Jazakallahu Khairan

Wednesday, December 30, 2009

1431H biar berkat.

2 minggu sudah berlalu.

Belum terlambat untuk mengucapkan selamat tahun baru. BUKAN pada 2010 tapi pada 1431H :)

Kebiasaannya semua orang akan mula membuka lembaran baru dengan semangat, wajah, azam dan harta benda yang baru sebagai titik pemula.

Oleh yang demikian, saya juga mahu membuka muka surat baru untuk tahun hijrah pada kali ini. Muka surat baru, tidak bermakna semua mesti baru. Saya menghargai semua perkara yang lama. Terutamanya kenangan dan pengalaman yang menjadi sebaik-baik guru untuk kebaikan masa akan datang.
Kali ini izinkan saya memunculkan diri sebagai seorang insan yang benar-benar bergelar anak yang solehah kepada ibubapa, pelajar yang mahu belajar, pemimpin yang benar-benar memimpin kerana Allah dan seorang daie yang benar-benar bergelar pejuang. Bukan pejuang olok-olok yang jatuh tersungkur terus berpatah arah. Tapi pejuang yang menoleh ke belakang hanya untuk mengubah kesilapan silam. InsyaAllah.

Khususnya untuk para pelajar, bila tahun baru menjelang semua kena serba baru dan sempurna. Hari itu saya ditanya, kelengkapan sekolah macam mana? Senaraikan barang-barang yang perlu dibeli untuk persediaan. Panjang-memanjang list yang saya sediakan. Sehinggalah terbaca kembali sebuah sms dari seorang sahabat cinta yang benar-benar memanggil diri untuk muhasabah.

"Renungkan kata2 ini shbtku.."Aku menangis krn tidak bkasut sehinggalah aku bertemu insan yg tdk berkaki""

Tidak perlulah kasut, baju dan beg baru sekiranya yang lama masih boleh digunakan. Hidup didunia hanya memerlukan keberkatan. Dari Allah dan ibubapa. Jika tidak, mengapa mereka yang hidup serba kekurangan masih boleh cemerlang dalam pelajaran, sentiasa tersenyum ceria memiliki keluarga yang bahagia dan kehidupan yang sentiasa berlapang dada walau hidup dalam kekurangan. Sedangkan yang kaya tidak semestinya cemerlang walau petang malam menghadiri kelas tambahan, tidak juga selalu bahagia walau dikelilingi harta intan permata. Jawapannya pada BERKAT dalam kehidupan. Allah tidak pandang pada jenama, hatta harga sesuatu benda melainkan mata manusia.

Konklusinya, cari-carilah berkat dalam segenap pekerjaan dan bantu-bantulah diri ini dengan berpesan-pesan kepada kebenaran.

Thursday, December 24, 2009

Tahniah Buat Izzah!

Tiada kata yang dapat meluahkan kegembiraannya. Saat menerima keputusan, hanya air mata yang bercucuran. Sedikit rasa terharu saat dia memeluk menahan sebak bercampur kegembiraan. Alhamdulillah~ hasil berhempas pulas mengerah tubuh dan minda akhirnya terbalas segala usaha di atas sekeping kertas.

Tahniah sekali lagi buat pelajar yang berjaya dan khususnya kepada adik kesayanganku. Katanya terlalu banyak A dan bersyukur dengan C yang dimiliki. 8A 1C. Apapun, semoga itu menjadi pemangkin buat Izzah terus memajukan diri mencemerlangkan prestasi :)

Tuesday, December 22, 2009

Islamic Summer Camp kali ke-3

Bangkitlah mujahid bangkitlah
Rapatkan barisan rapatkan
Ayunkanlah langkah perjuangan
Mati syahid atau hidup mulia

Siapkan dirimu siapkan
Gentarkan musuhmu gentarkan
Takkan pernah usai pertarungan
Hingga ajal kan menjelang

Enyahkan rasa takut dan gentar
Walau raga kan meregang nyawa
Kerna Allah tlah janjikan surga
Untukmu mujahid setia

Alhamdulillah~ Pada 18-20 Disember 2009, sebuah lagi program tahunan penerapan dakwah kepada golongan remaja yang dianjurkan Persatuan Siswazah Sabah telah berjaya dilaksanakan dengan jayanya. Program Islamic Summer Camp 2009 (ISC'09) berlangsung selama 3 hari 2 malam bertempat di Pusat Sejadi, Hutan Lipur Kawang, Papar. Program dihidupkan oleh bakal kader-kader dakwah yang terdiri daripada 70 orang pelajar sekolah menengah dari beberapa buah sekolah di sekitar Kota Kinabalu, Tuaran, Sipitang, Papar, Pitas dan Ranau.

