Semangat yang terbang. Pasti perasaan yang sama kepada guru-guru yang bertugas semasa sesi petang hari ini. Tanggungjawab dalam mendidik, khuatir juga menjaga anak didik. Bila yang aktif lebih ramai dari yang pasif. Anak tercalar, guru dikejar ibu bapa.
Bingit suara pelajar bila tiada yang mengawal. Sistematik, tugas untuk guru telah diagihkan berbeza tugas mengikut sesi pagi dan petang. Selepas rehat, saya ditugaskan mengawal kelas sementara guru lain menyudahkan tugas pembersihan di kawasan makan pelajar.
Bahagian melantangkan suara semestinya saya yang kalah. Mujurlah idea bermain dan menyanyi masih boleh digunapakai di zaman ini. Sikit-sikit perlawanan antara pelajar lelaki vs perempuan agak berhasil. Fikirkan modul ad-hoc asalkan mereka duduk.
Bahana Cincin.
Sedang-sedang pelajar lain berlumba-lumba mengangkat tangan. Sambil menunjukkan tangan, seorang pelajar menghampiri. dengan nada minta simpati minta dibukakan cincin yang tersekat dijari. Terserap darah di muka melihat jari pelajar berbadan gempal ini sudah bengkak membiru. Mujur medulla oblongata masih mampu mengawal sistem automatik di dalam badan ini. Cerebrum otak masih mampu mengawal diri berfikir secara teliti. Semestinya kes sebegini diadukan kepada veteran terlebih dahulu. Syukurlah hanya cincin plastik, sungguhpun kaedah air sabun dan minyak tidak berkesan, sekurang-kurangnya alternatif menggunakan lesung batu dan tukul terbukti berjaya. fuh~
Keadaan itu saya juga pernah lalui, sangat memahami ketakutan pelajar ini saat diacah jarinya akan dipotong. Benda sudah terjadi. Hendak dimarah, budak-budak tahu apa. Katanya mahu menyahut cabaran kawan sebelah.
Situasi ini mengingatkan saya kepada teacher PP sewaktu di tingkatan 6. Katanya pemikiran kanak-kanak lebih baik berkembang melalui pengalaman. Naluri kanak-kanak tinggi untuk mencuba walaupun dilarang berkali-kali. Bak kata pepatah, "sudah terhantuk baru terngadah". Saya pasti dia juga sudah serik. Oleh itu, berpadah-padahlah memakai cincin. Pastikan size bersesuaian dengan jari sebelum cuba-cuba untuk disarungkan memenangi cabaran rakan sebelah.
Alhamdulillah~
No comments:
Post a Comment