Jazakallahu Khairan

Tuesday, January 19, 2010

Takziah, ada hikmah di sebalik setiap ketentuanNya

Assalamua'laikum para pengujung.
Sekalung penghargaan buat yang istiqomah dalam mengikuti perkembangan blog ini.

Sebelum memulakan pembacaan, penulis ingin mengajak para pengunjung untuk mengucapkan setinggi pujian dan syukur kepada Allah SWT kerana masih mengizinkan kita selaku hambaNya meminjam;
  1. Tubuh badan yang sihat
  2. Mata untuk melihat
  3. Telinga untuk mendengar
  4. Lidah untuk bertutur
  5. Akal untuk berfikir


Serta bermacam-macam lagi nikmat hinggakan tidak mampu untuk dihitung. Andai saja segala nikmat ini perlu dilunaskan dengan bayaran, sudah pasti jumlah manusia yang berada di muka bumi boleh dibilang dengan jari. 1 sedutan dan helaan nafas bernilai RM1, pasti ramai manusia yang berputus asa untuk hidup. Lihatlah sekeliling, betapa pengasih dan pemurahnya Pencipta kita. Penulis kembalikan semula kepada para pembaca untuk merenung kembali sejauh mana kita mensyukuri segala nikmat yang diberikan secara percuma ini.

18 Januari 2010 - Pada jam10.40 pagi, sewaktu penulis berjalan menuju ke kelas, seorang guru/pendidik yang dianggap seperti ibu sendiri menyapa. Tangan yang dihulur disambut lembut oleh penulis. Pandangan ustazah tidak seperti selalu. Cukup sayu.

"Sihat hari ni?" Soalan yang ringkas dari guru kesayangan tapi cukup mengharukan jiwa.
"Alhamdulillah. Ustazah?" Penulis membalas ringkas.
"Begitula. Ok ja." Sifat prihatin dan sporting sang pendidik ini amat penulis gemari. "Anak Cikgu Wan meninggal tadi pagi."

Tersentak. Pemergian anak Ust. Fauzi ke rahmatullah sebulan yang lalu masih terasa hibanya.

Sungguh, ajal tidak mengenal usia. Anak cikgu yang berusia 4 tahun telah meninggal dunia akibat penyakit kanser yang dihidapi sejak tahun lalu. Sungguh, guru ini sangat hebat diuji. Belaian kasih dari pencipta, setelah kehilangan anak yang pertama dan kini anak kedua beliau pula menyusul. Semoga keluarga Cikgu Wan tabah dalam menghadapi ujian untuk mencapai kemenangan di akhirat kelak.

“(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya: dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayatNya”.

( Surah Al-Baqarah: 156-157)

Tinggal kita lagi selaku makhluknya yang berakal meneruskan kehidupan untuk mencapai keredhaan dari Allah SWT. Beringatlah selalu bahawa mati hanya menunggu saatnya dan boleh berlaku dalam sekelip mata. Ajal tidak berbau!

************************************

Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahawa Nabi Ibrahim a.s mempunyai sebuah bilik khas untuk beribadah. Bilik tersebut sentiasa dikunci bila beliau keluar. Tetapi pada suatu hari Nabi Ibrahim terkejut setelah membuka biliknya, dijumpai seorang lelaki yang amat mencurigakan. Dialog di antara mereka;

Nabi Ibrahim: Siapa yang mengizinkan engkau memasuki ruangan ini?

Lelaki curiga: Pemiliki rumah yang menyuruhku masuk.

Nabi Ibrahim: Akulah pemilik rumah ini.

Lelaki curiga: Pemilik yang memiliki bumi dan langit.

Nabi Ibrahim: (Terkejut dan menggeletar). Kalau begitu siapakah engkau sebenarnya?

Lelaki curiga: Aku adalah malaikat Izrail(malaikat maut).

Nabi Ibrahim: (Dengan penuh kebimbangan). Mahukah engkau menunjukkan wajahmu yang sebenar ketika hendak mencabut nyawa orang mukmin?

Izrail: Tentu. Palingkan pandanganmu ke arah lain.

Nabi Ibrahim berpaling dan kemudian menatap Izrail. Dilihat lelaki tersebut telah berubah menjadi seorang pemuda yang berpakaian indah dan berbau harum.

Nabi Ibrahim: Mahukah engkau memperlihatkan wajahmu ketika hendak mencabut nyawa orang kafir?

Izrail: Engkau tidak akan sanggup melihatku nanti.

Nabi Ibrahim: Kalau begitu palingkanlah wajahmu.

Setelah berpaling beberapa saat, Nabi Ibrahim melihat wajah malaikat maut telah berubah menjadi lembaga hitam pekat, semua bulunya berdiri, baunya teramat busuk dan pakaian serba hitam. Dari mulut dan lubang hidungnya keluar lidah api dan asap. Ketika itu juga nabi pengsan.

Setelah sedar, Nabi Ibrahim berkata "Andaikata orang-orang kafir dan para penderhaka itu tidak menerima seksa yang lain, kiranya sudah cukuplah bagi mereka melihat bentuk dan rupa Malaikat Maut."

No comments: