Jazakallahu Khairan

Thursday, April 28, 2011

Kem Remaja Islam Kundasang.


Kundasang buat julung kalinya telah mengadakan Kem Remaja Islam setelah beberapa kali percubaan pada tahun-tahun yang sudah. Tahniah buat orang-orang kuat Kundasang yang cukup bertungkus-lumus hingga dapat menjadikan Pusat Latihan Industri Kundasang (PLIK) sebagai tapak program. Turut banyak menyumbang tenaga, wakil dari PSS dan KRU kawasan Tuaran selaku fasilitator dan AJK yang berkhidmat melancarkan aktiviti sepanjang program.



Tercatat dalam lipatan sejarah, program KRIS Kundasang pertama kali telah diadakan pada 22-24 April 2011 yang mengumpulkan pelajar-pelajar dari sekitar Kundasang dan Ranau sebagai peserta. Uniknya remaja-remaja Islam ini dapat berprogram dalam suasana ala-ala sejuk di negara Barat.

Sama seperti KRIS Tuaran, saya hanya sekejap-sekejap dapat menapakkan kaki ke tapak program. Pertembungan tarikh KRIS Kundasang dan qiamullail KRUKK menjadi sebab utama perlunya berulang-alik KK-Kundasang. Seperti biasa menjadi pembantu belakang tabir di dalam slot senior Amin sambil belajar kaedah pengurusan teknikal yang baru. Kami tiba sekitar waktu Maghrib-Isyak, sejuk menggigit hingga ke tulang ditambah lagi dengan sejuk hujan yang turun di Kundasang.

.Secebis memori untuk dikenang.

Gambar program boleh didapatkan di album FB sdra Azizul Julirin :)

Wednesday, April 27, 2011

Taqwa : Bagaimana Membinanya?


Salam Perjuangan, bahawa jalan juang ini penuh onak dan duri, penuh liku dan berdarah, pahitnya terasa, manisnya InsyaALLAH dunia dan akhirat. Wahai para daie, hari ini kita berhadapan dengan pelbagai cabaran, bukan hanya cabaran luaran, kita hari-hari diuji dengan ujian dalaman. Sama ada sesama ahli jemaah mahupun diri sendiri dalam mengatur mujahadah. Lalu bagaimana hendak kita mengatur langkah juang ini sebagai daei yang bersungguh, sebagai muslim yang mukmin, dan sebagai mukmin yang muttaqin.

Allah SWT berfirman dalam surah Al-Ankabut(2-3). Maka ujian adalah satu peringkat untuk mencapai level mukmin. Bagaimana ujian itu bergantung kepada kepada individu mengikut kemampuan yang Allah tetapkan kerana itulah syarat ujian dan cubaan yang Allah tetapkan seperti yang seringkali dibaca oleh para daie dalam amalan dzikir-zikir ma'thurat Allah tidak membenani seseorang itu melainkan mengikut kemampuannya"-Surah Al-Baqarah(286)

Liku-liku dan perjalanan perjuangan ini telah menyaksikan pelbagai jenis pejuang, ada yang gugur syahid, ada yang tercicir, dan ada juga yang tidak mahu turut serta lantaran takutnya nikmat peribadi tidak lagi terluang untuk diri sendiri.Adakah kita terlupa wahai daie, kepada siapakah akan kita hadapkan perjuangan ini? Kepada apakah pengakhiran kehidupan ini? Lalu jawapan apakah yang akan kita sediakan kepadaNYA kelak tentang masa dan umur yang DIA berikan kepada kita?Dan harta yang kita belanjakan?

