun dengan rekod pertama 6 hari penuh.

Tiupan kerohanian pada usia kecil beginillah yang terbaik untuk mendidik anak-anak dalam melakukan ibadah. Pada masa ini semangat berkobar-kobar, ingatan masih kuat, jiwa cukup segar. Kanak-kanak dibelanggu rasa ingin tahu dan naluri mahu mencuba yang melonjak-lonjak. Teringat dulu saya sering diumpan dengan wang RM1 sekiranya berjaya merekodkan 1 hari penuh berpuasa.

Tapi pada akhirnya saya cuba berpuasa tanpa menghitung berapa nilai ringgit Malaysia yang bakal diberi. Itula
h teladan yang Along dan Angah tunjukkan berpuasa bukan kerana RM1 tapi pada ketika itu saya juga tidak tahu mengapa mereka berpuasa. Dan teladan itulah yang dibawa sehingga ke hari ini, menjadikan saya semakin faham dan masih terus cuba untuk fahami hal-hal berkenaan puasa. Sungguhpun saya belum mempunyai anak mahupun tidak ber'adik kecil, tapi pengalaman kecil sudah memadai berperanan sebagai panduan. Dulu-dulu;

Pengertian puasa.
Membesar di kawasan yang kurang hidup dalam kejiranan menjadikan kami hanya bermain sesama sendiri dan kad
angkala bersama 2 atau 3 orang jiran jauh. Setiap tingkah laku akan diperhatikan orang tua. Bila ramadhan hampir tiba, semua jenis permainan akan ber'tema'kan puasa. Oleh itu, usai solat terawih hari pertama, penerangan ringkas perkara yang membatalkan puasa, adab-adab serta sunat dalam berpuasa akan mama dan daddy terangkan. Walaupun pada usia yang mentah, tapi penerangan pada masa itulah masih terngiang-ngiang di telinga sehingga hari ini.

Sahur.

Semangat bangun sahur hanya pada minggu pertama. Berikutnya badan mulai liat untuk dibangunkan. Mata semakin berat dan malas. Bagi menaikkan keinginan makan, mama akan memasakkan makanan yang kami gemari. Itulah cara yang paling berkesan untuk menjerat budak-budak bangun sahur. Risau tiada bersahur, alamatnya berpuasa cuma sampai ke zuhur.

Sibukkan diri.

Bila mula berpuasa kepala jadi banyak menoleh ke arah jam. Setiap detik dihitung tolak bahagi untuk mendapatkan jawapan berbuka puasa. Masa ini abang selalu mengajak saya bermain sehingga lupa masa. Lego itulah peneman mainan kesayangan saya dan Angah. Dan kadangkala permainan ciptaan sendiri yang dicipta mengikut kretiviti budak-budak zaman tu.


Berbuka puasa.
Sebelum berbuka kami paling suka bila dibawa ke bazaar. Diandaikan sebagai hadiah kerana berjaya bertahan hingga waktu berbuka. Waktu itu, saya cuma tahu menunjuk tapi tidak pula menghabiskan. Di situlah kasihnya seorang ayah, tetap menunaikan hajat si kecil untuk memuaskan anak-anak. Sekarang, masing-masing sudah mengerti kapasiti perut sendiri. Membazir itu kawan syaitan.


Ganjaran.
Budak-budak mudah diumpan dengan ganjaran. Tawarkan ganjaran secara bersyarat. Mahu atau tidak, hadiah boleh dapat lepas bertindak. Itulah masa budak-budak.


Kini, umur meningkat satu-persatu melanjutkan pengajian. Beberapa hari sebelum raya, baru berpeluang iftar bersama. Kisah dulu makin tinggi nilainya bila diungkit masa kini. Sekarang zaman mulai berubah mengikut peredaran. Banyak yang 'dulu-dulu' kena ubah ke 'kini-kini'.


Sewaktu berbuka puasa tadi, agak pelik azan tidak pula kedengaran. Jenaka si bungsu, buat kami tersenyum di meja makan, "Orang lain xkan menunggu azan untuk berbuka. Bila bulan puasa, semua orang jadi tahu bila masuk waktu maghrib." hehe ada betulnya. Mungkin ini salah satu hikmah puasa. Fakta dari dulu yang tidak pernah berubah :)

No comments: