Jazakallahu Khairan

Tuesday, November 17, 2009

Hati-Hati Menjaga Hati.

"Susahnya mau tetapkan hati dorang tuk join usrah." Rungut seorang junior kepada saya. Lama saya terdiam, wajahnya tampak lesu. Kesian adik sorang ni.

"Kenapa umat Islam susah mau bersatu? ..." Baru beberapa hari yang lepas kami dilemparkan soalan tersebut oleh seorang naqib dalam usrah pimpinan. Satukan seluruh umat Islam? Untuk bersatu dalam halaqah yang kecil pun susah.

Masalah anak buah mengundurkan diri bukan satu perkara yang biasa tetapi biasa berlaku. Dakwah bagi seorang murabbi tidak sebolehnya terlalu mempercayai bahawa ia telah memberikan banyak bahan dan terlalu yakin bahawa mad'unya (sasaran dakwah) telah menjadi pejuang yang tidak mungkin jatuh tatkala tersadung batu ujian.

Lihat sahaja kisah terbukaan Kaab Bin Malik semasa perang Tabuk pada zaman Rasulullah. Panglima besar Islam itu tidak mahu berperang hanya kerana malas. Namun, dia bersimpuh di hadapan Rasulullah sambil berkata,
“Wahai Rasulullah, andai aku berhadapan dengan selain engkau, aku yakin aku dapat mencari alasan, namun aku khuatir (bimbang) Allah akan membuatmu marah padaku dengan mengungkapkan kedustaan itu melalui wahyu.”

Apa yang ditonjolkan oleh Kaab sudah cukup menjadikan renungan kita bersama akan erti keterbukaan, berterus terang dan kejujuran. Di sanalah kuncinya. Ketika seorang mad'u berterus terang akan kesalahannya, maka akan legalah hati, sungguhpun ianya memalukan. Luahkan segala masalah dan sebarang ketidakpuashatian. Di saat itulah motivasi rohani dari murabbi dan nasihat teman-teman harus segera diberikan untuk melengkapkan langkah-langkah yang sudah tertinggal.


Istiqomah? Memang susah untuk istiqomah. Mudah untuk kita menuturkannya, hakikatnya sukar untuk dilaksana. Berhati-hatilah dalam berbicara kerana setiap yang ditutur dinilai Allah. Semakin banyak bicara kita tentang perjuangan, semakin kuat ujian Allah yang bakal diterima. Andai amalan dan ibadah kuat, itulah benteng dalam menghadapi segala ujian.

Sebaliknya, jika kita lemah dalam menjaga ibadah, bila-bila masa saja kita akan jatuh terjelopok. Lebih-lebih lagi bila melakukan maksiat kepada Allah. Pasti sukar untuk bangkit kembali.

Dari Abdullah bin Amru, ia berkata bahwa Rasulullah SAW bersabda;
“Setiap amal memiliki puncaknya dan setiap puncak pasti mengalami kefuturan (putus asa). Maka barang siapa yang pada masa futurnya (kembali) kepada sunnahku, maka ia beruntung dan barang siapa yang pada masa futurnya (kembali) kepada selain itu, maka bererti ia telah celaka”

(HR Imam Ahmad dari sahabat Anshar)

Pada pandangan saya, salah satu cara untuk menjaga sahabat dari futur, melalui ukhuwah. Eratkan kembali ukhuwah adalah satu lagi perkara yang berperanan besar dalam menjaga stamina ruhiyah seseorang dalam

tarbiyah. Kadang-kadang kerana kesibukan, hak-hak ukhuwah yang seharusnya kita berikan kepada saudara kita terabai. Tidak hairanlah tika satu waktu kita merasakan program dan pertemuan rutin agak kering tanpa makna. Kosong. Perkara sebegini haruslah diatasi.

Sesibuk manapun aktiviti kita, hak-hak ukhuwah harus tetap kita berikan. Berwajah cerah ketika bertemu, saling berziarah sehingga kita tahu keadaan keluarganya, masalah yang sedang dihadapinya serta keadaan imannya. Cari masa untuk bermalam bersamanya agar dapat bertukar cerita sehingga kita boleh berempati terhadap permasalahan saudara kita. Saling menasihati baik diminta ataupun tidak, saling bertukar hadiah dan saling mendoakan. Andai kesemua hak-hak ukhuwah tersebut kita tunaikan, akan menjadi tipislah kemungkinan untuk gugurnya sahabat-sahabat kita dari jalan dakwah, InsyaAllah.


Andai dirasai, tarbiyah itu unik. Di situ bukan sahaja sekadar perpindahan ilmu dan bahan, tetapi juga proses bagi setiap individu di dalamnya untuk menjadi lebih baik dari sebelumnya. Langkah-langkah ke arah menjadi lebih baik itu yang menjadikan kita lebih mengerti akan hakikat sebenar hidup berjemaah. Tarbiyah bukanlah segala-galanya, yang pasti segalanya-galanya bermula dari tarbiyah.

Semoga Allah memelihara jiwa kita dari sifat kefuturan. Semoga dengan buah istiqamah, kita akan diberikan kemenangan dan mendapat kebahagiaan di dunia dan akhirat. InsyaAllah.

1 comment:

ishare whomyrare said...

Salam.
bismillah.
adik setujju dengan pandangan akak ni mula kan dari ukhuwah seperti kita belajar merangkak baru jalan. Kepada naqib usrah adik doakn hatimu tabah seteguh iman kamu. Jgn putus asa. memang susah menyatukan semua umat islam.
itulah dugaan kita daripada Allah.
banyakkan solat apa adik ni bukan taw sgt. adik baru mualaf. sedang belajar. sorry :(
suka tgk gmbr ukhuwah di atas tu:)