Untuk mengikat diri agar terus kekal berada didalam landasan perjuangan, daie hendaklah meletakkan rasa taqwa iaitu perasaaan takut kepada Allah kerana taqwa akan menaikkan keimanan sekaligus mencapai level mukmin yang muttaqin. Untuk mencapai level taqwa ini, terdapat beberapa peringkat atau cara yang digariskan dalam Islam, antaranya

Mua'ahadah
- Maksudnya ialah berseorangan atau bersendirian dengan Allah, dimana sebagai seorang daie, hubungan yang kuat perlu dibina dengan Allah SWT, berjanji bahawa seluruh kehidupan mengikut ketetapan Allah walau senang mahupun susah. Tidak akan berpaling dalam menmberikan haq pengabdian dirinya kepada Allah SWT

Muhasabah
- Hisab iaitu pengiraan atau nilaian terhadap diri melalui amalan yang dilakukan sepanjang hari. Contohnya, muhasabah terhadap bagaimana ia menghabiskan masanya bermula dari bangun tidur sehingga tidur kembali. Adakah amalan-amalan yang dilakukan seiring dengan kehendak Allah atau tidak kerana dibimbangi amalan yang dilakukan hanya menimbulkan riya' dan jauh dari keikhlasan.

Mujahadah
- Ertinya memerangi hawa nafsu yang boelh menghalang seseorang daie untuk meluruskan amalannya hanya kerana Allah dan ingin mendapat redhaNYA. Ini kerana nafsu adalah diantara musuh dalam diri yang sering mempengaruhi amalan manusia. Ianya bersifat tertentu dan terarah. Lalu nafsu inilah yang perlu ditundukkan agar ia tidak melampaui batas dan tunduk kepada kehendak iman.

Muradabah
- Dalam erti konsep taqwa, muradabah bermaksud malu dengan sikap diri sendiri. Malu pada maksiat yang dilakukan sama ada secara terang mahupun bersembunyi. Malu mempunyai maksud yang sangat luas, malu tidak hanya disandarkan kepada sesama makhluk, ia juga perlu disandarkan pada tempat yang betul. Malu dengan sikap diri sendiri akan melahirkan rasa malu dengan Allah atas perbuatan yang dilakukan, lalu malu inilah yang disebut sebagai "malu itu sebahagian daripada iman". Malu dengan siri sendiri bukan hanya malu berbuat maksiat, malu juga perlu hadir sekiranya diri tidak dapat melaksanakan kebaikan dan tanggungjawab sebagai hamba Allah.

Muaqabah
- Memukul/menghukum diri. Contohnya jika hari ini kita meninggalkan amalan solat sunat Dhuha yang kita lakukan setiap hari, kita meletakkan satu jenis hukuman bagi menghukum diri seperti berpuasa atau beristigfar 70 kali bagi memberi satu pengajaran dan peringatan kepada diri agar tidak memandang rendah kepada perkara dan amalan sunat. Secara tidak langsung ia juga menjadi satu muhasabah dan mujahadah kepada diri.
Ini adalah sebahagian langkah untuk kita mencapai dan menyemai rasa taqwa dalam diri, pun begitu terdapat banyak perkara yang mendekatkan seorang hamba kepada Allah SWT yang boleh melahirkan rasa taqwa dan kecintaan kepada Allah. Takut kepada Allah hanya hadir sekiranya rasa cinta kepada Allah wujud. Lalu bagaimana untuk dihadirkan rasa cinta itu? Belajarlah mengenal Allah, tak kenal maka tak cinta, semakin kenal semakin sayang dan cinta.

Tuesday, April 26, 2011

Qiamullail April KRUKK + Mesyuarat Agung Kali Ke-4


Setinggi kesyukuran ke hadrat Allah SWT, dengan izinNya Kelab Remaja Ukhuwwah cawangan Kota Kinabalu dapat mengadakan qiamullail bulanan sekali lagi pada 23-24 April 2011. Alhamdulillah program yang berlokasi di Masjid Universiti Malaysia Sabah berjalan dengan lancar. Kehadiran pada kali ini agak memberangsangkan dengan seramai 122 orang peserta dari sekolah sekitar Kota Kinabalu.

