"Ini salah kamu yang tak pandai asuh anak"
"Keputusan macam ni ikut kepala kamu la tu, anak dah terikut-ikut."
"Teruk betul keputusan kamu ni. Slip ni laku di tong sampah ja."
"Menyusahkan orang tua bagi makan."
Sejak keputusan PMR diumumkan beberapa hari yang lepas, terdapat adik usrah serta beberapa kenalan yang menghantar mesej berkongsi perasaan. Pada yang bersuka-suka, jangan terus terleka. Buat yang berduka, jangan pula terus mengalah. Terkilan mendengar luahan seorang pelajar yang bertimpa-timpa dilanda kekecewaan. Belum padam kesedihan dengan keputusan PMR, ditambah lagi dengan lontaran sindiran dari si ibu dan si ayah. Malah saling menyalahi sesama sendiri, juga memarahi anak dengan keputusan yang kurang memuaskan.
Saya bukanlah pakar psikologi juga bukan pakar kaunseling ibu bapa. Sekadar meluahkan pandangan yang juga mungkin atas dasar simpati. Antara saudara-saudari pasti ada yang masih mengingati kes 20 November 2007, kejadian di mana seorang pelajar India telah membunuh diri akibat keputusan UPSR. Mengapa ada yang terfikir untuk mati?? Puncanya? Kurang sokongan moral daripada ibu bapa mungkin boleh menjadi salah satu faktor menekan pelajar bertindak di luar batasan.
Dunia hari ini menyaksikan terdapat segelintir ibubapa yang meletakkan A sebagai pengukur tahap kepandaian dan kecemerlangan anak. Jadi anak boleh dibangga-bangga dengan jiran tetangga. Tidak ibubapa, pasti wujud juga manusia lain yang bermentaliti sebegini. Gemar melontarkan soalan "Berapa A?"
Ada apa pada A? Untuk memudahkan masuk universiti? Berjaya ke menara gading, lulus dengan cemerlang, berjawatan GM dan....harap matlamatnya tidak mati di situ.
Hakikatnya, kebanggaan cemerlangnya akademik itu hanya mampu diraikan di dunia jika tidak bertepatan dengan matlamat. Kenapa tidak lebih berbangga dengan kejayaan anak-anak yang bijak menjaga aurat dan pergaulan, mampu menjaga solat 5 waktu bahkan beradab dengan orang yang lebih tua. Kerana hanya anak yang soleh mampu memberikan pulangan saham yang lumayan di alam yang akan datang. Sungguh walau berpangkat doktor, berjawatan tinggi belum tentu dapat menyelamatkan ibubapa dari seksaan kubur dan neraka sekiranya ketiadaan iman dan amal dalam diri.
Hakikatnya, sesiapa saja pasti menginginkan keputusan yang cemerlang dalam akademik. Justeru, adalah lebih molek jika kecemerlangan yang dilakar biar selari dengan sahsiah dan peribadi diri. Jika keinginan tidak dimakbulkan, jangan sesekali menyalahkan ketentuan Allah, pasti pelangi akan menjelma di sebalik hujan. Sebaiknya, bersabar dan bersangka baik terhadap perancanganNya. Sebagai makhluk ciptaan, selayaknya kita hanya perlu pasrah dan terus mengharap rahmat Allah di samping tidak berputus asa dalam menghadapi segala kesusahan yang menimpa.
Allah berfirman:
"Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangka. Dan sebarang siapa bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan (keperluannya). Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan yang (yang dikehendakiNya). Sesungguhnya Allah mengadakan ketentuan bagi setiap sesuatu"
(Surah Ath Thalaq ayat 3)
** Tahniah buat sahabat, adik-adik serta sepupu sepapat yang mendapat result cemerlangdalam PMR. Semoga kejayaan tersebut menjadikan diri kalian lebih tunduk dan patuh kepada sang pencipta. Jadilah ibarat resmi padi, semakin berisi semakin tunduk :)
No comments:
Post a Comment