Menyoroti hari-hari program, pelbagai aktiviti yang dirancang telah dilaksanakan. Antaranya;

Slot Muhasabah

Kuliah Dasar

Latihan Dakwah

Perkongsian Hati ke Hati bersama Fasi

Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua peserta yang berjaya menghadirkan diri dan hati sehingga ke akhir program. Semoga Allah memberkati ilmu dan segala bentuk pelajaran yang diperolehi sepanjang program yang direncanakan. Ambillah seberapa banyak perkara yang elok itu untuk meningkatkan kualiti diri di hadapan Allah. Sebarang kekurangan dan kesilapan yang berlaku amat dikesali dan mohon dimaafi.

Buat para pelaksana secara langsung mahupun tidak langsung, syabas dan tahniah diucapkan atas kerjasama dan komitmen yang diberikan. Hanya Allah yang selayaknya membalas jasa dan usaha kalian menjayakan ISC untuk kali ke-3 ini.


Semoga hati-hati yang dipilih terus istiqomah dalam melakukan segala amal kebaikan kerana Allah SWT. Teruskan perjuangan wahai mujahid setia sehingga khilafah Islam tertegak kembali ;)

Tuesday, December 8, 2009

No Obsession.

Bolehkah Islam itu berkembang bila halangan assabiyah belum dibolosi?

Merenung ke luar jendela, kelihatan ramai budak-budak remaja lelaki jalan berpasukan menuju ke padang bola untuk beradu kehebatan. Pasti mereka arif memilih kaki yang lincah beraksi merebut bola untuk mendapatkan kemenangan. Pasti mereka pasukan@jemaah yang mahir bermain bola.

Sekilas perhati di jendela kembara, oh. Mereka kumpulan remaja wanita mementingkan kecantikan. Bersiar-siar mencari kebebasan dan kepuasan. Itu, mereka jemaah kanak-kanak ribena yang gemar bermain dengan teman sebaya. Bermain guli, tin mahupun bubut-bubut mengikut musim. Dan mungkin pakcik-pakcik itu pula kelompok yang suka berdiskusi hal semasa sambil menunggu kopi baru dari pagi ke petang. Bersidang dengan yang seangkatan untuk mencapai permuafakatan.

Luarannya, orang menilai yang membawa Islam itu pasti mereka yang bertudung labuh, berjubah, berkopiah putih, yang berbicara perlahan, yang menghidupkan masjid-masjid dan yang serumpun dengannya.

Hakikatnya Islam juga memerlukan mereka yang tidak bertudung, bijak melontarkan kata-kata, pandai menyanyi, gagah dalam bersukan, kanak-kanak nakal, pemuda rempit, remaja shuffle, belia kedai kopi, suri rumah, tukang sapu, petani dan semua segala.

Bukankah setiap manusia itu memiliki kelebihan? Dan setiap kelebihan itu ada manfaatnya lebih-lebih lagi bila diarahkan ke landasan yang tepat.

Dalam usrah baru-baru ini, kata naqibahku untuk membentuk bangunan yang kukuh, elemen pasir, air dan simen itu diperlukan.

Sama seperti hidangan nasi lemak yang menjadi santapan aku dan adik-adik 'Putriku Sayang' seawal pagi tadi, kombinasi nasi dan sambal itu menyempurnakan hidangan. Dilengkapkan dengan telur rebus, ikan bilis, timun dan kacang cukup menyelerakan. Hasil campuran yang bervariasi mampu mencetuskan impak yang mendalam bagi yang menikmati.

P/S: Berakulturasilah dalam berkomunikasi masyarakat terintegrasi

Monday, December 7, 2009

Mati Mati, Hidup Mati.


'Hidup Susah Mati Pun Susah'..
Slogan ini aku biasa dengar daripada orang yang mengeluh.
Kehidupan yang sentiasa dirundung susah. Ditimpa malang. Dijenguk payah.
Soalnya, apakah individu itu sahaja yang merasa dirinya susah?
Fikir kita, adakah ada orang di dunia yang tidak ditimpa payah?
Atau adakah jalan untuk berasa senang di dunia?

Sungguh tiada individu seperti itu di dunia.
Tiada individu yang merasa senang dengan keselesaan dunia.
Dunia bukanlah tempat sebegitu untuk hamba Allah.
Dan pada jalan dakwah, apabila jalan ini terasa senang maka ada sesuatu tak kena dengannya.

Terkadang timbul perasaan selesa dalam diri dalam membawa agama ini.
Fikir-fikir dengan hanya mendengar, membaca dan melakukan apa sahaja yang berkaitan Fadhail Amal terasa diri sudah mampu masuk syurga.
Melakukan solat, berpuasa dan menunaikan amal ibadah sudah mampu masuk syurga.

Teringat kata-kata Al-Muslim Al-Khawani;
"Pendakwah yang tidak ditentang kerana dakwahnya maknanya dia bukan berdakwah pada jalan Allah."

Ingatlah diri dengan amaran Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 214.
"Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu?
Mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan, serta digoncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: "Bilakah datangnya pertolongan Allah?" Ingatlah,
sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat. "


Ya, Islam itu bukan hanya terletak pada perkara yang maaruf sahaja.
Bukan tertegak hanya dengan mendirikan solat sahaja.
Tetapi Islam ini bermula dengan peringatan!
Peringatan akan ancaman Allah SWT kepada manusia yang tidak mentauhidkannya.
Ajakan kepada Islam dengan menyuruh kepada yang maaruf dan mencegah kepada yang mungkar.

Sebab itu wahyu yang kedua diutus kepada Nabi SAW adalah menyuruh baginda bangun daripada selimut dan memberikan peringatan.

"Hai orang yang berkemul (berselimut), bangunlah, lalu berilah peringatan! "
Surah Al Muddatstsir ayat 1 dan 2.

Allah SWT tidak memerintah supaya Nabi SAW bangun lalu memberikan berita kebaikan.
Tetapi Allah SWT menyuruh Nabi SAW bangun untuk memberikan peringatan!

Oleh itu, tidak layaklah diri ini digelar Daei dengan hanya mengajak orang kepada kebaikan.
Tetapi meninggalkan terus peringatan mungkar!
Sesungguhnya memberi peringatan adalah kerja berat. Tak seberat mengajak orang kepada kebaikan.
Kerja yang benar-benar memberikan cabaran. Kerja yang telah diamanahkan kepada Nabi-Nabi dan Rasul terdahulu.
Berapa ramai orang yang dibakar hanya kerananya?
Berapa ramai pula orang yang dihumban ke dalam minyak panas menggelegak hanya kerananya.
Dan berapa ramai pula orang yang digergaji di kepala hanya kerananya.
Para-para Nabi, Rasul dan Sahabat telah membuktikannya melalui pengorbanan harta, masa, keluarga dan darah.

Sungguh telah sesatlah diri ini daripada jalan dakwah jika hanya mengajak kepada yang maaruf. Dalam masa yang sama membiarkan yang mungkar berlaku.

Lihatlah kepada kalimah Lailahaillah..
Perkataan La'(tidak), membawa erti yang kita perlu menolak segala pengabadian, segala sembahan, segala kepercayaan, segala Tuhan. Kecuali! Kepada Allah!
Ya, Islam bermula dengan pembasmian.
Tiada campur aduk antara jahat dan baik dalam Islam. Runtuhlah masyarakat Islam jika hanya yang ada di dalamnya orang yang mengajak kepada kebaikan, tidak mencegah kepada mungkar.
Lihatlah pada peristiwa Fathul Makkah. Bukankah perkara pertama yang Nabi SAW lakukan adalah membuang segala patung berhala di dalam dan di luar Kaabah? Selepas itu barulah Bilal melaungkan azan. Bukankah ini juga bukti Islam ini tertegak dengan pembasmian yang mungkar dahulu? Kemudian barulah mengajak orang ramai ke arah kebaikan.

Oleh itu kepada sesiapa yang mendakwa kita hanya perlu mengajak kepada orang kepada kebaikan kerana dengan ini sahaja mereka akan menolak kejahatan sebenarnya telah menolak apa yang terkandung di dalam Al-Quran bermaksud,

...(yaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan kedudukan mereka di muka bumi niscaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan zakat, menyuruh berbuat ma'ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan kepada Allah-lah kembali segala urusan.
(Al Hajj. Ayat 41.)