Selain pengisian qiamullail yang menjadi tunjang program, Mesyuarat Agung KRUKK Kali Ke-4 turut menjadi agenda utama. Majlis telah dirasmikan oleh penasihat Persatuan Siswazah Sabah iaitu Sdra. Firdaus Fuad. Pimpinan sesi 2010/2011 telah meletakkan jawatan dengan selamat dan digantikan dengan pimpinan sesi yang seterusnya. Berikut adalah organisasi pimpinan KRUKK sesi 2011/2012;

Pengerusi: Azmeer Zainuddin
Timb. Pengerusi: Hafizatul Bazla Mohd Dahali
Setiausaha: Hashemi Hashim
Timb. Setiausaha: Satriani Burhan
Bendahari: Fariz Amirul Mohd Fauzi
Timb. Bendahari: Siti Hasmaliza

Ahli Lajnah:

Lajnah Tarbiyyah dan Dakwah
1. Muhammad Soffiq Saripin
2. Azree bin Munir
3. Nur Radiah
4. Sri Mulyati

Lajnah Kepimpinan dan Organisasi (LKO)
1. Nazree bin Munir
2. Mohd Fauzan bin Dahlan
3. Sarimah Massa
4. Fashella Vun@Faizah

Lajnah Ekonomi dan Keusahawanan (LEK)
1. Mohd Arafat bin Uyong
2. Radzwan Syafique bin Ramlee
3. Nuraina Nabilah
4. Nur Masturah

Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan (LKK)
1. Nik Mohd Akib
2. Azrin bin Adam
3. Nur Ain Sakinah
4. Nur Hikmah bin Sulaiman

Lajnah Penerbitan dan Informasi (LPI)
1. Mohd Soffian At-Thauri
2. Mohd Syahmi bin Osman
3. Zareena Jumat
4. Nur Hijrah


Buat ahli jawatankuasa yang baru, selamat menjalankan tugas baru yang diterima.
Salam 1 perjuangan.

Sunday, April 24, 2011

Gelombang Keadilan

Gelombang Keadilan

Kan melangkah kaki dengan pasti
Menerobos segala onak duri
Generasi baru yang telah dinanti
Tak takut dicaci tak gentar mati

Bagai gelombang terus menerjang
Tuk tumbangkan segala kezhaliman
Dengan tulus ikhlas untuk keadilan
Hingga pertiwi gapai sejahtera

Takkan surut walau selangkah
Takkan henti walau sejenak
Cita kami hidup mulia
Atau syahid mendapat surga

Thursday, April 21, 2011

Qiamullail bulanan KRUKK + Mesyuarat Agung Kali ke-4


Tarikh: 23-24 April 2011
Tempat: Masjid Universiti Malaysia Sabah

Kelab Remaja Cawangan Kota Kinabalu akan mengadakan qiamullail bulanan yang bertemakan 'akidah-Back To The Basic'. Program akan bermula pada jam 2 petang sabtu dan dijangka akan berakhir pada jam 10 pagi ahad.

Kehadiran sahabat-sahabiah amat dialu-alukan bagi mengisi kelompangan di jiwa masing-masing di samping menyerikan lagi perjalanan Mesyuarat Agung Kelab Remaja Ukhuwwah cawangan Kota Kinabalu kali ke-4 pada hari ahad jam 8 pagi di tapak program yang sama. Sediakan kelengkapan untuk berprogram 2 hari 1 malam dan jiwa yang suci untuk menimba ilmu :)

Mari memohon agar perjalanan program ini diberkati Allah SWT dan dijauhi dari sebarang perkara yang tidak diingini.

Selamat berprogram!

Sunday, April 10, 2011

Kem Remaja Islam Tuaran pembuka tirai.

Alhamdulillah dengan izin Allah SWT dapat juga menginjakkan diri ke Kem Remaja Islam(KRIS) yang diadakan di kawasan Tuaran semalam. Hampir saja tidak dapat ke sana atas kepadatan jadual di hujung minggu. Mujur Allah permudahkan urusan serta masih menetapkan keazaman dihati untuk turun menyumbang segala yang termampu.

Niat asal hendak membantu sepenuhnya di KRIS semua kawasan pada tahun ni tapi sungguh perancangan Allah itu adalah yang the best. Tidak ada manusia yang diciptakan punya kuasa Kage Bunshin No Jutsu seperti Naruto. Jika ada, pasti tanggungjawabnya juga akan sama berganda. Lebih pening kepala.

