Jazakallahu Khairan

Sunday, July 10, 2011

Kembara menuntut ilmu di bumi Syam II



Syiria menyimpan terlalu banyak khazanah dan kesan-kesan bersejarah yang masih utuh untuk tatapan generasi kini, baik sejarah kehidupan sebelum dan awal masihi mahupun sejarah kekhalifahan Islam kerana Damsyik sebagai ibu kota Syiria merupakan pusat kekhalifahan Bani Umayyah pada 661M. Syiria yang dulunya terkenal dengan sebutan Syam juga turut terkenal dengan sirah nabi-nabi terdahulu, sejarah pusat kerajaan Rom, sejarah Rasulullah saw berniaga dari Mekah ke Syam sebelum menjadi rasul, sejarah pengembaraan kaum kerabat Rasulullah saw dari Karbala ke Damsyik Malah Rasulullah SAW pernah datang berdagang ke sini sewaktu kecil dan zaman remaja baginda serta pelbagai cerita lagi

Tanah negara tamadun lama ini dipenuhi banyak jejak tokoh dan ilmuan Islam yang terkemuka. Cukup menginsiprasikan. Sehingga kini, keikhlasan para ulama' dan auliyaa' dalam memikul amanah menyebarluaskan ilmu kepada masyarakat menjadikan bumi ini terus kaya dengan pengajian ilmu dan majlis zikir yang tidak wajar dipersiakan.

Peluang menadah ilmu di bumi barakah ini merupakan anugerah yang tidak ternilai buat insan-insan terpilih. Semestinya ini menjadikan amanah yang dipikul menjadi semakin berat selaku para daie ila Allah SWT sekaligus terhadap ibu bapa, keluarga, masyarakat dan tanah air tercinta.

Saya bersyukur dipertemukan dengan insan-insan mutawakkilun di bumi ini, orang-orang berjiwa tenang yang sentiasa menyandarkan diri mereka kepada qada' dan qadar Allah. Syiria tidaklah semewah mahupun secanggih Malaysia. Buat yang sudah terbiasa diselimuti kesenangan dan kemewahan mungkin agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan hidup sungguh-sungguh di atas kaki sendiri. Lagi dengan dugaan dan risiko yang silih berganti. Namun, uniknya di sini, setiap kepayahan disulami dengan ketenangan.

Dalam 2 hari kedatangan saya di Syiria, sewaktu menuju ke rumah sewa akhowat Malaysia di kawasan lain, Allah pertemukan sekilas taaruf dengan seorang wanita Malaysia sekitar 50an di tangga salah sebuah pusat pengajian. Sehinggalah ditakdirkan saya berkunjung ke rumahnya setelah dijemput beberapa kali. Keramahan wanita ini dalam berkongsi pengalaman hidup cukup menyenangkan. Di ambang penghujung usia, azam untuk mendalami ilmu agama sangat kuat. Sungguhpun memiliki pekerjaan yang bergaji lumayan dan kemewahan yang melimpah ruah sewaktu menetap di Malaysia, tapi ketenangan di Syiria tetap menjadi dambaan. Berbekalkan wang pencen, beliau datang mencari ilmu agama dan bahasa arab yang baru hendak dipelajari. Seringkali di setiap perkongsian pasti akan ada kata semangat dan nasihat yang diberikan. Usia bukan penghalang untuk menuntut ilmu. Pengakhiran setiap manusia di luar jangkaan fikiran. Baiknya Allah, membuka ruang kepada setiap hambaNya yang ingin mengubah nasib diri.

"....sesungguhnya, Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan dan diri mereka sendiri...."
(Ar-Ra'd : 11)

Terlalu ramai mereka yang memiliki pengalaman hidup susah di perantauan. Kesusahan yang dialami tidak sewajarnya dilabel sebagai "pengalaman pahit". Setiap ketentuan Allah adalah yang terbaik buat hamba-hambaNya. Semua kesulitan yang ditempuhi pasti membuahkan kemanisan diakhirnya. Setiap cabaran ini hanya mampu diatasi dengan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Allah. Yakinlah semua perkara yang menyakitkan itu adalah "hadiah" yang terbaik dari Allah dan setiapnya pasti akan berlalu melakar sebuah lagi memori dan pelajaran baru

Individu yang mempunyai latar yang berbeza lebih menjadi tumpuan di atas keunikan liku hidup yang dilalui. Saya baru bekenalan beberapa minggu dengan seorang akhowat yang tua beberapa tahun. Secara kasarnya saya melihat dia seorang yang periang dan bersemangat tinggi. Acapkali namanya disebut-sebut dalam kalangan sahabat-sahabat yang sedang menduduki peperiksaan sebagai contoh dalam menguatkan semangat. Tertanya-tanya apa uniknya. Sehingga di suatu petang, saya meminta ahli rumah menjelaskan sistem pembelajaran kuliah di Syiria. Perkongsian dari akhowat tersebut menjadikan saya bertambah kagum. Penangan Syiria melahirkan lebih ramai anak Malaysia yang berilmu dan berjiwa kental. Asalnya, dia juga tidak mempunyai basic arab. Datang ke Syiria 5 tahun yang lalu sewaktu menuntut di matrikulasi. Terlalu banyak rintangan yang dihadapi untuk sampai ke tahun 1 pengajian. Perancangan untuk graduate pada masa yang ditetapkan teranjak.

Misteri perancangan Allah kepada hambaNya, tidak pernah mendukacitakan. Biarpun pelbagai rintangan yang dilalui, akhowat ini tetap akur dengan perancangan Allah. Di Malaysia mungkin segenggam ijazah sudah dimiliki dalam usia sedemikian, sebaliknya di Syiria anjakan demi anjakan tersebut cukup berharga untuk lebih fakih dalam agamaNya dan ilmu yang lebih mendalam untuk dimanfaatkan.

Pesannya kepada seorang adik Sabah, hargailah sepenuhnya masa yang Allah kurniakan untuk menuntut di bumi kaya ilmu ini dan jadilah lebih tabah dengan setiap dugaan. Terlalu banyak ilmu yang perlu dibawa pulang dikala tibanya waktu untuk berbakti semula kepada masyarakat. Cepat atau lambat, masing-masing tetap akan pulang ke tanah air. Diakhirnya setiap makhluk juga pasti akan kembali kepada Pencipta. Masih banyak kelemahan diri yang perlu diperbaiki di samping mengenal sang Pencipta dengan lebih dekat. Bersyukurlah dengan peluang yang tidak semua orang mampu perolehi.

Sejak berada di bumi berkat ini, alhamdulillah ziarah paling bermakna adalah ketika berpeluang ke makam Salahudin Al-Ayubi. Seorang tokoh yang terkenal dalam kalangan Nasrani dan Muslim dengan kebolehannya sebagai ketua dan ketangkasannya dalam peperangan. Juga dengan sifat kesateriaan dan belas kasihannya semasa Perang Salib. Sangat teruja. Saya mahu memiliki semangat juang yang sama seperti tokoh agung ini.

foto ihsan google

Antara maqam lain yang terdapat di Syiria:
  • Maqam Nabi Yahya Bin Zakaria as
  • Maqam Saidina Habil Bin Nabi Adam as
  • Maqam Bilal Bin Rabah
  • Maqam Ammar Bin Yasir
  • Maqam Abi Bin Kaab al-Ansori
  • Maqam Hujur Bin ‘Adi
  • Maqam Ummu Salamah (Isteri kepada Rasulullah saw)
  • Maqam Ummu Habibah (Isteri kepada Rasulullah saw)
  • Maqam Sayyidah Zainab Binti Saidina Ali kw
  • Maqam Sayyidah Sukainah Binti Saidina Husien
  • Maqam Sayyidah Ummu Kalsum Binti Saidina Ali kw
  • Maqam Sayyidah Fatimah al-Sughra Binti Saidina Husien
  • Maqam Sayyidah Sukainah Binti Saidina Ali kw
  • Maqam Sayyidah Ruqaiyah Binti Saidina Husien
  • Maqam Saidina Abdullah Bin Ja’far al-Sadiq
  • Maqam Sayyidah Asma’ Binti Umais
  • Maqam Sayyidah Maimunah Binti Saidina Hasan
  • Maqam Sayyidah Hamidah Binti Muslim Bin Aqil
  • Maqam Abdullah Bin Ali Zainal Abidin Bin Saidina Husien
  • Maqam Sayyidah Fiddah (Pembantu kepada Sayyidah Fatimah az-Zahraah)
Al-Fatihah~

Maaf di atas kelemahan mengemaskini blog ini. Sedang berusaha untuk mengatur jadual dengan baik agar tidak terlalu banyak masa yang perlu dikorbankan meng'update' posts seterusnya.

No comments: