"Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah."
(An-Nisa': 28)
Manusia makhluk yang lemah?
Tiada Terdaya
Kita boleh jadi berharta dengan usaha, boleh jadi terhormat dengan ilmu, dapat maju dengan akal yang diguna. Banyak kelebihan yang boleh mengangkat manusia ke peringkat yang lebih tinggi. Namun, di antara kelebihan yang Allah kurniakan, lebih banyak tersisip kelemahan dalam setiapnya.
Tersebut al-kisah di suatu hari yang amat terik. Ibnu Samak seorang ulama' telah diundang ke istana di Baghdad oleh Khalifah Harun Al-Rasyid untuk meminta fatwa dan nasihatnya. Segelas air segar dihidangkan. Sebelum meneguk, Ibnu Samak bertanya kepada Khalifah,
"Tuan sekiranya seteguk air minum itu susah untuk dicari, sedangkan tuan sudah sangat kehausan, berapakah kiranya seteguk air itu mau tuan hargai?''
''Biar habis setengah kekayaanku, aku mau membelinya,'' ujar Khalifah Harun Al-Rasyid. ''Minumlah tuanku air yang seteguk itu yang kadangkala harganya lebih mahal daripada setengah kekayaan tuanku!'' lanjut Ibnu Samak.
Setelah Khalifah minum, Ibnu Samak pun melanjutkan fatwanya. ''Jika air yang tuan minum tadi tidak mau keluar dari diri tuan, meskipun sudah bersusah payah. Berapakah kiranya tuan mahu membayar agar air itu dapat keluar?'' tanya Ibnu Samak lagi.
Harun Al-Rasyid menjawab, ''Kalau air itu tidak mahu keluar, apalah gunanya kemegahan dan kekayaan ini. Biarlah habis seluruh kekayaanku untuk mengubati diriku, sehingga air itu keluar.''
Ibnu Simak melanjutkan pengajarannya, ''Maka tidakkah tuan insaf, betapa kecil dan lemahnya kita ini. Tibalah saatnya kita tunduk dan patuh serta bersyukur kepada-Nya dan menyedari akan kelemahan diri kita."
Mendengar fatwa itu Khalifah menangis tersedu.
Sekadar Meminjam Dari Tuhan
Kuat kutuk mengutuk sesama manusia. Jika manusia punya kuasa luar biasa, yang mengutuk pasti sudah binasa. Hanya menggunakan kuasa minda untuk membalas dendam pada si durjana. Imaginasiku yang berlebihan, ada yang kata mungkin terlalu banyak menonton tv. Lagi pelik bila hari ini sudah semakin ramai yang berani mengutuk Tuhan, lagi mahu mencabar Tuhan. Sedangkan kuasa yang dia punya juga asalnya daripada keizinan Tuhan.
Manusia susah mahu bersangka baik dengan Tuhan. Bila diuji sedikit, mula melatah. Mula marah-marah, mencaci dan menuduh Tuhan yang bukan-bukan.
Bayangkan seorang pakar telah berjaya mencipta sebuah robot. Tujuan penciptaan robot tersebut sudah pasti untuk berbakti kepada dirinya. Ribuan wang sudah dihabiskan dalam kos penciptaan, masa juga sudah banyak terbuang dalam meneliti fungsinya. Hingga satu hari si robot ciptaan memberontak. 'boikot' tidak mahu membuat kerja, turut menidakkan semua suruhan tuannya yang mencipta. Si pakar yang mencipta dengan mudah menekan button off lantas menyumbat hasil ciptaannya ke dalam stor.
Kita bengang bila kata tidak dituruti apatah lagi bila yang ingkar itu adalah hasil ciptaan kita. Bila marah, kita guna kuasa yang ada untuk hapuskan pengkhianat-pengkhianat yang ada. Kita cari kelemahan dan cara untuk singkirkan selagi terdaya. Itu cara manusia, bukan cara Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Allah tahu kelemahan setiap ciptaanNya tapi tidak sesekali mengunakan kelemahan itu untuk menyingkirkan ciptaanNya sebaliknya memberi ruang untuk menguatkan diri. Walaupun manusia seringkali ingkar terhadap perintahNya, namun Allah tidak terus mengunakan kuasa menekan button off malah sentiasa membuka pintu taubat seluas-luasnya kepada hamba-hambaNya.
Hanya Pencipta yang layak membinasakan ciptaanNya.
Bayangkan lagi, seorang majikan sudah mengaji pembantu rumahnya selama beberapa tahun. Gaji diberi tepat masa, makan dan rehat yang diberi juga mencukupi setelah menyelesaikan semua kerja, tiada deraan mahupun paksaan, cuti juga diberikan. Tanpa diduga, pembantu rumah tadi tiba-tiba 'naik kepala'. Marah-marah dan mengarah-arah tidak tentu arah. Minta gajinya dinaikkan dan masa kerja dikurangkan. Majikan mana tidak bengang?
Begitulah analogi seorang manusia kepada Tuhannya. Malulah kepada Allah di atas perbuatan-perbuatan yang membelakangkan Tuhan selama ini. Tetapi baiknya Allah, masih memberi rahmat dan rezekinya tidak kira kepada sesiapa. Masih dibiarkan menghirup udara yang nyaman dan tinggal di bumi Allah. Sempurnanya Allah. Baiknya Allah.
Jadi manusia, mari kita kembalilah berpijak di bumi yang nyata. Allah adalah penguasa kepada semua kuasa-kuasa yang ada di muka bumi. Segala-galanya adalah hak Allah dan manusia hanya sekadar musafir yang meminjam dengan keizinNya.
Lemahnya manusia, tidak punya apa-apa.
No comments:
Post a Comment