Jazakallahu Khairan

Sunday, January 31, 2010

Celik Minda, Apa Yang Dilupa?

Sebuah sorotan kegemilangan Islam..

Dan zaman itu telah berlalu, sebuah peristiwa agung yang sewajarnya memberi impak mendalam di setiap kalbu umat Islam. Namun mungkin ada antara kita yang tidak pernah merasai kesan kewujudannya, rentetan realiti dunia yang kian berubah menghanyutkan membawa jati diri muslim seorang insan.

Zaman ketika mana Islam berada dipuncak, sudah terlalu jauh meninggalkan kita. Runtuhnya kerajaan Turki Uthmaniyyah pada tahun 1924 merupakan satu pelengkap kepada kejatuhan kekuasaan Islam yang sebenarnya telah lama retak, hanya menanti masa untuk tumbang menyembah bumi.

Tampuk kekuasaan terhadap umat manusia keseluruhan kemudiannya digantikan Barat, dengan membawa nilai kebendaan, materialistik yang beransur-ansur menyedut roh beragama dalam diri manusia. Dunia sekarang tiada lagi sempadan yang menjadi pemisah antara negara dan bangsa. Itulah globalisasi, yang sebenarnya merupakan satu kesan dan kejayaan hegemoni Barat.

Tapi samada kita sedar ataupun tidak, Barat sudah tiada apa lagi yang mampu disumbangkan, tiada lagi sumbangan nilai yang melayakkan mereka menjadi pemimpin umat manusia. Umat manusia dahagakan nilai yang lengkap, bukan sekadar nilai kebendaan tapi juga nilai-nilai yang mampu memimpin dan mengawal kemajuan ciptaan sains dan teknologi yang kononnya dipelopori Barat. Dan hanya Islamlah yang merangkumi kesemua nilai-nilai tersebut.

Berhadapan dengan situasi ini, timbul persoalan bila dan dimanakah perlu kita mulakan kebangkitan ini? Apa yang pasti umat Islam sekarang bukanlah 'umat Islam' yang sebenar kerana umat Islam dalam erti kata yang sebenar bukanlah mereka yang hidup di bumi yang majoritinya muslim, bukan mereka yang mewarisi Islam dari nenek moyang mereka tetapi umat Islam yang sebenar adalah mereka yang mengamalkan ajaran Islam secara syumul dalam kehidupan mereka. Untuk umat Islam kembali memimpin umat Islam perlu bangkit semula dari keadaan ini.

Asas generasi Emas Islam sepanjang zaman..

Jika kita melihat kepada Generasi Emas Islam, yang tidak lain tidak bukan generasi para sahabat yang lahir dari didikan secara langsung dari baginda Rasulullah, kita pasti akan menjumpai satu perkara yang akan menjadi asas kepada kebangkitan Islam. Jika kita merenung sejenak kenapa tidak lahir lagi generasi sehebat generasi pertama Islam ini, mungkinkah kerana Rasulullah telah meninggalkan kita, bermakna tiada lagi individu yang dapat membimbing kita? Jika itulah sebabnya mana mungkin Allah mengutuskan Nabi Muhammad sebagai utusan terakhir, mana mungkin dakwah ini meliputi seluruh umat manusia hingga ke akhir zaman.

Sudah pasti itu bukan sebabnya, sebab yang sebenarnya adalah kerana sumber panduan hidup mereka adalah Al-Quran, semata-mata Al-Quran. Segala apa yang dilakukan hanyalah berpandukan Al-Quran. Tapi apa yang berlaku selepas itu, sumber panduan hidup manusia bercampur baur. Falsafah Yunani, cerita-cerita israiliat Yahudi, dan saki-baki tamadun lampau yang sukar dikikis, semuanya bercampur baur dengan Al-Quran.

Cara penerimaan ilmu dan pengajaran mereka juga jauh berbeza dari generasi selepas mereka. Mereka belajar bukan untuk mendapatkan ilmu semata-mata, bukan untuk mendapatkan hiburan, bukan untuk mendengar cerita-cerita di dalam Al-Quran tetapi mereka belajar semata-mata untuk bertindak. Mereka belajar untuk mengetahui apa yang mereka perlu buat, apa tuntutan Al-Quran terhadap mereka dari segi akhlak dan hubungan dengan Allah. Berbeza sekali dengan generasi selepas mereka yang kebanyakannya mencari ilmu sekadar untuk menambahkan 'koleksi' ilmu mereka, untuk ditunjukkan kepada masyarakat supaya mereka dikagumi.

Pada zaman itu, zaman gemilang Islam, zaman Rasulullah dan sahabat baginda, apabila sahabat-sahabat mula memeluk Islam, menggapai cahaya kebenaran Islam dan meninggalkan kegelapan jahiliah, mereka benar-benar berubah, mereka bagaikan manusia berbeza. Jahiliah ditinggalkan bukan sekadar pada zahirnya sahaja, bukan hanya cara islam menjadi cara hidupnya, bahkan pada hati dan perasaan mereka juga telah terbina tembok pemisah yang kukuh antara zaman jahiliah dengan zaman baru mereka, zaman Islam.

Jika kita menganggap zaman jahiliah sudah lama berlalu, kita sememangnya telah tersilap, kerana jahiliah di zaman ini lebih gelap lagi hingga hampir setiap sesuatu di sekeliling kita mempunyai unsur jahil.

Maka ambillah ibrah dari segenap perjalanan dakwah baginda Nabi Muhammad, itulah perjalanan yang menghasilkan generasi terbaik Islam. Justeru, sebagai langkah pertama yang perlu diambil untuk mencetuskan kebangkitan semula Islam adalah dengan menghapuskan jahiliah, mencabut terus akar jahiliah yang terpacak kukuh selama ini.

Nyata-nyatakan misi anda. Kita ada amanah, jom laksana!

Muhasabah Perjuangan

"Penatla kak. Sy sorg ja yang brgerak di sini. Kawan2 yg rapat dulu pula makin jauh. Sy xtahan bila dorang asyik critakan keburukan sy dgn orang lain." SMS dari seorang sahabat di zon pedalaman.

"Lemahlah ukhti. Sejak akhir2 ni parent selalu sekat bila mau keluar berprogram. Susahlah macam ni." Luahan melalui SMS dari seorang lagi sahabat yang dikenali sewaktu mengikuti program di kawasan sejuk dan nyaman di bumi Sabah.

Hidup di dunia ini tidak lari dari bersemuka mehnah dan tribulasi. Dugaan dan cabaran adalah saringan daripada Allah untuk mendidik kesabaran orang-orang mukmin. Saringan inilah yang akhirnya menjadikan seseorang hamba itu lebih kental dan tabah dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan pancaroba.

Firman Allah SWT;
Apakah manusia menyangka mereka tidak diuji dengan hanya mereka berkata “Kami telah beriman”. Sesungguhnya Kami telah uji orang-orang yang dahulu dari mereka. Maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Ia mengetahui orang-orang yang dusta
(Al-Ankabut : 2-3)

Firman Allah SWT;
Dan tentu Kami akan uji kamu hingga Kami buktikan orang-orang yang berjuang (bersungguh-sungguh) di antara kamu dan orang-orang yang sabar, dan Kami nyatakan hal-hal kamu
(Muhammad : 31)

Jadi begitulah, tidak ada manusia yang minta diuji, malah setiap makhluk sentiasa memohon kepada Allah agar selamat dalam setiap derap langkah kehidupan. Namun cubaan bagi orang mukmin adalah dengan ujian iman yang begitu dasyat. Allah menguji keimanan seseorang untuk menapis adakah mereka benar-benar beriman atau sebaliknya. Manusia yang berakal sering mengharapkan agar jiwanya gagah dan kuat dalam melanjutkan perjalanan kehidupan yang begitu menyempitkan jiwa dan hati.

Maka sentiasalah menanamkan di dalam jiwa perasaan ma’iyatullah (merasakan diri sentiasa bersama Allah) dalam setiap langkah, gerak geri, bahkan pada setiap detik dan waktu. Lebih-lebih lagi di saat itu kita terpaksa menempuh hambatan ujian yang benar-benar menguji keimanan dan kekentalan jiwa kita.

Tempuhilah dan harungilah dengan sebaik-baiknya. Sesungguhnya, sesiapa Allah bersama dengannya, pasti ia tidak akan kehilangan sesuatu pun walaupun ia terpaksa menelan pahit dan perit maung. Sesiapa yang Allah tidak bersama denganNya, maka ia akan kehilangan dan sesat dalam kehidupan walaupun kehidupan yang dilaluinya begitu menyeronokkan dan mengasyikkan. Al-Iyazubillahi minzalik..

Ya Allah, aku memohon perlindunganMu dari sebarang ujian yang mampu mematahkan semangatku dan sahabat seperjuanganku. Aku berlindung dari sifat putus asa dan lemah dalam melangkah. Pimpinlah setiap derap langkah kami ya Allah dalam meneruskan lagi lanjutan perjalanan kehidupan dan dakwah ini.

Tuesday, January 26, 2010

Kesederhanaan Dalam Melangkah

Dari Abdullah bin Amru, ia berkata bahwa Rasulullah saw bersabda, Setiap amal memiliki puncaknya dan setiap puncak pasti mengalami ke-FUTUR-an. Maka barang siapa yang pada masa futur-nya (kembali) kepada sunnahku, maka ia beruntung dan barang siapa yang pada masa futur-nya (kembali) kepada selain itu, maka bererti ia telah celaka.
(HR Imam Ahmad)

Perkataan Futur amat popular dalam kalangan para mujahid dan mujahidah. Futur adalah istilah yang merujuk kepada penurunan semangat seseorang khususnya dari aspek rohaniah. Semangat adalah elemen yang amat penting bagi seorang mujahid, tetapi tidak secara berlebihan(ghuluw) kerana boleh menimbulkan rasa bosan, serik dan akhirnya mengalihkan landasan dari ketaatan kepada Allah SWT. Oleh itu, adalah lebih baik mengerjakan sesuatu amal dengan cara bersederhana dan istiqomah bagi menjamin iman di tahap selamat sentiasa.

Wallahua'lam..

Monday, January 25, 2010

Qiamullail KRUKK pertama 1431H/2010M



Assalamua'laikum Ikhwan wa Akhawat yang di rahmati Allah SWT sekalian.

Alhamdulillah, pada 23-24 Januari 2010 Kelab Remaja Ukhuwwah(KRU) cawangan Kota Kinabalu telah berjaya melaksanakan program bulanan KRU iaitu qiamullail pertama tahun 1431H/2010M bertempat di Masjid Universiti Malaysia Sabah. Tema Hijrah&Akademik untuk julung kalinya telah berjaya menarik ramai ahli KRU khususnya dari Kota Kinabalu dan Tuaran untuk turun padang bersama meraihkan aktiviti.


Sekalung penghargaan khas buat para peserta merangkap ahli KRU yang sanggup berkorban masa meluangkan cuti hujung minggu untuk mengikuti program KRU. Dengan izinNya, penyertaan Qiam promosi bulan pertama ini mendapat sambutan yang menggalakkan dari pelbagai sekolah seluruh Kota Kinabalu. Antaranya peserta dari SMK Inanam, SMK Tobobon, SM Shan Tao, SMK Putatan, Maktab Sabah, SMP Likas, Stella Maris, St. Conve
nt Francis, All Saint dan SM Sains Sabah.



Syabas dan tahniah buat para AJK pelaksana yang rela hati bertungkus-lumus dalam memastikan program berjalan dengan baik. Alhamdulillah, bilangan ahli KRU yang berminat untuk turun padang bergerak keras bersama semakin meningkat bilangannya. Diharap para AJK menjadikan segala perkara yang berlaku sepanjang program kali ini sebagai jaminan untuk lebih cemerlang pada setiap aktiviti akan datang.

Semoga ada manfaat yang kita perolehi bersama daripada program pada kali ini. Mohon maaf di atas segala kekurangan dan kesilapan dari pihak pelaksana. Jom, hijrah bersama! Jumpa lagi pada program qiam bulanan akan datang..insya-Allah ;)


Tuesday, January 19, 2010

Takziah, ada hikmah di sebalik setiap ketentuanNya

Assalamua'laikum para pengujung.
Sekalung penghargaan buat yang istiqomah dalam mengikuti perkembangan blog ini.

Sebelum memulakan pembacaan, penulis ingin mengajak para pengunjung untuk mengucapkan setinggi pujian dan syukur kepada Allah SWT kerana masih mengizinkan kita selaku hambaNya meminjam;
  1. Tubuh badan yang sihat
  2. Mata untuk melihat
  3. Telinga untuk mendengar
  4. Lidah untuk bertutur
  5. Akal untuk berfikir


Serta bermacam-macam lagi nikmat hinggakan tidak mampu untuk dihitung. Andai saja segala nikmat ini perlu dilunaskan dengan bayaran, sudah pasti jumlah manusia yang berada di muka bumi boleh dibilang dengan jari. 1 sedutan dan helaan nafas bernilai RM1, pasti ramai manusia yang berputus asa untuk hidup. Lihatlah sekeliling, betapa pengasih dan pemurahnya Pencipta kita. Penulis kembalikan semula kepada para pembaca untuk merenung kembali sejauh mana kita mensyukuri segala nikmat yang diberikan secara percuma ini.

18 Januari 2010 - Pada jam10.40 pagi, sewaktu penulis berjalan menuju ke kelas, seorang guru/pendidik yang dianggap seperti ibu sendiri menyapa. Tangan yang dihulur disambut lembut oleh penulis. Pandangan ustazah tidak seperti selalu. Cukup sayu.

"Sihat hari ni?" Soalan yang ringkas dari guru kesayangan tapi cukup mengharukan jiwa.
"Alhamdulillah. Ustazah?" Penulis membalas ringkas.
"Begitula. Ok ja." Sifat prihatin dan sporting sang pendidik ini amat penulis gemari. "Anak Cikgu Wan meninggal tadi pagi."

Tersentak. Pemergian anak Ust. Fauzi ke rahmatullah sebulan yang lalu masih terasa hibanya.

Sungguh, ajal tidak mengenal usia. Anak cikgu yang berusia 4 tahun telah meninggal dunia akibat penyakit kanser yang dihidapi sejak tahun lalu. Sungguh, guru ini sangat hebat diuji. Belaian kasih dari pencipta, setelah kehilangan anak yang pertama dan kini anak kedua beliau pula menyusul. Semoga keluarga Cikgu Wan tabah dalam menghadapi ujian untuk mencapai kemenangan di akhirat kelak.

“(Iaitu) orang-orang yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali”. Mereka itu ialah orang-orang yang dilimpahi dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya: dan mereka itulah orang-orang yang dapat petunjuk hidayatNya”.

( Surah Al-Baqarah: 156-157)

Tinggal kita lagi selaku makhluknya yang berakal meneruskan kehidupan untuk mencapai keredhaan dari Allah SWT. Beringatlah selalu bahawa mati hanya menunggu saatnya dan boleh berlaku dalam sekelip mata. Ajal tidak berbau!

************************************

Diriwayatkan oleh Ibnu Abbas bahawa Nabi Ibrahim a.s mempunyai sebuah bilik khas untuk beribadah. Bilik tersebut sentiasa dikunci bila beliau keluar. Tetapi pada suatu hari Nabi Ibrahim terkejut setelah membuka biliknya, dijumpai seorang lelaki yang amat mencurigakan. Dialog di antara mereka;

Nabi Ibrahim: Siapa yang mengizinkan engkau memasuki ruangan ini?

Lelaki curiga: Pemiliki rumah yang menyuruhku masuk.

Nabi Ibrahim: Akulah pemilik rumah ini.

Lelaki curiga: Pemilik yang memiliki bumi dan langit.

Nabi Ibrahim: (Terkejut dan menggeletar). Kalau begitu siapakah engkau sebenarnya?

Lelaki curiga: Aku adalah malaikat Izrail(malaikat maut).

Nabi Ibrahim: (Dengan penuh kebimbangan). Mahukah engkau menunjukkan wajahmu yang sebenar ketika hendak mencabut nyawa orang mukmin?

Izrail: Tentu. Palingkan pandanganmu ke arah lain.

Nabi Ibrahim berpaling dan kemudian menatap Izrail. Dilihat lelaki tersebut telah berubah menjadi seorang pemuda yang berpakaian indah dan berbau harum.

Nabi Ibrahim: Mahukah engkau memperlihatkan wajahmu ketika hendak mencabut nyawa orang kafir?

Izrail: Engkau tidak akan sanggup melihatku nanti.

Nabi Ibrahim: Kalau begitu palingkanlah wajahmu.

Setelah berpaling beberapa saat, Nabi Ibrahim melihat wajah malaikat maut telah berubah menjadi lembaga hitam pekat, semua bulunya berdiri, baunya teramat busuk dan pakaian serba hitam. Dari mulut dan lubang hidungnya keluar lidah api dan asap. Ketika itu juga nabi pengsan.

Setelah sedar, Nabi Ibrahim berkata "Andaikata orang-orang kafir dan para penderhaka itu tidak menerima seksa yang lain, kiranya sudah cukuplah bagi mereka melihat bentuk dan rupa Malaikat Maut."

Saturday, January 16, 2010

Yang Layak Disayangi.


Comel/Kicik
Tadi sedang penulis sibuk mentelaah pelajaran, terlihat pula Comel cuba memuatkan diri membolosi pintu yang terbuka kecil. Comel sudah mula mencari tempat untuk melahirkan anak. Dulu kena panggil anak kucing, tidak lama lagi bakal bergelar mama kucing. Setakat ni Comel lah kucing yang paling bongsu dalam hierarki keluarga kucing kami dan sekarang menghitung hari untuk melahirkan generasi kucing baru di rumah ini :) Dari kecil lagi saya meminati kucing tapi tidak berpeluang pelihara dalam rumah sehinggalah kami berhijrah ke Kota Kinabalu.

Banyaklah kesan yang timbul bila pelihara kucing ni, tapi malaslah berbicara soal negatifnya. Kalau dirungkai, positifnya lebih banyak. Bagi saya, kucing ni haiwan yang sangat dekat di hati. Dekor memiliki sifat semulajadi seperti manja dan penyayang. Suka dibelai dan disayangi dengan menunjukkan telatah-telatah yang menarik perhatian. Lagi, kucing haiwan yang mudah dijaga, tidak perlu dibawa berjalan-jalan ketika petang, berdikari dan mudah menyesuaikan diri dengan keadaan. Yang penting seronok diusik dan dibawa main. Kawaii..

Berbuat baiklah pada kucing, eloknya nikmat yang kita miliki dikongsi dengan makhluk ciptaan Allah yang lain dan di antaranya adalah kucing. Sesetengah orang berpendapat, rezeki akan melimpah ruah kalau pelihara kucing. Banyak nikmat yang bakal kita perolehi. Walau apapun, rezeki tu sebenarnya bukan datang dari kucing tapi datangnya dari Allah.

Kagumnya penulis pada Abu Hurairah, nama gelaran terkait dengan kucing. Para sahabat juga mesti sayang pada kucing tapi gelaran Bapa Kucing tu Abu Hurairah yang punya. Begitulah tinggi kasihnya beliau dengan makhluk yang bernama kucing.

Teringat dengan sebuah kisah, Imam Abu Bakar as-Syibli telah menyelamatkan seekor kucing yang kesejukan akibat musim sejuk pada ketika itu, dan segala dosanya telah diampunkan oleh Allah SWT. Kucing yang kecil lagi kurus tersebut dimasukkan ke dalam bakul yang dibawa untuk mengelakkan kucing tersebut dari kesejukkan. Ganjarannya, Abu Bakar as-Syibli mendapat ketinggian kasih sayang dari Allah sebagai mana beliau menyayangi kucing tersebut dengan menjaganya sepenuh hati. Syurgalah jawabnya ;)

Jadi sahabat-sahabat, kalau nampak kucing di mana-mana, lembut-lembutkanlah hati untuk menyayang, ringan-ringankanlah diri memberi makanan(kalau mampu). Sebaiknya berat-beratkan kaki dan tangan untuk menyakiti. Walaupun benda ni nampak simple, sapa yang tahu nilainya besar di sisi Allah.

Thursday, January 14, 2010

Hijrah Bersama KRUKK.

Bismillahirrahmanirrahim.
Assalamua'laikum W.B.T

Perhatian kepada semua sahabat-sahabat pengunjung, khusus kepada sahabat-sahabat KRU.. Kelab Remaja Ukhuwwah cawangan Kota Kinabalu akan mengadakan Qiamullail bulanan pada Januari ini seperti butiran yang berikut;

Tarikh: 23-24 Januari 2010

Tempat: Masjid UMS, Kota Kinabalu
Masa pendaftaran: 5 pm(23 Jan 10)
Sasaran peserta: Pelajar tingkatan 3-6

Tarikh tutup penyertaan: 20 Januari 2010
.

Qiam kali ini bertemakan Hijrah&Akademik. Penyertaan adalah percuma sempena promosi qiam KRUKK untuk kali pertama pada 1431H/2010M

Individu yang berminat bolehlah menghubungi
saudara Hannafi, 013-8987395 ataupun saudari Insyirah, 013-5509496 agar pihak kami dapat memastikan jumlah penyertaan sebenar. Ini bagi menjamin kelancaran dan keselesaan peserta sepanjang program.

Jom sahabat-sahabat, kita berhijrah ke arah yang lebih baik dari se
gala aspek untuk mencapai redha Allah. Akademik Nombor 1! Tapi dakwah bukan yang ke-2 :)

Sunday, January 10, 2010

Ziarah Pesakit Membuka Mata dan Minda.

Alhamdulillah~ tadi pagi ana berpeluang join program nisa' untuk pertama kali. Di panggil sudah berkali-kali tapi baru tadi berpeluang menyempurnakan panggilan. Sempurnanya perancangan Allah. Di saat hati penuh keserabutan dan kelu kesah, disedarkan kembali. Ziarah ke Hospital Likas sebentar tadi benar-benar membuka mata dan minda.

Mengekori kakak-kakak nisa', ini katil pertama yang ana ziarahi. Sayu melihat adek Magdelena dengan keadaan kepala dilitupi kaca. Ibunya menerangkan, pembesaran yang berlaku di kepala Magdelena adalah akibat masalah paru-paru yang dialami. Rupanya nasib ana sudah cukup bertuah, dari kecil lagi.

Ekoran kedua, jauh dari pintu hingga ke hujung sudut seorang lagi adik yang kondisinya kelihatan lain dari yang lain. Dikelilingi wayar-wayar, bernafas menggunakan bantuan peralatan. Untuk kanak-kanak sebaya adik 2 tahun ini, mungkin sedang melalui hidup ceria bersama keluarga. Mungkin sudah mulai berlari ke arah dakapan umi dan abi.

Ini senarai masalah kesihatan yang dihadapi. 9?? Berusia kecil comel sebegini sudah memiliki pelbagai masalah kesihatan. Mengenal huruf belum lagi, apatah memahami maksud tersirat disebalik nama panjang masalah kesihatan yang dihidapi. Semoga patung dan permainan yang berada diselilingmu dapat mengukir senyuman manis di wajahmu. Tabah duhai adikku.

Pemberian buah tangan dari salah seorang wakil nisa kepada salah seorang pesakit kanak-kanak di Hospital Likas

Walaupun ana hanya sempat berziarah tidak sampai 60 minit, pengalaman ini sudah cukup membuka mata dan minda. Pelbagai ragam serta masalah kesihatan kanak-kanak diperingkat umur yang berbeza-beza sempat ditemui. Betapa boring dan murungnya ditahan di wad berhari-hari dengan pelbagai pantang, balutan, dikeliling wayar-wayar serta bau ubat-ubatan huhu.

Betapa pedihnya menahan sakit hati saat dicalar manusia, merasa diri paling malang. Rupanya ada insan yang lebih merasa sakit. Malah lebih perit dan pahit. "DAN APAKAH LAGI NIKMAT TUHAN KAMU YANG KAMU KUFURI?"

Betapa
berat dan resahnya diri saat di uji bermacam-macam dugaan. Rupanya baru sedikit cuma. Masih ada ibu yang mampu bersabar saat melihat anaknya terlantar berbelitkan wayar-wayar dan mesin perubatan. "DAN APAKAH LAGI NIKMAT TUHAN KAMU YANG KAMU KUFURI?"

Orang kata, disaat kita kehilangan sesuatu barulah kita menghargainya. Terima kasih Allah kerna mengetuk hati hambaMu ini tanpa mengambil sebarang apa harta yang berharga.

Dalam ziarah tadi, kami sempat juga menghulurkan sedikit bantuan di wad para ibu mengandung. Atas sebab-sebab tertentu, ana tidak mengambil sebarang bentuk gambar di wad tersebut. Sempat juga ana berbicara pantas dengan seorang ibu yang tinggal menghitung hari melahirkan anak. Semoga zuriat yang dilahirkan sentiasa sihat dan dalam keadaan yang kuat :) Dia ibu, cukup mulia.

Akan datang, insyaAllah dalam perancangan ana mahu datang ziarah lagi ^_^

Setakat itu laporan. Wallahua'lam