Jazakallahu Khairan

Sunday, July 24, 2011

Secebis Kekuatan dalam Pencarian Ilmu


" Sebuah faedah ilmu yang sangat berharga dari ulama besar masa silam Ahmad bin ‘Abdul Al Haroni yang dikenali sebagai Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah. Beliau memberikan nasihat bagaimana kita seharusnya beramal ma’ruf nahi mungkar iaitu mengajak pada kebaikan dan melarang dari kemungkaran.

Syaikhul Islam mengatakan, “Orang yang ingin beramal ma’ruf nahi mungkar semestinya memiliki tiga bekal iaitu: [1] ilmu, [2] lemah lembut, dan [3] sabar. Ilmu haruslah ada sebelum amal ma’ruf nahi mungkar (di awal). Lemah lembut harus ada ketika ingin beramal ma’ruf nahi mungkar (di tengah-tengah). Sikap sabar harus ada sesudah beramal ma’ruf nahi mungkar (di akhir).”

Berikut perincian yang kami olah dari perbahasan Syaikhul Islam.

Pertama: Bekal Ilmu di Awal

‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz mengatakan,

مَنْ عَبَدَ اللهَ بِغَيْرِ عِلْمٍ كَانَ مَا يُفْسِدُ أَكْثَرَ مِمَّا يُصْلُحُ

“Barangsiapa yang beribadah pada Allah tanpa ilmu, maka ia akan membuat banyak kerusakan dibanding mendatangkan banyak kebaikan.”

Begitu pula Mu’adz bin Jabal pernah mengatakan,

العِلْمُ إِمَامُ العَمَلِ وَالعَمَلُ تَابِعُهُ

"Ilmu adalah pemimpin amalan. Sedangkan amalan itu berada di belakang ilmu.”

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah mengatakan, “Ini memang benar. Yang namanya maksud dan amalan tanpa disertai ilmu, maka hanya mengakibatkan kebodohan, kesesatan dan sekadar mengikuti hawa nafsu sebagaimana telah dijelaskan. Inilah beza antara orang Jahiliyah dan seorang muslim. Seorang muslim haruslah membekalkan dirinya dengan ilmu dalam beramal ma’ruf nahi mungkar dan harus mampu membezakan mana yang baik dan mana yang buruk. Seseorang juga harus mengetahui bagaimana kondisi orang yang akan diajak pada kebaikan dan dilarang dari kemungkaran. Antara bentuk yang mendatangkan kebaikan adalah melakukan amal ma’ruf nahi mungkar sesuatu tuntutan yang diajarkan dalam Islam (jalan yang lurus). Jika seseorang membekalkan dirinya dengan ilmu, maka itu akan membuatkan dia lebih cepat mencapai tujuannya.”

Kedua: Lemah Lembut di Tengah-Tengah Amar Ma’ruf Nahi Mungkar

Dalam amal ma’ruf nahi mungkar hendaklah ada sikap lemah lembut, sebagaimana sabda Nabi shallallahu ‘alaihi wa sallam,

إِنَّ الرِّفْقَ لاَ يَكُونُ فِى شَىْءٍ إِلاَّ زَانَهُ وَلاَ يُنْزَعُ مِنْ شَىْءٍ إِلاَّ شَانَهُ

“Sesungguhnya jika lemah lembut itu ada dalam sesuatu, maka ia akan senantiasa menghiasanya. Jika kelembutan itu hilang, maka pastilah hanya akan mendatangkan kejelekan.”[1]

Begitu pula beliau bersabda,

إِنَّ اللَّهَ رَفِيقٌ يُحِبُّ الرِّفْقَ وَيُعْطِى عَلَى الرِّفْقِ مَا لاَ يُعْطِى عَلَى الْعُنْفِ

“Sesungguhnya Allah itu Maha Lembut. Dia menyukai kelembutan dan Dia akan memberi kepada kelembutan yang tidak diberikan jika seseorang bersikap kasar.”[2]

Ketiga: Bersabar di Akhir

Setelah melakukan amal ma’ruf nahi mungkar, haruslah ada sikap sabar terhadap setiap gangguan. Syaikhul Islam mengatakan, “Setiap orang yang ingin melakukan amar ma’ruf nahi mungkar pastilah mendapat rintangan. Oleh karena itu, jika seseorang tidak bersabar, maka hanya akan membawa lebih banyak kerosakan daripada mendatangkan kebaikan.”

Luqman pernah mengatakan pada anaknya,

وَأْمُرْ بِالْمَعْرُوفِ وَانْهَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَاصْبِرْ عَلَى مَا أَصَابَكَ إِنَّ ذَلِكَ مِنْ عَزْمِ الأمُورِ

“Dan suruhlah (manusia) mengerjakan yang baik dan cegahlah (mereka) dari perbuatan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa kamu. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan (oleh Allah).” (QS. Luqman: 17)

Oleh sebab itu, Allah memerintahkan kepada para Rasul – dan mereka adalah imam (pemimpin) dalam amal ma’ruf nahi mungkar- untuk bersabar, sebagaimana hal ini Allah perintahkan pada penutup Rasul (yakni Muhammad shallallahu ‘alaihi wa sallam). Bahkan perintah ini Allah sandingkan dengan penyampaian kerasulan. Hal ini dapat kita lihat dalam surah Al Mudatsir (surah yang merupakan tanda Muhammad menjadi Rasul), yang turun setelah surat Iqro’ (surah yang merupakan tanda Muhammad diangkat sebagai Nabi).

يَا أَيُّهَا الْمُدَّثِّرُ, قُمْ فَأَنْذِرْ, وَرَبَّكَ فَكَبِّرْ, وَثِيَابَكَ فَطَهِّرْ, وَالرُّجْزَ فَاهْجُرْ وَلا تَمْنُنْ تَسْتَكْثِرُ, وَلِرَبِّكَ فَاصْبِرْ

“Hai orang yang berkemul (berselimut), bangunlah, lalu berilah peringatan! dan Rabbmu agungkanlah, dan pakaianmu bersihkanlah, dan perbuatan dosa (menyembah berhala) tinggalkanlah, dan janganlah kamu memberi (dengan maksud) memperoleh (balasan) yang lebih banyak. Dan untuk (memenuhi perintah) Rabbmu, bersabarlah.” (QS. Al Mudatsir: 1-7)

Allah membuka surat yang merupakan pertanda beliau diangkat menjadi Rasul dengan perintah memberikan peringatan (indzar). Di akhirnya, Allah tutup dengan perintah untuk bersabar. Yang namanya memberi peringatan (indzar) adalah melakukan amal ma’ruf dan nahi mungkar. Maka ini menunjukkan bahawa sesudah seseorang melakukan amal ma’ruf nahi mungkar, hendaklah ia bersabar.

Demikian faedah dari Syaikhul Islam sebagai bekal bagi orang yang ingin beramal ma’ruf nahi mungkar.

Semoga kita dapat renungkan nasihat yang diberikan dalam setiap tindak tanduk kita ketika ingin memperbaiki orang lain. Hanya Allah yang memberi taufik.

Faedah Ilmu dari Risalah Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah:

Al Amru bil Ma’ruf wan Nahyu ‘anil Mungkar, hal. 15-18, Mawqi’ Al Islam "
*********************************
Membina kekuatan
Baru 2 bulan berjauhan dengan sahabat-sahabat bumi di bawah bayu. Ramai yang mereprentasi perasaan rindu malah tidak kurangnya yang memujuk untuk kembali semula ke tanah 'perjuangan'. Sesekali tersentuh juga bila ada yang mengatakan rindu untuk berdiskusi dan program bersama. Terasa gemas acapkali mendapat pesanan ringkas meluahkan rasa lemah, sakit dan sedih. Terkilan bila diri ini tidak mampu mendampingi sahabat-sahabat untuk sama merasai pahit manis mengharungi samudera masyarakat yang hanyut dalam gelombang modenisasi cacamerba.

Astagfirullahaladzim...selalu saja pesimistik. Betapa sempitnya fikiran ini bila sering menganggap diri saja harapan yang ada hingga menutup peluang-peluang insan lain untuk membina kekuatan. Memetik kata-kata keramat seorang pejuang Islam yang berpengaruh di abad moden;

“Apabila kita hidup hanya untuk kita, hidupnya amatlah singkat. Bermula dari bermulanya kita dan berakhir dengan berakhirnya umur kita yang terbatas. Tetapi jika kita hidup kerana selain daripada kita, hidup kerana fikrah, sesungguhnya hidupnya panjang dan mendalam. Bermula daripada bermulanya kita dan berakhir dengan luputnya manusia di bumi ini. Jika kita merasa kita yang memulakan perjuangan ini, kita akan sempit dada menghadapi kematian (kerana perjuangan belum mencapai matlamat). Ingatlah, bukan kita yang memulakan dan bukan kita yang mengakhirinya. Ia dimulakan oleh para nabi sehinggalah ke akhir zaman. Kita adalah mata rantai dari satu perjuangan yang panjang.”
(As-Syahid Syed Qutb)

Oleh demikian, saya memilih untuk merasai sakit berjauhan dan rindu yang tertahan dengan harapan akan lahir kader-kader dakwah yang lebih kuat lagi berkualiti dalam menongkah mehnah serta tribulasi perjuangan di sana. Semoga kesabaran ini akan membenihkan generasi yang pragmatik dan progresif dalam memajukan diri setapak demi setapak. Berkemungkinan saya akan lebih berasa sakit sekiranya duduk bersama dan mampu berkongsi rasa tapi tidak mampu menyumbang sebarang idea dan ilmu yang bermanfaat untuk mengembangkan perjuangan di Sabah.

Persiapan Ilmu
Agak janggal bila tidak bergiat dalam aktiviti kemasyarakat melebihi seminggu. Sungguh diri ini terasa kosong dan lemah. Melihat kesusahan masyarakat dan anasir-anasir negatif menular dalam kalangan anak bangsa, motivasi diri bangkit dengan sendirinya lantas terasa ringan untuk turun kelapangan membantu apa yang mampu. Lagi saya merungut untuk cepat kembali ke Sabah. Sehinggalah diperdengarkan kembali ayat yang pernah dipesan oleh seorang senior sebelum terbang ke Syria;

Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mukmin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.
(QS. At-Taubah: 122)

Saya akur. Saya hanya perlu jadi lebih kuat dan tabah! Semestinya seorang daie tu perlu memiliki persiapan yang lengkap agar dakwah yang dibawakan tidak menjadi fitnah kepada dirinya. Oleh itu, beberapa persiapan adalah dituntut untuk menjadi seorang pendakwah yang berkualiti. Meski, memerlukan persiapan rohani, akhlak dan daya kepimpinan, jasmani dan mentaliti namun persiapan ilmu adalah unsur yang turut penting untuk dikecapi. Dalam konteks ini, seorang daie perlu memiliki pengetahuan yang lebih dari orang yang didakwah. Sentiasa yakin dengan ilmu yang dibawa dan berpengetahuan luas. Pemantapan ilmu akan menjadikan para daie lebih berkemampuan dalam memberikan gambaran jelas sama ada berkenaan asas-asas ajaran Islam mahupun hukum-hukum bersifat ilmiah. Selebihnya turut mempelajari dan menguasai ilmu aqidah, akhlak, hukum-hukum fiqh, persoalan dakwah dan keseluruhan sistem dalam kehidupan yang terkandung dalam al-quran dan sejarah Islam.

Bercacang di bumi berkah ini, dengan harapan dapat menjadi pejuang Islam yang mampu mencarta masa depan anak bangsa. Khususnya di bumi Sabah. Bersabarlah mengharungi liku-liku ke arah itu~

sabar sabar sabar!
Kuat kuat kuat!

Wallahua'lam bissawab

Wednesday, July 13, 2011

Tahniah Bro Abu dan Sis Aida! ;)

بِسْــــــــــــــــــمِ اﷲِالرَّحْمَنِ اارَّحِيم



Alhamdulillah, tahniah buat bro Abu dan sis Aida yang telah selamat diijabkabulkan pada 9 Julai 2011. Sangatlah berdukacita atas faktor penghalang untuk menghadirkan diri ke majlis yang dinanti-nantikan ini huhu. Semoga ikatan antara kalian berkekalan hingga ke akhir hayat. Sekalung tahniah kerana mempercepatkan diri membina ‘Masjid’ seperti dituntut Sunnah Nabi saw.

Semoga dikurniakan zuriat soleh dan solehah yang bakal menyelesaikan masalah umat pada zaman ini.

Dan di antara tanda-tanda kekuasaan-Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan-Nya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.surah ar-Rum ayat 21

barakallahu lakuma wabaraka a'laikuma wa jama'a bainakuma fi khair :)

Mengimbau memori 31 Julai 2009 yang lalu

Sunday, July 10, 2011

Kembara menuntut ilmu di bumi Syam II



Syiria menyimpan terlalu banyak khazanah dan kesan-kesan bersejarah yang masih utuh untuk tatapan generasi kini, baik sejarah kehidupan sebelum dan awal masihi mahupun sejarah kekhalifahan Islam kerana Damsyik sebagai ibu kota Syiria merupakan pusat kekhalifahan Bani Umayyah pada 661M. Syiria yang dulunya terkenal dengan sebutan Syam juga turut terkenal dengan sirah nabi-nabi terdahulu, sejarah pusat kerajaan Rom, sejarah Rasulullah saw berniaga dari Mekah ke Syam sebelum menjadi rasul, sejarah pengembaraan kaum kerabat Rasulullah saw dari Karbala ke Damsyik Malah Rasulullah SAW pernah datang berdagang ke sini sewaktu kecil dan zaman remaja baginda serta pelbagai cerita lagi

Tanah negara tamadun lama ini dipenuhi banyak jejak tokoh dan ilmuan Islam yang terkemuka. Cukup menginsiprasikan. Sehingga kini, keikhlasan para ulama' dan auliyaa' dalam memikul amanah menyebarluaskan ilmu kepada masyarakat menjadikan bumi ini terus kaya dengan pengajian ilmu dan majlis zikir yang tidak wajar dipersiakan.

Peluang menadah ilmu di bumi barakah ini merupakan anugerah yang tidak ternilai buat insan-insan terpilih. Semestinya ini menjadikan amanah yang dipikul menjadi semakin berat selaku para daie ila Allah SWT sekaligus terhadap ibu bapa, keluarga, masyarakat dan tanah air tercinta.

Saya bersyukur dipertemukan dengan insan-insan mutawakkilun di bumi ini, orang-orang berjiwa tenang yang sentiasa menyandarkan diri mereka kepada qada' dan qadar Allah. Syiria tidaklah semewah mahupun secanggih Malaysia. Buat yang sudah terbiasa diselimuti kesenangan dan kemewahan mungkin agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan hidup sungguh-sungguh di atas kaki sendiri. Lagi dengan dugaan dan risiko yang silih berganti. Namun, uniknya di sini, setiap kepayahan disulami dengan ketenangan.

Dalam 2 hari kedatangan saya di Syiria, sewaktu menuju ke rumah sewa akhowat Malaysia di kawasan lain, Allah pertemukan sekilas taaruf dengan seorang wanita Malaysia sekitar 50an di tangga salah sebuah pusat pengajian. Sehinggalah ditakdirkan saya berkunjung ke rumahnya setelah dijemput beberapa kali. Keramahan wanita ini dalam berkongsi pengalaman hidup cukup menyenangkan. Di ambang penghujung usia, azam untuk mendalami ilmu agama sangat kuat. Sungguhpun memiliki pekerjaan yang bergaji lumayan dan kemewahan yang melimpah ruah sewaktu menetap di Malaysia, tapi ketenangan di Syiria tetap menjadi dambaan. Berbekalkan wang pencen, beliau datang mencari ilmu agama dan bahasa arab yang baru hendak dipelajari. Seringkali di setiap perkongsian pasti akan ada kata semangat dan nasihat yang diberikan. Usia bukan penghalang untuk menuntut ilmu. Pengakhiran setiap manusia di luar jangkaan fikiran. Baiknya Allah, membuka ruang kepada setiap hambaNya yang ingin mengubah nasib diri.

"....sesungguhnya, Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan dan diri mereka sendiri...."
(Ar-Ra'd : 11)

Terlalu ramai mereka yang memiliki pengalaman hidup susah di perantauan. Kesusahan yang dialami tidak sewajarnya dilabel sebagai "pengalaman pahit". Setiap ketentuan Allah adalah yang terbaik buat hamba-hambaNya. Semua kesulitan yang ditempuhi pasti membuahkan kemanisan diakhirnya. Setiap cabaran ini hanya mampu diatasi dengan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Allah. Yakinlah semua perkara yang menyakitkan itu adalah "hadiah" yang terbaik dari Allah dan setiapnya pasti akan berlalu melakar sebuah lagi memori dan pelajaran baru

Individu yang mempunyai latar yang berbeza lebih menjadi tumpuan di atas keunikan liku hidup yang dilalui. Saya baru bekenalan beberapa minggu dengan seorang akhowat yang tua beberapa tahun. Secara kasarnya saya melihat dia seorang yang periang dan bersemangat tinggi. Acapkali namanya disebut-sebut dalam kalangan sahabat-sahabat yang sedang menduduki peperiksaan sebagai contoh dalam menguatkan semangat. Tertanya-tanya apa uniknya. Sehingga di suatu petang, saya meminta ahli rumah menjelaskan sistem pembelajaran kuliah di Syiria. Perkongsian dari akhowat tersebut menjadikan saya bertambah kagum. Penangan Syiria melahirkan lebih ramai anak Malaysia yang berilmu dan berjiwa kental. Asalnya, dia juga tidak mempunyai basic arab. Datang ke Syiria 5 tahun yang lalu sewaktu menuntut di matrikulasi. Terlalu banyak rintangan yang dihadapi untuk sampai ke tahun 1 pengajian. Perancangan untuk graduate pada masa yang ditetapkan teranjak.

Misteri perancangan Allah kepada hambaNya, tidak pernah mendukacitakan. Biarpun pelbagai rintangan yang dilalui, akhowat ini tetap akur dengan perancangan Allah. Di Malaysia mungkin segenggam ijazah sudah dimiliki dalam usia sedemikian, sebaliknya di Syiria anjakan demi anjakan tersebut cukup berharga untuk lebih fakih dalam agamaNya dan ilmu yang lebih mendalam untuk dimanfaatkan.

Pesannya kepada seorang adik Sabah, hargailah sepenuhnya masa yang Allah kurniakan untuk menuntut di bumi kaya ilmu ini dan jadilah lebih tabah dengan setiap dugaan. Terlalu banyak ilmu yang perlu dibawa pulang dikala tibanya waktu untuk berbakti semula kepada masyarakat. Cepat atau lambat, masing-masing tetap akan pulang ke tanah air. Diakhirnya setiap makhluk juga pasti akan kembali kepada Pencipta. Masih banyak kelemahan diri yang perlu diperbaiki di samping mengenal sang Pencipta dengan lebih dekat. Bersyukurlah dengan peluang yang tidak semua orang mampu perolehi.

Sejak berada di bumi berkat ini, alhamdulillah ziarah paling bermakna adalah ketika berpeluang ke makam Salahudin Al-Ayubi. Seorang tokoh yang terkenal dalam kalangan Nasrani dan Muslim dengan kebolehannya sebagai ketua dan ketangkasannya dalam peperangan. Juga dengan sifat kesateriaan dan belas kasihannya semasa Perang Salib. Sangat teruja. Saya mahu memiliki semangat juang yang sama seperti tokoh agung ini.

foto ihsan google

Antara maqam lain yang terdapat di Syiria:
  • Maqam Nabi Yahya Bin Zakaria as
  • Maqam Saidina Habil Bin Nabi Adam as
  • Maqam Bilal Bin Rabah
  • Maqam Ammar Bin Yasir
  • Maqam Abi Bin Kaab al-Ansori
  • Maqam Hujur Bin ‘Adi
  • Maqam Ummu Salamah (Isteri kepada Rasulullah saw)
  • Maqam Ummu Habibah (Isteri kepada Rasulullah saw)
  • Maqam Sayyidah Zainab Binti Saidina Ali kw
  • Maqam Sayyidah Sukainah Binti Saidina Husien
  • Maqam Sayyidah Ummu Kalsum Binti Saidina Ali kw
  • Maqam Sayyidah Fatimah al-Sughra Binti Saidina Husien
  • Maqam Sayyidah Sukainah Binti Saidina Ali kw
  • Maqam Sayyidah Ruqaiyah Binti Saidina Husien
  • Maqam Saidina Abdullah Bin Ja’far al-Sadiq
  • Maqam Sayyidah Asma’ Binti Umais
  • Maqam Sayyidah Maimunah Binti Saidina Hasan
  • Maqam Sayyidah Hamidah Binti Muslim Bin Aqil
  • Maqam Abdullah Bin Ali Zainal Abidin Bin Saidina Husien
  • Maqam Sayyidah Fiddah (Pembantu kepada Sayyidah Fatimah az-Zahraah)
Al-Fatihah~

Maaf di atas kelemahan mengemaskini blog ini. Sedang berusaha untuk mengatur jadual dengan baik agar tidak terlalu banyak masa yang perlu dikorbankan meng'update' posts seterusnya.