So, berjemaahlah. Ketuk-ketuklah pintu bilik member yang tak solat lagi. Sms-sms sahabat untuk Qiam dan saling beri peringatan.
Bergelak ketawalah, tapi jangan lupa ingatkan mereka tentang kematiaan. Berpada-padalah dengan Ikhtilat selagi tiada keperluan penting. Laranglah daripada orang menipu dan berkata-kata kesat. Wahai diri, bangun dan cegahlah kemungkaran!

"Kalaulah Dulu Aku.."

"Kalaulah dulu aku..."

Teringat pula masa zaman sekolah rendah dulu, suka saya membaca ruangan dalam sebuah majalah yang mencoretkan statement "Kalaulah aku..". Mulalah saya berimaginasi di luar kotak pemikiran menjadi itu dan ini. Antara bacaan yang masih tersisa diminda;

"Kalaulah aku jadi pokok kelapa, aku tinggi! Senang bantu mak aku ambikkan kelapa. Tak payah nak panjat-panjat. Senang tolong ambikkan layang-layang adik aku yang tersangkut kat tiang letrik"

"Kalaulah aku jadi kereta, senang aku nak antar adik-adik aku ke sekolah. Tak susah mengayuh basikal hari-hari. Hari isnin boleh aku bawa Milah round kampung, petang-petang ajak Tipah pegi pantai, esoknya bawa Leha tengok wayang pulak. Mesti ramai yang minat dengan aku."

"Kalaulah aku jadi si Putih, senang hidup aku hari-hari. Tak payah pegi sekolah. Tak payah basuh pinggan lepas makan. Tak susah nak tolong mak kemas rumah.
"


"Kalaulah aku mahir melukis, ...."

"Kalaulah aku genius, ...."

Dan bermacam-macam lagi 'kalau' dan 'kalau'. Tersebut al-diskusi si Bawang putih dan si Bawang Merah;

Bawang Putih: Hari-hari adik berlalu sedih, tiada apa yang tak sedih melainkan sedih belaka.

Bawang Merah: Apa yang kau sedihkan adik Bawang Putihku sayang?

Bawang Putih: Impian adik tak tercapai, pilihan adik silap. Kalaulah dulu....

Bawang Merah: Hah.Hentikan perkataan 'kalaulah dulu...'. Ianya hanya membuka pintu Syaitan. Pasti Syaitan akan memperdayakan adik supaya berfikir lebih melampau..

Bawang Putih: Terus....?

Bawang Merah: Syaitan akan memasangkan angan-angan pada adik untuk kembali ke zaman silam. Menyoroti zaman silam untuk memperbaiki kesilapan dalam pilihan. Ini tak lebih daripada angan-angan yang tak akan menjadi kenyataan adik Bawang Putihku sayang.

Bawang Putih: Tapi, kan seronok kalau dapat kembali ke zaman silam kak?

Bawang Merah: Angan-angan daripada Syaitan itu memang seronok. Tapi sebenarnya melalaikan, tak betul dan menyesatkan. Qada' dan qadar Allah itu sudah tersurat. Salah satu daripada rukun Iman tu. Percaya dan yakinlah dengan pilihan yang telah dibuat. Ianya memang datang daripada Allah dan memang ada hikmahnya.

Bawang Putih: Akak memang suka membuat perumpamaan. Apa pulak perumpamaan akak kali ini?..

Bawang Merah: (Sambil tersenyum) Tak mungkin adik dapat mengembalikan susu kambing kembali kepada puting susunya. Mengembalikan bayi yang dilahirkan kepada rahim ibuya. Menarik kembali malam untuk mendapatkan waktu siang. Mengembalikan hujan kembali kepada awan dan mengembalikan mata air yang di hilir ke hulunya.

Bawang Putih: Maksudnya?

Bawang Merah: Susu lembu yang diperah dari kambing boleh diminum dan diambil manfaatnya.
Bayi yang dilahirkan boleh dibentuk untuk dijadikan manusia hebat. Siang akan datang juga setelah beredarnya malam, peluang masih ada untuk jadi lebih baik dari semalam. Hujan sebagai barakah dan rahmat daripada Allah SWT dan air di hilir sebagai penghubung antara hulu sungai dan laut.

Bawang Putih: Maksud akak semua ada manfaatnya?

Bawang Merah: Ya, betul. Dan semua peristiwa ada putarannya. Hikmah yang terkandung itu luas. Belum tentu apa yang kita inginkan itu, terbaik untuk kehidupan kita di dunia dan akhirat. Percaya dan yakinlah kepada Allah SWT. Berbaik sangkalah denganNya dan jangan pernah putus berdoa.

Wallahua'lam.