Tahniah kepada PSS dan KRU kawasan Tuaran yang telah berjaya melaksanakan program tahunan PSS. Sekaligus menjadi KRIS pembuka tirai untuk tahun 2011 pada 08-10 April. Penyertaan amat memberangsangkan dan saya yakin ianya turut mencapai kuota yang ditetapkan. 7 buah sekolah di sekitar Tuaran telah menghantar wakil dan menjadikan jumlah penyertaan mencecah seramai 100 lebih. Mabruk!

Slot malam yang dihidupkan dengan suasana detik kematian mengambil masa sejam lebih. Semestinya di setiap pengisian yang hendak disampaikan, penyampai terutama perlu menyerapkan sedalam-dalamnya nilai penghayatan kepada diri terlebih dahulu. Bila penyampaian melalui hati insya-Allah dipermudahkan untuk sampai kepada hati-hati yang lain. Sungguhpun hanya bertugas di belakang tabir. Mari ke arah bertugas dengan ikhlas, jangan kerana tugas.

Memandangkan esoknya di awal pagi saya perlu mengikuti kursus guru PASTI, usai slot, di lewat jam 11 malam itu tekad juga untuk pulang ke rumah dengan mengekori sifu dari belakang. Harap perkara ini saya tidak perlu ulangi untuk jaminan keselamatan pada masa akan datang. Muhasabah kembali.

Apapun tahniah Tuaran atas pelaksanaan kerja yang sentiasa ke hadapan! :) Mari menantikan program KRIS di kawasan seterusnya, antara yang pasti Kota Belud - 06-08 Mei 2011 dan Kota Kinabalu - 03-05 Jun 2011.

Thursday, April 7, 2011

Tersekat cincin di jari.

Semangat yang terbang. Pasti perasaan yang sama kepada guru-guru yang bertugas semasa sesi petang hari ini. Tanggungjawab dalam mendidik, khuatir juga menjaga anak didik. Bila yang aktif lebih ramai dari yang pasif. Anak tercalar, guru dikejar ibu bapa.

Bingit suara pelajar bila tiada yang mengawal. Sistematik, tugas untuk guru telah diagihkan berbeza tugas mengikut sesi pagi dan petang. Selepas rehat, saya ditugaskan mengawal kelas sementara guru lain menyudahkan tugas pembersihan di kawasan makan pelajar.

Bahagian melantangkan suara semestinya saya yang kalah. Mujurlah idea bermain dan menyanyi masih boleh digunapakai di zaman ini. Sikit-sikit perlawanan antara pelajar lelaki vs perempuan agak berhasil. Fikirkan modul ad-hoc asalkan mereka duduk.

Bahana Cincin.

Sedang-sedang pelajar lain berlumba-lumba mengangkat tangan. Sambil menunjukkan tangan, seorang pelajar menghampiri. dengan nada minta simpati minta dibukakan cincin yang tersekat dijari. Terserap darah di muka melihat jari pelajar berbadan gempal ini sudah bengkak membiru. Mujur medulla oblongata masih mampu mengawal sistem automatik di dalam badan ini. Cerebrum otak masih mampu mengawal diri berfikir secara teliti. Semestinya kes sebegini diadukan kepada veteran terlebih dahulu. Syukurlah hanya cincin plastik, sungguhpun kaedah air sabun dan minyak tidak berkesan, sekurang-kurangnya alternatif menggunakan lesung batu dan tukul terbukti berjaya. fuh~

Keadaan itu saya juga pernah lalui, sangat memahami ketakutan pelajar ini saat diacah jarinya akan dipotong. Benda sudah terjadi. Hendak dimarah, budak-budak tahu apa. Katanya mahu menyahut cabaran kawan sebelah.

Situasi ini mengingatkan saya kepada teacher PP sewaktu di tingkatan 6. Katanya pemikiran kanak-kanak lebih baik berkembang melalui pengalaman. Naluri kanak-kanak tinggi untuk mencuba walaupun dilarang berkali-kali. Bak kata pepatah, "sudah terhantuk baru terngadah". Saya pasti dia juga sudah serik. Oleh itu, berpadah-padahlah memakai cincin. Pastikan size bersesuaian dengan jari sebelum cuba-cuba untuk disarungkan memenangi cabaran rakan sebelah.

Alhamdulillah~