"Apabila seseorang daripada kamu berpuasa, maka janganlah kamu berkata kotor dan memaki hamun. Apabila dicela orang lain atau dimusuhi, maka katakanlah sesungguhnya aku ini sedang berpuasa"
(Riwayat Bukhari)
Tidak terlambat kiranya untuk saya berkongsi beberapa adab dan amalan sewaktu berpuasa. Adalah lebih wajar sekiranya kita mencontohi cara insan yang lebih tahu amalan yang disukai Allah(Rasulullah).
1. Mantap dan jitukan niat.
Rasulullah bersabda,
"Sesiapa yang tidak menetapkan akan berpuasa sebelum fajar, maka tidak sah puasanya."
(Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
Selain niat puasa yang dihafal, niatkan dari awal agar keseluruhan diri berpuasa dari melakukan perkara-perkara yang tidak berkenaan berlandaskan akhlak muslim sejati. Semoga puasa yang dilakukan diterima Allah.
2. Makan sahur.
Saya yakin dan pasti, ramai yang beralasan untuk mengelak daripada melakukan perkara ini. Hakikatnya, pesuruh Allah menggalakkan kita melakukannya. Dalam sabda baginda,
"Bersahurlah kamu, sesungguhnya dalam sahur itu ada keberkatannya."
(Riwayat Muslim)
Ibnu Hajar al-Asqalani berpendapat, yang dimaksudkan dengan berkat itu adalah ganjaran pahala daripada Allah. Selain menguatkan semangat semasa melakukan amalan puasa, banyak hikmah dalam bersahur yang selaku hambaNya ytidak dapat dilihat dengan mata kasar. Saya akui, saya juga agak sukar untuk melakukannya tapi tidak menjadi masalah sekiranya mahu. 'Hendak seribu daya tak hendak seribu dalih'.
3. Imsak.
Rasulullah bersabda,
"Apabila azan Subuh padahal bekas minuman masih ditangannya, maka janganlah diletakkannya sehinggalah dia menyelesaikan meminumnya"
(Riwayat Abu Daud dan Ibnu Majah)
4. Cepat berbuka apabila sampai waktu.
Sahl bin Saad berkata bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud,
"Allah berfirman,
'Hamba-hambaKu yang lebih Aku cintai ialah mereka yang segera berbuka apabila tiba masanya.' "
(Riwayat Tarmizi dan Abu Hurairah)
5. Banyak membaca al-Quran.
Amalan ini amat digalakkan terutamanya dalam Ramadhan. Tersangatlah rugi buat manusia yang mengatakan kurang pandai membaca al-Quran sedangkan tidak sedikitpun berusaha untuk melakukannya. Sewaktu saya bertanyakan tentang tadarus al-Quran kepada Ustazah di sekolah, beliau mengatakan objektif tadarus yang diadakan di sekolah adalah untuk menggalakkan pelajar membaca al-Quran. Bukan terkejar-kejar untuk mengkhatamkannya. Benar. Jika bulan-bulan sebelum ini al-Quran tidak dibaca, paling tidak amalkanlah satu muka surat al-Quran setiap hari di bulan Ramadhan.
6. Banyak bersedekah.
Sedekah paling utama ialah sedekah pada bulan Ramadhan. Bukan dari sudut kewangan semata-mata, tetapi termasuklah memberi makanan, pakaian dan sebagainya yang perlu kepada golongan yang lebih memerlukan.
7. Tinggalkan amalan yang buruk.
Orang yang berpuasa WAJIB meninggalkan akhlak yang buruk. Puasa telinga daripada mendengar umpatan atau kejian. Puasa mata daripada melihat perkara-perkara yang ditegah. Puasa lidah daripada berkata sesuatu yang sia-sia, mengumpat, bergosip dan yang sewaktu dengannya. Melakukan perkara-perkara buruk tersebut sewaktu berpuasa boleh menyebabkan puasa tidak diterima Allah. Kan sia-sia! Yang diperoleh hanya dahaga dan lapar.
Puasa sememangnya mendidik individu ke arah kebaikan. Kedatangan Ramadhan perlu dihargai. Hanya 30/365 hari setahun. Seharusnya tidak timbul sebarang alasan meremehkan puasa kita kerana peluang yang diberi terlalu singkat. Mari lakukan sesuatu yang terbaik di sisi Allah kerana setiap malam bulan Ramadhan ada suara yang memanggil,
"Wahai orang yang melakukan kebajikan, terus tingkatkan apa yang kamu lakukan itu. Wahai orang yang lalai, hentikan kelalaian yang sedang engkau lakukan. Mudah-mudahan Allah akan menunjukkan kita semua jalan yang lurus, menghapuskan dosa dan memasukkan kita ke dalam golongan manusia yang bebas daripada api neraka."
No comments:
Post a Comment