Jazakallahu Khairan

Thursday, October 27, 2011

Lorekkan Jejak-jejak Luar Biasa.

Lama blog ini menyepi. Banyak saja idea dan bahan mahu dikongsi. Hakikatnya, sengaja saya membiarkan blog ini tidak bertulis beberapa hari, niat untuk mengasah pena. Sambil-sambil cuba merenung kembali tujuan asal saya menulis. Tidak banyak pengalaman mahu dikongsi, juga tidak banyak falsafah untuk diungkapkan. Apatah lagi dengan ilmu yang setitis di hujung jari. Mudah-mudahan perkongsian yang sedikit selama ini, ada baiknya untuk semua.

Ke Mana Halatuju?
Menuju saat-saat terakhir untuk kembali mencedok ilmu di bumi anbiya. Bercampur baur perasaan. Apakah masih ada ruang untuk saya kembali berkelana di bumi Syam? Jejak-jejak yang pernah dilakar sebelum ini muncul satu per satu memujuk-mujuk minta ditunaikan. Impian yang pernah terinspirasi dari senior-senior yang sudah berjaya menapakkan kaki di atas pentas kejayaan. Mendapatkan segulung ijazah dalam bidang yang diceburi. Azam yang pernah tertanam di sanubari, mahu menimba sebanyak mungkin pengalaman ketika menuntut di institusi tempatan. Mempelajari selok-belok berdiplomasi. Bergiat dalam aktiviti membangunkan spiritual dan rohani insani. Bertukar-tukar pengalaman serta menyumbang idea. Belajar berpartisipasi, belajar mengurus, belajar pengalaman orang, belajar menganalisis isu. Impian mahu menjadi hebat seperti mereka yang hebat, agar dapat melahirkan generasi yang hebat.
Mungkin kini, mimpi itu perlu diperhalusi lagi. Antara tangguh atau perbaharui. Ada mutiara yang perlu diselami dan dikongsi kepada masyarakat tempatan hari ini. Dan mutiara ini bukan di mana-mana boleh diperolehi. Perlu turun ke bumi yang lautan ilmunya belum dicemari. Menjadikan saya lebih faham hidup ini perlu ada yang dikorbankan demi kehidupan sendiri dan orang lain. Semoga dengannya akan menyelamatkan lebih banyak jiwa-jiwa suci.

Menjadi biasa atau luar biasa?
Untuk mencapai tujuan hidup yang sebenar, pilihan demi pilihan perlu dilakukan. Bukan mudah memilih laluan yang benar-benar mencapai tujuan hidup sambil memandang hasilnya di hadapan. Setiapnya ada liku dan warna-warna yang bergabung menghasilkan sebuah kisah. Setiap plot di pentas kehidupan ini sangat menguji diri. Mahu menjadi yang biasa atau yang luar biasa? Saat perlu memilih ini muncul baru kita sedari, hidup ini bukan sekadar untuk diri sendiri. Komitmen begitu banyak dan setiap pihak menagihnya. Belajar untuk menjadi lebih kuat walau seringkali merasa tersepit di antara harapan dan impian. Memilih bukan hanya sekali. Tersilap langkah pasti tersungkur nanti. Sekiranya saya tersungkur bertambahlah lagi satu titik hitam di dalam masyarakat. Menimbulkan persoalan apa yang membezakan saya dan mereka?

Jalan-jalan untuk menjadi manusia biasa atau luar biasa itu sudah terbentang. Zaman berzaman, kurun berkurun banyak kisah yang sudah menceritakan. Hidup seperti manusia biasa sudah nampak susunannya. Aturannya mudah, cemerlang akademik-kerja-kahwin-beli kereta mewah-beli rumah besar-dapat anak-naik pangkat-pencen-mati! Ramai orang yang memilih jalan hidup seperti ini. Mahu senang, menjadi orang yang biasa-biasa saja di muka bumi. Rugilah hikmah yang terbentang di dalam warna Islam jika satu pun tidak digarap dan diambil madunya. Orang-orang yang dijanji syurga hidupnya bukan yang biasa-biasa. Syurga itu sesuatu yang luar biasa, hanya mereka yang luar biasa mendapat tempat di taman-taman yang luar biasa. Jalan hidup Rasul dan para sahabat itu yang perlu dihayati. Dari cara hidup yang biasa-biasa, berubah kepada luar biasa dengan izin Allah. Malanglah, jika saya mengabaikan ibrah dari sirah-sirah itu. Peluang untuk berubah itu ada banyak kali, sungguhpun hidup ini hanya sekali.

Apakah kesudahan Hidup Ini?
Manusia tidak tahu bila dia mati, dan bagaimanakah dia akan mati? Namun tidak salah untuk kita menetapkan mengapa kita mahu mati dan harapan bagaimanakah untuk kita mati. Ketahuilah diri. Malam dan siang itu silih berganti. Itulah malam yang kelam dan inilah siang yang cerah. Seperti ini jugalah keadaan malam dan siang diwaktu hidupnya Nabi Nuh dan Nabi Hud. Inilah juga malam dan siang yang dijalani watak Qarun dan Firaun. Berjalanlah seseorang yang amat baik dan seorang yang amat jahat di bawahnya. Namun ternyata tiada siapa pun yang pernah menggugatnya. Bahkan entah berapa ramai yang telah terlipat dibawah kebahagian dan kesengsaraan mereka.
Jika luar biasa itulah pilihanmu, maka ketahuilah jalan ini bukan jalan untuk orang yang takutkan miskin dan kelaparan. Bukan untuk orang yang suka bersenang-senang memuaskan hawa nafsunya. Jalan ini adalah jalan pembersihan dan mengajar untuk memenjarakan diri di dalam dunia yang menipu. Jalan ini melimpahkan sejuta rahmat dan keberkatan tetapi amat memerlukan kejujuran dan ketahanan. Demi Allah yang diriku berada di dalam genggamannya, tiada siapa yang mampu meneranginya kecuali mukmin yang bergantung sepenuhnya pengharapan kepada Allah Azzawajalla.

Merancang untuk hidup ini terlalu besar dan berat. Apatah lagi merancang kehidupan selepas kematian. Tidak semudah melakar target exam di atas kertas. Ataupun menyusun waktu menelaah pelajaran dikotak-kotak cantuman garisan pena. Tidak semudah memfailkan kertas-kertas peperiksaan.

Baiklah, setelah bermuhasabah diri, tekad membulatkan matlamat utama. Dan anda yang membaca mohon doa dan peringatkan saya berkali-kali. Sudah terlalu lama saya bermain dengan awan kesamaran. Kali ini perlu betul-betul tekad melangkah beberapa tapak lagi. Melorek impian seperti karya indah ciptaan ilahi, yang tumbuh mekar di balik kelopak awan selepas hujan seperti warna-warni sang pelangi~ usaha merealisasikan setiap impian yang dicoret dalam buku kuning comel itu.

2 comments:

Toib said...

Begin with the end in mind dik yuyu. Fikirkan gambaran & kesudahan akhir kepada perancangan2 yang sudah dibuat. Mudah-mudahan kesamaran akan menjauh dan pencerahan akan mendekat :). Innallah maaki.. dan kami juga :). keep on fighting ya!

Nashrah Basyirah said...

insyaAllah, syukran nasihat n semangat a.jul! Suka pepatah BI tu, 'begin with the end in mind'. Perlu clearkan sehabis2nya..

semoga dipermudahkan semua urusan kita~ ^_^