Berpagi-pagi di hari Jumaat.
Warna perak di ufuk timur telah mula dicemburui sinar emas sang suria. Kiranya sebentar lagi sang suria bakal tersenyum menerangi satu lagi hari baru. Di kala subuh bersiap-siap untuk pergi, mata banyak yang masih terpejam mematuhi arahan tuannya yang asyik diulit mimpi.
Pesan orang tua-tua bangun lambat rezeki tak masuk. Siapa yang tidur waktu pagi lepas solat subuh, nanti rezekinya dipatuk ayam. Entahlah mengapa ayam.
Doa Waktu Pagi dan Petang
Usai menghabiskan bacaan al-mathurat otak ligat berfikir apa perlu dibuat. Terfikir juga untuk mencipta mimpi, serba salah menerpa. Masa masih berbaki 3 jam sebelum pukul 9 pagi. Minggu ini jadual agak penuh, tapi sudah berjanji untuk menghantar seorang senior kehormat dan keluarganya ke UITM. Awal-awal sudah dipesan,
"Kosongkan semua jadual awal pagi jumaat!!"
Akur. Mencuri masa lapang yang ada, sempat mencuci kereta. Melihat masih ada masa berbaki, terfikir mahu melawat PASTI As-Solihin melepas rindu pada bekas senior sekerja dan murid-murid kesayangan. Hampir seminggu tidak ke sana.
Menginjakkan kaki semula ke sana membuatkan hati berbunga bahagia. Rakan-rakan yang ceria, murid-murid yang tidak putus-putus melambai dan silih ganti datang menyapa. Waah~
Walaupun hanya beberapa bulan sempat berkhidmat sebagai guru pembantu, suasananya terlalu banyak memberi pengajaran dan pelajaran baru. Dalam mengajar, saya turut diajar dan belajar.
Belajar.
Bila menghadiri majlis ilmu ataupun singgah di mana-mana, jika niat di hati untuk mendapatkan ilmu, nescaya lebih dari 1 yang anda akan perolehi. Sungguhpun hanya menumpang bekerja beberapa bulan terasa terlalu banyak perkara yang diperolehi.
Berhadapan dengan pelbagai ragam manusia memerlukan kesabaran. Baru bertemu dengan ragam ibu dan ayah, belum masuk anak-anak lagi. Ada ibu bapa yang memahami kenakalan anak mereka dan tidak kurang ada juga yang memenangkan anak-anak. Kadangkala guru yang menjadi mangsa, sabar senyum rasional :)
Siapa yang mampu bertahan melayan telatah berbeza puluhan budak? Lain mood pelajar, lain lagi mood guru yang mengajar. Hari-hari tidak selalu baik dan ceria. Bila begitu, perlu berhadapan pula dengan pelajar yang lambat menangkap huruf, lain lagi yang berebut kerusi dan mana lagi yang menjerit-jerit. Usaha bersikap adil, anak kecil memang begitu. Mungkin dari situ ada sesuatu yang mereka belajar. Masa-masa kritikal sebegini saya cuba memininumkan percakapan risau emosi mendahului. Tapi selalunya mood gelap itu laju berubah bila melayan karenah setiap dari mereka. Pernah sekali saya cuba mengalihkan perhatian dengan mengajak mereka menyebut nama-nama haiwan dan bunyinya sekali. Sekali dilontarkan soalan
"Nyamuk dengan ibu nyamuk lain? Macam mana bunyi ibu nyamuk?"
Teringat pula masa kecil-kecil dulu, mungkin begitu la perasaan nenek bila saya bertanya
"Macam mana bunyi zirafah?"
Pentingnya guru tadika punya ilmu yang lebih. Rugi jika banyak ilmu yang disampaikan berunsur dongeng semata. Di usia muda sebegini kanak-kanak mudah mengingat banyak fakta. Hati juga masih bersih mudah menerima ilmu. Banyak pelajaran baru yang mereka akan ingat hingga ke tua. Jangan ditipu-tipu dengan kisah karut lagi hantu. Risau nanti melahirkan kanak-kanak yang penakut dan berfikiran tertutup. Maka tidak ada alasan guru tadika tidak menonton channel berbentuk dokumentari dan ilmiah. Kita andaikan anak kecil ini masih tidak faham, rupanya di rumah itulah yang diulang sebut selalu.
Penangan Basikal Tua
Ada kisah disebalik basikal tua. Cukup membuatkan saya terkenang jasa setiap ibu dan ayah. Dulu-dulu rutin setiap pagi buat saya yang datang awal ke PASTI, menyambut murid-murid di pintu pagar selain memastikan keselamatan semua terjamin. Kereta-kereta mewah dan sederhana silih berganti singgah dan pergi. Hadiahkan senyuman yang paling ceria pengganti gula-gula buat anak-anak kecil.
Datang seorang ayah mengayuh perlahan basikal tua yang menyamai usianya. Di belakangnya duduk seorang 'Puteri' tersenyum menampakkan gigi yang tersusun putih. Kuat semangat si ayah. Dulu saya perhatikan cuma berjalan kaki. Mungkin ada sedikit wang membeli basikal tua untuk menjimatkan masa juga buat kesenangan si anak kecil. Pernah juga sempat bertegur ringkas bertanya mesra. Terharu dengan kesungguhan ayah tua ini dengan kudrat yang ada setiap hari berulang alik menghantar dan mengambil anaknya dari PASTI ke kilang tempat dia bekerja. Anggaran sejauh 6KM. Setiap hari mengorbankan masa rehat untuk mengambil anak pulang sekolah dan acapkali terlewat sejam. Si gadis bermata bulat itu seolah-olah faham kepayahan si ayah, sekalipun tidak pernah merungut malah diberikan senyuman paling indah bila diajak pulang.
Hebatnya pengorbanan ibubapa untuk menjadikan anak-anak bijak di usia muda dan harapannya juga tinggi agar terus bijak hingga ke usia selanjutnya. Saya fikir, agaknya kesusahan hidup dan kasih yang padu dari ibubapa boleh mempercepatkan proses percambahan minda anak-anak berlaku. Mungkin juga hypothesis ini silap. Sekadar pandangan sepintas lalu. Apapun, saya respect dengan nilai murni yang ada dalam keluarga itu!
sebahagian murid 4 tahun
Anak-anak dan bimbingan agama
Sehebat mana pun anak, tanpa agama tetap tidak membantu ibu bapa di akhirat kelak. Ada ibu bapa yang prihatin mahukan anak-anak mereka kenal ilmu dan kenal siapa Tuan ilmu. Biarlah dari kecil sudah terbiasa dengan cara hidup 'sejahtera'. Taat kepada Allah, sekaligus mencintai rasulullah dan patuh pada kedua ibubapa. Saya senang melihat anak-anak ini dari kecil sudah tahu menghormati orang tua apatah lagi yang tahu membaca doa untuk kedua ibubapa. Lebih sejuk bila melihat mereka menunjukkan rasa kasih yang tinggi pada ibu bapa samada di dalam mahupun di luar sekolah.
Ada sesetengah pelajar lebih mengangkat kata guru dari ibu bapa. Tidak dinafikan ada ibubapa yang memanjakan anak-anak sehingga dalam usia kecil sudah berani melawan kata. Besar peranan guru di situ untuk memastikan pelajar ini tetap mendengar kata bila di rumah. Ada sekali, seorang ibu menangis mengadukan sikap anaknya yang terlalu 'keras' bila ditegur. Di sekolah, mudah saja pelajar ini mendengar nasihat guru. Esoknya si ibu menelefon kembali mengatakan sikap anaknya yang sudah berubah. Penting penerapan untuk mengaitkan setiap ilmu yang dipelajari dengan nilai-nilai agama, biar melekat pegangan itu hingga mereka dewasa. Agama yang sentiasa mengingatkan siapa pencipta dan apa matlamat hidup di dunia. Khabarkanlah pada anak-anak kecil ini dengan lebih berhemah dan mengikut cara yang kena.
Kaedah
Selalu saya memikirkan inisiatif terbaik bagaimana kaedah untuk membentuk murid-murid ini agar mereka mempunyai kesedaran yang lahir dari diri sendiri untuk bersikap baik tanpa perlu dimarah dan diarah. Susahnya bila berlembut, terasa nasihat yang diberi seolah-olah untuk angin. Mungkin juga diusia muda begitu bukan cara yang sesuai untuk dipraktikkan. Mungkin perlu lebih kepada tegas bukannya marah. Risau meningkat dewasa, hanya 'marah' yang diingat, tidak pada nasihat. Pendekatannya tidak sama seperti remaja. Ini sudah silap. Jadi jangan marah-marah, masih ada banyak cara boleh diguna.
Sebelum resign, sempat juga melawat seorang pelajar yang dimasukkn ke dalam wad rentetan terkena jangkitan paru-paru. Alhamdulillah tadi saya nampak pelajar ini sudah datang ke sekolah. Mungkin lebih bersemangat setelah dilawat guru-guru tempoh hari.
Nawfal Lutfi.
Pelajar paling manja.
Hanya makan bila disuap.
Sungguh inilah pengalaman berkerja pertama yang akan sentiasa saya ingati. Senior sekerja terlalu banyak mengajar erti kehidupan. Cukup selamba. Cukup ceria, bekerja dengan lapang jiwa, paling saya gemari dalam setiap perkara tidak pernah mengabaikan Allah sebagai pencipta. Sungguh dalam setiap tutur walaupun bercanda tapi ada sahihnya. Dalam bicara ada mutiara. Benar-benar banyak mengajar saya beberapa bab kehidupan. Guru-guru ini sudah ada yang berumahtangga dan bercahaya mata. Suka berkongsi pengalaman dan ilmu-ilmu yang ada. Teladan seorang ibu, isteri, tanggungjawab sebagai anak, adik-beradik, keprihatinan kepada masyarakat dan jiran semua. Cukup mesra dan penuh dengan perkongsian membina.
Rasanya belum terlambat mengucapkan selamat hari guru buat bekas senior-senior setugas! Teruskan perjuangan dalam mengasuh anak didik menjadi muslim sejati ;)
Terharu untuk hadiah Hari Guru pertama kali walaupun salah satunya sekadar sebatang pen~
*** Bila ada pengalaman menjadi guru, barulah dapat memahami perasaan guru-guru. Tapi mengajar budak-budak kecil tidak sehebat pengorbanan jiwa guru-guru yang mendidik anak-anak remaja. Hebatnya guru!
.Dari skop pandangan dan pemerhatian mata saya yang kecil.
No comments:
Post a Comment