Jazakallahu Khairan

Wednesday, February 23, 2011

Isu Aqidah & Keprihatinan Masyarakat


.Misi menyelamatkan aQidah.

~Murnikan kehidupan dengan Memberi~
setiap sen yang disumbangkan membuahkan kesyukuran diakhirat kelak

Sungguhpun beberapa kali telah melibatkan ahli dengan bantuan kebajikan, seringkali membuat aktiviti melibatkan orang kampung dan di kawasan perkampungan. Persatuan Siswazah Sabah cawangan Kota Kinabalu telah mula melangkah setapak lagi ke hadapan dengan mengambil sebuah kampung sebagai kampung angkat sebagai tanda keprihatinan terhadap masyarakat dan isu aqidah.


Kampung Padas Baru, Tebobon telah terpilih dalam mendapat 'kasih sayang' yang sewajarnya. Justeru, bantuan derma diperlukan untuk membaikpulih kemudahan di kampung tersebut; antaranya


Surau

Kelihatan seperti memerlukan jasa baik jika ada pihak yang sudi menyumbangkan cat, papan, pintu, cermin, meja. kerusi..

Sumbangan wang selebihnya akan disalurkan untuk pembelian sejadah, iqra, al-quran dan beberapa kelengkapan penting lain.

Aktiviti memasyarakatkan masyarakat setempat juga perlu diadakan bagi mengukuhkan persaudaraan sesama kaum muslimin di area ini, di samping mengeratkan hubungan silaturrahim bersama PSS. Pengisian atau talk dengan muslimat dan remaja-remaja.

Remaja dan anak-anak kecil perlu dimurnikan serta didedahkan dengan asas dan nilai agama. Program-program berbentuk kerohanian wajar dilaksanakan dari semasa ke semasa. Golongan inilah yang bakal meneraju penduduk setempat. Berbentuk game dan pemantapan akademik serta rohani.

Ikhlaskan hati, ringankan diri untuk menderma ke:
CIMB :1101-5026453-52-7

semoga 10 sen yang didermakan mampu memberatkan timbangan pahala di akhirat kelak :)

Gambar dan keterangan lanjut boleh klik SINI berkenaan Kg. Padas Baru

Sunday, February 20, 2011

KRU Mengucapkan Salam Perjuangan Buat Saudara Arif


Tinggi-tinggi gunung Kinabalu,
Tinggi lagi sayang Sabah pada kamu,
Pemergianmu mengundang seribu rasa pilu,
Ada waktu, harap masih boleh bertemu.


Sunnatullah bila ada pertemuan pasti perlu mengharungi detik perpisahan. Tiada apa yang kekal melainkan Allah SWT yang mencipta seluruh alam.


Pada 19 Februari 2011, sebutir permata lagi telah kembali berlepas ke kampung halaman setelah sekian lama bertapak di bumi subur Sabah. Saudara Arif Ainuddin telah selamat berlepas semalam sekitar jam7.35 malam di Airport Air Asia Kota Kinabalu, Sabah diiringi beberapa orang sahabat taulan yang sentiasa menjadi peneman di saat suka dan duka.


Riangnya pasti dicari-cari, semangat juangnya pasti akan dirindui bukan saja dalam kalangan sahabat-sahabat seperjuangan tapi juga di dalam hati-hati penduduk Sabah khususnya adik-adik KRU yang pernah menerima sentuhan rohani dari beliau. Melalui kepetahan beliau dalam berbicara dan ayat yang berisi unsur ketuhanan sudah cukup memotivasikan sejumlah remaja Sabah untuk kembali menjalani hidup bersama Allah.


Perginya seorang senior PSS yang kerap memberikan dorongan dan bimbingan kepada adik-adik KRU sudah pasti mengundang seribu kepiluan di hati adik-adik yang telah lama bersama di medan dakwah. Apatah lagi pada sahabat-sahabat seperjuangan hinggakan air mata belum tentu dapat menzahirkan apa yang terbuku di dalam hati. Semoga Allah sentiasa menyatukan hati-hati para pejuang ini sehingga ke titisan darah yang terakhir.

Sungguh, hanya Allah yang mampu membalas jasa baik, perkongsian idea dan pengorbanan dari pelbagai segi beliau sepanjang bermastautin di Sabah. Semoga dengan sekembalinya pejuang ini mampu membangkitkan semangat juang lebih ramai anak-anak Sabah dalam menegakkan Islam. Perjuangan tetap perlu diteruskan!

Adik-adik Kelab Remaja Ukhuwwah mengucapkan jutaan terima kasih di atas kesudian saudara Arif Ainuddin dalam segenap tunjuk ajar dan segala motivasi yang diberikan. Semoga Allah sentiasa memurahkan rezeki dan memberikan kebaikan kepada abang Arif dunia dan akhirat. Amiin~


Patah tidak akan tumbuh lagi, hilang belum tentu dapat dicari ganti, kerana sifatmu yang tersendiri. Namun, nilai inspirasimu tetap di hati kami dalam mencapai cita-cita yang tertinggi. Salam perjuangan dari kami anak-anak jati Sabah. Semoga Allah masih pertemukan kita semua tidak di dunia, di akhirat Insya-Allah. Ma'assalamah.

Sirru a'la barakatillah wa mardhatillah.

Ya Allah Engkau mengetahui bahawa..
hati-hati ini telah berkumpul kerana mengasihi Mu
Bertemu untuk mematuhi perintah Mu
Bersatu memikul beban dakwah Mu
Hati-hati ini telah mengikat janji setia..
untuk mendaulat dan menyokong syariatMu

Maka eratkan lah ya Allah akan ikatannya
Kekalkan kemesraan antara hati-hati ini
Tunjukkanlah kepada hati-hati ini..
akan jalannya yang sebenar
Penuhkanlah piala hati ini..
dengan limpahan iman, keyakinan dan keindahan tawakkal kepada Mu
Hidup suburkanlah hati-hati ini..
dengan makrifat, pengetahuan sebenar tentangMu

Jika Engkau mentakdirkan mati
Maka matikanlah pemilik hati-hati ini..
sebagai para syuhada' dlm perjuangan agama Mu
Engkau lah sebaik-baik sandaran..
dan sebaik-baik penolong ya Allah
Perkenankanlah permintaan ini
Amin ya rabbal A'alamin..

Thursday, February 17, 2011

Hitung-hitung apa yang kita ada.

"Allah (sentiasa) hendak meringankan (beban hukumnya) daripada kamu, kerana manusia itu dijadikan berkeadaan lemah."
(An-Nisa': 28)

Manusia makhluk yang lemah?
Tiada Terdaya
Kita boleh jadi berharta dengan usaha, boleh jadi terhormat dengan ilmu, dapat maju dengan akal yang diguna. Banyak kelebihan yang boleh mengangkat manusia ke peringkat yang lebih tinggi. Namun, di antara kelebihan yang Allah kurniakan, lebih banyak tersisip kelemahan dalam setiapnya.
Tersebut al-kisah di suatu hari yang amat terik. Ibnu Samak seorang ulama' telah diundang ke istana di Baghdad oleh Khalifah Harun Al-Rasyid untuk meminta fatwa dan nasihatnya. Segelas air segar dihidangkan. Sebelum meneguk, Ibnu Samak bertanya kepada Khalifah,

"Tuan sekiranya seteguk air minum itu susah untuk dicari, sedangkan tuan sudah sangat kehausan, berapakah kiranya seteguk air itu mau tuan hargai?''

''Biar habis setengah kekayaanku, aku mau membelinya,'' ujar Khalifah Harun Al-Rasyid. ''Minumlah tuanku air yang seteguk itu yang kadangkala harganya lebih mahal daripada setengah kekayaan tuanku!'' lanjut Ibnu Samak.

Setelah Khalifah minum, Ibnu Samak pun melanjutkan fatwanya. ''Jika air yang tuan minum tadi tidak mau keluar dari diri tuan, meskipun sudah bersusah payah. Berapakah kiranya tuan mahu membayar agar air itu dapat keluar?'' tanya Ibnu Samak lagi.

