Jazakallahu Khairan

Monday, December 23, 2013

Mencari Ilmu yang Hilang dalam Pena Tulisan.


Seorang panglima pasukan pertahanan Yahudi, Moshe Dayan telah menggariskan 3 kelemahan umat Islam dalam hasil penulisannya. Artikel ini pada awalnya ditentang oleh musuh-musuh Islam sebelum beliau meyakinkan akan sifat umat Islam yang malas membaca. Di dalam penulisan tersebut beliau menyatakan, 3 punca utama umat Islam lemah adalah,
  1. Tidak belajar dari sejarah lampau
  2. Tidak merancang
  3. Malas membaca
Jika diperhati, ketiga-tiganya jelas merujuk kepada pembacaan dan ilmu. Adapun andai kita seorang yang rajin membaca telah diperingatkan oleh Imam As-Syafie dalam kata-katanya,

“Ilmu itu ibarat binatang buas, jika ingin mendapatkannya ikatlah dengan pena ”

Mencari ilmu yang hilang di pena tulisan? Adalah pelik lagi merugikan dalam senario ini, adapun pembaca gemar menulis tetapi hasil tulisannya hilang tidak meresap ke dalam diri sendiri. Sungguhpun berjilid-jilid kitab dibelek, kajian demi kajian diterokai, begitulah juga curahan pandangan yang dikongsi bagi menghasilkan sebuah tulisan. Tujuannya untuk menyampaikan isi penting dan lontaran gugusan idea. Namun, pelik bila diteliti kesannya umpama kosong di dalam diri. Umpama menukilkan tulisan di atas pasir pantai, hilang disapu ombak.

Bagaimana  mahu memahat ilmu yang telah dicatit? Sesetengah pihak mengatakan ketiadaan ilmu kerana kurangnya pembacaan. Justeru, bagaimana pula yang gemar membaca tetapi tetap kosong tiada apa-apa? Ya. Mungkin ilmu itu ada cuma kita tidak amalkan.

Bila membaca semula contengan dan coretan tulisan lalu, terasa hairan. Seolah-olah blog ini bukan saya yang punya. Ke mana hilangnya segala isi penting itu? Mungkinkah yang diserap menjadi  tulisan, hasil cut and paste bukan copy untuk dikongsi? Alangkah ruginya.

Mendengar kata-kata Ibnu Mubarak, sudah cukup membuatkan diri terhantuk,

‘’Seseorang itu sentiasa alim selama mana dia menuntut ilmu. Apabila datang persepsi yang beliau sudah alim, maka jahillah dia’’

Ibarat diketuk dengan tukul, bengkak. Moga bengkak ini terus membekas sebagai ingatan. Insya-Allah.

Golongan Yahudi mempunyai ilmu tetapi tanpa amal, mereka dimurkai Tuhan. Golongan Nasrani pula mereka beramal tanpa ilmu lantas mereka menjadi sesat. Oleh itu Allah perintahkan kita berlindung dari dua puak ini. Seperti kataNya dalam surah al-Fatihah ayat 7,

صِرَ ٰطَ ٱلَّذِينَ أَنْعَمْتَ عَلَيْهِمْ غَيْرِ ٱلْمَغْضُوبِ عَلَيْهِمْ وَلاَ ٱلضَّاۤلِّينَ

“bukan jalan mereka yang dimurkai dan bukan pula jalan mereka yang sesat” (1:7)
Penjagaan ilmu berkait dengan kerendahan hati. Setiap pengejar ilmu perlu memaknai hakikat  ini hatta memperoleh tingkat ilmu paling canggih pada zamannya kerana Allah jualah yang mengajar dan memberi kefahaman dari setiapnya.

الَّذِي عَلَّمَ بِالْقَلَمِ
“yang mengajar manusia melalui pena dan tulisan” (96:4)
Mungkin suatu ketika dulu adapun pena dan tulisan dilihat sebagai benda tidak bernyawa. Bahkan dinilai tidak mempunyai kekuatan juga tiada sebarang pengertian kepada manusia. Adapun nilai sebuah pena hanya diketahui Allah hinggakan dalam surah pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad, Allah telah menyebutnya. Maka dari benda kaku itulah telah Allah jadikan sebagai alat bantu mengajar kepada manusia bagi memperjelaskan ilmu dan menyampaikan risalah terdahulu.