Jazakallahu Khairan

Monday, November 2, 2009

Keyakinan Itu 'under construction'

Sepanjang menjalani revolusi diri dan pematangan minda, banyak perkara yang dilalui menimbulkan kesedaran akan kelemahan dan kekurangan diri ini. Sewaktu bertarung di medan akademik, berjuang di lapangan dakwah mahupun dalam politik sekolah. Dalam skop kecil, lihat saja dalam bertutur, keyakinan dan kepimpinan. Kadangkala keyakinan dalam melaksanakan sesuatu itu cukup saya rasakan berada ditahap terendah.



Sejujurnya saya dilahirkan tidak secara semulajadi memiliki kehebatan dalam bertutur, juga dalam memimpin. Kerna saya yakin ada individu yang dilahirkan sudah memiliki keupayaan tersebut atas faktor-faktor keistimewaan melalui persekitaran mahupun kelebihan. Oleh yang demikian, atas bantuan permulaan yang rumit, yang tumpul itu akan terus saya pertajamkan secara berterusan. Saya yakin, individu lain juga pasti ada yang sedang mengalami ataupun telah melalui situasi sedemikian.

“Musa berkata: "Ya Tuhanku sesungguhnya aku, telah membunuh seorang manusia dari golongan mereka, maka aku takut mereka akan membunuhku. Dan saudaraku Harun dia lebih fasih lidahnya daripadaku, maka utuslah dia bersamaku sebagai pembantuku untuk membenarkan (perkataan)ku; sesungguhnya aku khuatir mereka akan mendustakanku."
(Al Qashash 33-34)

Nabi Musa juga berasa kurang yakin dan khuatir dengan dakwah yang dibawanya tanpa bantuan Nabi Harun a.s. Setuju atau tidak sekiranya saya katakan, kepimpinan itu berkait dengan keyakinan dan keyakinan itu berkait dengan kepimpinan? Usah pandang hanya pada nabi, walhal perdana menteri, guru, suami dan pelajar juga perlu memimpin. Cuma tahapnya berbeza. Tanpa keyakinan, jangankan berbicara mungkin menunjukkan muka juga belum lepas.

Seperti yang penulis katakan diawal penulisan, diri ini sedang melalui revolusi. Memikirkan cara terbaik untuk memimpin dan cara memberi arahan yang berkesan, pelbagai kaedah mungkin boleh digunapakai. Cuma kerisauan ditahap kemuncak menghalang diri dari bertindak. Dalam sebuah hadis Rasulullah ada mengatakan,

"Sebaik-baik pemimpin kamu ialah yang kamu mencintai mereka dengan mereka mendoakan kamu. Dan seburuk-buruk pemimpin kamu ialah yang kamu membenci mereka dan mereka membenci kamu, yang kamu mengutuk mereka dan mereka mengutuk kamu”
(Riwayat Muslim)


Saya mahukan yang terbaik. Sungguh, dalam apa yang saya langsungkan biarlah kerana saya mencintai mereka yang diamanahkan. Namun, dalam menentukan yang terbaik, ketidakyakinan tersebut perlu dihadapi sebelumnya.

Dalam pembacaan, teringat saya sebuah kisah.
Pada zaman Bani Abbassiyah, khalifah Hassan al-Basri berkata kepada Perdana Menterinya yang cerdik lagi bijaksana sambil memandang Kaabah dan rakyatnya yang sedang tekun menunaikan ibadah haji.

“Wahai Perdana Menteri lihatlah betapa ramainya rakyatku”

Di mana pada ketika itu adalah musim haji maka bertambah ramailah rakyatnya yang menunaikan kewajiban tersebut. Lalu Perdana Menteri menjawab

"Apalah yang hendak dibanggakan dengan rakyat yang ramai. Sesungguhnya mereka akan ditanya tentang diri masing-masing di akhirat kelak. Sedangkan kamu akan ditanya tentang diri kamu dan juga rakyat-rakyatmu ini.”

Mendengar sahaja jawapan ini , maka menangislah Hassan Al-Basri.
Pastinya sesiapa saja belum bersedia untuk menjawab pertanyaan sedemikian. Raja kepada rakyat-rakyatnya, suami kepada isteri dan anak-anaknya, ketua kepada anak buahnya, anak sulung kepada adik-adiknya dan guru kepada murid-muridnya.

"Wahai Tuhanku, lapangkanlah dadaku, mudahkanlah untukku urusanku dan lepaskanlah kekakuan lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku"(Taha: 25-28)

Debate 2008

1 comment:

carnado2008 said...

SALAM PERJUANGAN
http://java2everyone.blogspot.com