Harun Al-Rasyid menjawab, ''Kalau air itu tidak mahu keluar, apalah gunanya kemegahan dan kekayaan ini. Biarlah habis seluruh kekayaanku untuk mengubati diriku, sehingga air itu keluar.''

Ibnu Simak melanjutkan pengajarannya, ''Maka tidakkah tuan insaf, betapa kecil dan lemahnya kita ini. Tibalah saatnya kita tunduk dan patuh serta bersyukur kepada-Nya dan menyedari akan kelemahan diri kita."

Mendengar fatwa itu Khalifah menangis tersedu.

Sekadar Meminjam Dari Tuhan
Kuat kutuk mengutuk sesama manusia. Jika manusia punya kuasa luar biasa, yang mengutuk pasti sudah binasa. Hanya menggunakan kuasa minda untuk membalas dendam pada si durjana. Imaginasiku yang berlebihan, ada yang kata mungkin terlalu banyak menonton tv. Lagi pelik bila hari ini sudah semakin ramai yang berani mengutuk Tuhan, lagi mahu mencabar Tuhan. Sedangkan kuasa yang dia punya juga asalnya daripada keizinan Tuhan.

Manusia susah mahu bersangka baik dengan Tuhan. Bila diuji sedikit, mula melatah. Mula marah-marah, mencaci dan menuduh Tuhan yang bukan-bukan.

Bayangkan seorang pakar telah berjaya mencipta sebuah robot. Tujuan penciptaan robot tersebut sudah pasti untuk berbakti kepada dirinya. Ribuan wang sudah dihabiskan dalam kos penciptaan, masa juga sudah banyak terbuang dalam meneliti fungsinya. Hingga satu hari si robot ciptaan memberontak. 'boikot' tidak mahu membuat kerja, turut menidakkan semua suruhan tuannya yang mencipta. Si pakar yang mencipta dengan mudah menekan button off lantas menyumbat hasil ciptaannya ke dalam stor.
Kita bengang bila kata tidak dituruti apatah lagi bila yang ingkar itu adalah hasil ciptaan kita. Bila marah, kita guna kuasa yang ada untuk hapuskan pengkhianat-pengkhianat yang ada. Kita cari kelemahan dan cara untuk singkirkan selagi terdaya. Itu cara manusia, bukan cara Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Allah tahu kelemahan setiap ciptaanNya tapi tidak sesekali mengunakan kelemahan itu untuk menyingkirkan ciptaanNya sebaliknya memberi ruang untuk menguatkan diri. Walaupun manusia seringkali ingkar terhadap perintahNya, namun Allah tidak terus mengunakan kuasa menekan button off malah sentiasa membuka pintu taubat seluas-luasnya kepada hamba-hambaNya.

Hanya Pencipta yang layak membinasakan ciptaanNya.

Bayangkan lagi, seorang majikan sudah mengaji pembantu rumahnya selama beberapa tahun. Gaji diberi tepat masa, makan dan rehat yang diberi juga mencukupi setelah menyelesaikan semua kerja, tiada deraan mahupun paksaan, cuti juga diberikan. Tanpa diduga, pembantu rumah tadi tiba-tiba 'naik kepala'. Marah-marah dan mengarah-arah tidak tentu arah. Minta gajinya dinaikkan dan masa kerja dikurangkan. Majikan mana tidak bengang?
Begitulah analogi seorang manusia kepada Tuhannya. Malulah kepada Allah di atas perbuatan-perbuatan yang membelakangkan Tuhan selama ini. Tetapi baiknya Allah, masih memberi rahmat dan rezekinya tidak kira kepada sesiapa. Masih dibiarkan menghirup udara yang nyaman dan tinggal di bumi Allah. Sempurnanya Allah. Baiknya Allah.

Jadi manusia, mari kita kembalilah berpijak di bumi yang nyata. Allah adalah penguasa kepada semua kuasa-kuasa yang ada di muka bumi. Segala-galanya adalah hak Allah dan manusia hanya sekadar musafir yang meminjam dengan keizinNya.

Lemahnya manusia, tidak punya apa-apa.

Tuesday, February 15, 2011

Hari ini, tiada ucapan seindah Alhamdulillah~

Seawal jam8 pagi, kunci kereta sudah dicapai. Kembara terus pecut laju menuju ke rumah adik-adik usrah, seorang demi seorang. Hasrat hati hanya mahu menyelesaikan amanah dalam menguruskan adik-adik KRU Kota Kinabalu seawal pukul 9 pagi tadi. Sesampai di Taman Awam Teluk Likas, ternampak pula sekumpulan kanak-kanak riang sedang berlari-lari diawasi ibubapa masing-masing. Oh, rehlah Sekolah Rendah Islam Al-Hafidz. Singgah sebentar sementara menanti yang lain tiba.


Menganggarkan aktiviti di ambang penghujung, bergegas kembali mencari tempat untuk mengadakan liqo' KRUKK bersama sebahagian AJK baru. Suasana redup-redup bertemankan haiwan-haiwan kecil yang kusyuk beribadat kepada Allah SWT.

~biarkan mereka belajar daripada pengalaman~

***************************
Indahnya ciptaan Tuhan. Mendamaikan dengan zikir tersendiri

Petang tadi saat yang sentiasa saya nantikan, bertemu dengan adik-adik Basyirah03. Wajah-wajah yang sentiasa mengharapkan tiupan semangat baru untuk meneruskan perjuangan hidup. Usrah itu medan untuk berkongsi, bermesra, menadah ilmu, memberi dan menerima. Wajarlah usrah bersifat mutawasil (berterusan). Sebagai medium pengikat hati juga untuk melahirkan pelapis-pelapis yang benar-benar mengamalkan amal islami.

As-Syahid Hasan Al-Banna sendiri jelas memaparkan kepentingan usrah bilamana beliau menitikberatkan penjagaan anak-anak usrah. Boleh dikatakan beliau akan mengambil masa walau hanya beberapa minit untuk bersua muka dengan anak usrahnya tidak kira pagi petang mahupun malam setiap hari kerana melalui prinsip ini pasti mampu menimbulkan rasa ukhuwah dan semangat yang kuat dalam berjuang. Proses seperti inilah yang harus kita ambil contoh dalam mengendalikan perjalanan usrah. Usaha penjagaan ini tidak boleh diletakkan ala kadar sahaja tetapi naqib/ah perlu menganggap usrah sebagai aset yang penting dalam melahirkan individu/jemaah yang kuat serta berkualiti.

Lautan luas terbentang. Berfikir siapa penciptanya?
~ciptaan menghayati ciptaan~

Kaedah mengikat hati anak usrah penting diselidiki. Memberi kefahaman dan memahami. Itu penting. "Apa perlunya saya ikut usrah?" perjelaskanlah senantiasa apa yang disampaikan supaya mereka lebih jelas tujuan naqib/ah berceloteh soal sesuatu. Fahamilah anak usrah adalah manusia yang juga punya ibubapa, bergelar pelajar juga punya kehendak seperti manusia lain dalam hidup.

Budak-budak zaman sekarang suka bermain dengan pantai.
Cadangan pantai mana lagi yang sesuai lepas ni? hmmm

Dalam mendidik jiwa-jiwa, pengorbanan yang tinggi itu perlu. Anda sediakan bahan untuk dibentangkan, jangan lupa makanan untuk dihidangkan. Sekali-sekala cenderahati sebagai pengikat jiwa. Juga telinga dan hati sebagai pendengar setia. Fahamilah kerana anda juga pernah berada ditempat mereka. Kenderaan penting untuk menarik anak usrah juga kepada ibubapa dalam mendapatkan kepercayaan. Sedikit demi sedikit baru saya mulai faham, mengapa dulu seorang senior mengatakan perlunya mendapatkan lesen memandu kereta dengan segera. Ada kelebihannya dan ini salah satu daripadanya.

Setelah mencuba beberapa kali,
akhirnya sempat sebelum di sapu ombak

Kekecewaan melanda bilamana anak usrah tidak seperti yang dikehendaki, perlu diperhalusi diperingkat diri sendiri terlebih dahulu yang mungkin masih lemah dalam mengorek peribadi anak usrah atau mungkin lupa koreksi diri. Berubah dari baik kepada yang lebih baik memakan masa. Dan masa itu akan terus dimakan berpanjangan bila yang menegur juga membuat silap yang sama. Soal ikhtilat, ibadah, akhlak, penampilan dan perjuangan. Jadikan diri dulu sebagai teladan barulah memperbetulkan anak usrah secara berhemah. Itulah, bukan mudah menjaga hati. Apatah lagi hati-hati.

''Wahai orang-orang yang beriman, kenapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan?. Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan''. (QS. as-Saff: 2-3)

sayang sayang sayang kamu juga! ^_^

Merindu Pada Kekasih Sejati.


Di antara 2 hari tersepit hati yang keliru di antara 2 sambutan. Antara yang halal, haram ataupun halam? Berkenaan Valentine, sudah ramai yang mengupas hukum meraihkan sambutan ini antaranya;

Sejarah Valentine

Hukum menyambut Valentine's Day
Link 3 (Video Ustazah Norbayah)

Berkasih-sayang sesama manusia itu dituntut dalam agama tetapi berlandaskan syariat yang ditetapkan. Usahlah melabel tarikh-tarikh tertentu sebagai hari terbesar dalam menunjukkan rasa cinta apatah lagi dengan individu yang bukan mahram.


Daripada Abu Sa’id al Khudri ra, beliau berkata: Rasulullah SAW pernah bersabda: “Kamu akan mengikut jejak langkah umat-umat sebelum kamu, sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta, sehingga jikalau mereka masuk ke lubang biawak pun kamu akan mengikuti mereka”. Sahabat bertanya: “Wahai Rasulullah, apakah Yahudi dan Nasrani yang engkau maksudkan?” Nabi SAW menjawab: “Siapa lagi kalau bukan mereka?” [HR Muslim].

Sudah sibuk dengan urusan Valentine kelmarin, hari ini mari sibukkan diri dengan Maulud pula. Ada yang mengatakan menyambut hari kelahiran Rasulullah ini bid'ah. Timbul pelbagai kontroversi dan pertentangan. Di sini terdapat beberapa hujah yang saya perolehi membolehkan sambutan Maulud.

Antara ulamak-ulamak yang menyokong akan Maulidur Rasul ialah Imam Jalaluddin Sayuti dan Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan. Telah berkata Imam Jalaluddin Sayuti:
"Ibadat macam itu adalah bid'ah Hasanah (bid'ah baik) yang diberi pahala mengerjakannya kerana dalam amal ibadat itu terdapat suasana membesarkan Nabi, melahirkan kesukaan dan kegembiraan atas lahirnya Nabi Muhammad SAW yang mulia".

Dan berkata Sayid Ahmad bin Zaini Dahlan:
"Telah berlaku kebiasaan bahawa orang apabila mendengar kisah Nabi dilahirkan, maka ketika Nabi lahir itu mereka berdiri bersama-sama untuk meghormati dan membesarkan Nabi Muhammad saw. Berdiri itu adalah hal yang mustahsan (bai) kerana dasarnya ialah membesarkan Nabi Muhammad saw dan sesungguhnya telah mengerjakan hal serupa itu banyak dari ulama-ulama ikutan umat."

Berkata pula Syeikh Atiah Saqr:
"Saya berpendapat tidak menjadi kesalahan untuk menyambut maulid. Apatah lagi di zaman ini pemuda pemudi Islam semakin lupa dengan agama dan kemuliannya. Perlu juga diingat sambutan tersebut janganlah dicemari oleh perkara-perkara haram dan bid'ah. Seperti pergaulan antara lelaki dan wanita tanpa batas. Kita juga tidak sewajarnya menjadikan sambutan ini sebagai satu tradisi yang khusus, sehingga timbul dalam kefahaman masyarakat jika sesuatu acara tidak dilansungkan maka seseorang itu dikira telah berdosa dan melanggar syariat"

Syeikh Yusuf Qardawi juga telah memberi komen mengenai maulid ini.
Beliau berkata(ringkasan):
"Semua telah sedia maklum bahawa sahabat-sahabat Rasulullah saw tidak merayakan hari kelahiran Rasulullah saw. Ini adalah kerana mereka telah menyaksikan secara langsung setiap gerak-geri Rasulullah saw dan seterusnya ingatan terhadap Rasulullah saw itu kekal di dalam hati dan juga ingatan. Said Abi Waqas mengatakan bahawa beliau begitu ghairah untuk menceritakan mengenai Rasulullah saw kepada kanak-kanak sama sepertiman keghairahan mereka mendidik anak-anak itu Al-Quran. Oleh kerana mereka sering menceritakan sejarah perjuangan Rasulullah saw, maka tidak perlulah mereka merayakan sepertimana dirayakan Maulid ar-Rasul kini."

Khuatir dengan generasi yang semakin melupakan kegemilangan Islam, Sambutan ini diadakan bertujuan mengingati pengorbanan Rasulullah dalam menyebarkan Islam. Namun, sambutan ini kian bercelaru bila dicampur-adukkan dengan amalan-amalan bid'ah yang ditentang Islam.

Maka dibolehkan meraikan Maulud nabi ini dengan syarat tidak dirojakkan dengan perkara-perkara bid'ah. Tetapi sebaliknya diisi dengan ceramah yang menceritakan sejarah Islam dan sirah-sirah para pejuang terdahulu sebagai penyubur mengembalikan kebangkitan Islam yang dibawa oleh Rasulullah.

Salam Maulidur Rasul dari saya buat semua ^_^

Sunday, February 13, 2011

Qiam bulanan KRUKK - Bengkel Asas Fasilitator

Pada 12-13 Februari 2011, dengan bantuan Persatuan Siswazah Sabah, Kelab Remaja Cawangan Kota Kinabalu telah berjaya mengadakan qiamullail bulanan bertempat di Masjid Universiti Malaysia Sabah(UMS). Pengisian pada kali ini tertumpu kepada pelaksanaan Bengkel Asas Fasilitator yang bertujuan mendedahkan para nuqaba' akan asas-asas yang perlu diketahui dalam mengendalikan usrah.

Penyertaan program adalah seramai 40 orang yang terdiri dari beberapa buah sekolah di sekitar Kota Kinabalu iaitu SMK Tebobon, SM Shan Tao, SMA Kota Kinabalu, SM All Saint, Maktab Sabah, SM(P) Likas dan SM Sains Sabah.

Melalui bengkel ini, peserta banyak membincangkan sesama ahli kumpulan soal permasalahan yang timbul dalam berusrah tidak kira di peringkat naqib mahupun ahli usrah itu sendiri. Setiap permasalahan diselitkan cara penyelesaian dan beberapa kaedah dalam memantapkan lagi pengurusan usrah.

Setelah didedahkan dengan teori-teori daripada penceramah dan perbincangan sesama kumpulan, praktikal pula dilakukan. Masing-masing ditugaskan membawa sebuah tajuk perbincangan kepada ahli usrah yang bermacam ragam. Di sini kesabaran, pemikiran kreatif dan sifat profesionalisme dipupuk dalam kalangan nuqaba'.

untuk paparan gambar yang lebih, sila klik sini

Alhamdulillah, semoga dengan pengisian yang dijalankan di dalam bengkel ini dapat melahirkan para nuqaba' yang lebih berkualiti dari pelbagai aspek. KRU terus ke hadapan dalam memperkasa usrah ahli.Selamat mempraktikkan ilmu-ilmu yang diberi di lapangan realiti.

Menanti sahabat-sahabat di program KRU yang seterusnya.