Jazakallahu Khairan

Monday, August 29, 2011

Merenung Kekuatan di Kota.

Tatkala merenung dunia luar sejenak, betapa kemewahan itu satu keselesaan besar yang perlukan bayaran mahal. Cuma belum tentu kegembiraan akan menjelma dalam longgokan material di depan mata.

Jika benar, berapa ramai orang senang yang tersenyum puas punya harta yang banyak?

Jika benar, mengapa terdapatnya orang susah tetapi mampu tersenyum ceria menghadapi hari-hari sukarnya?

Besar makna sebuah kesyukuran yang bukan luahan dengan kata-kata semata-mata tetapi tafsiran melalui hati yang hidup. Digerakkan dengan amal perbuatan. Dituturkan dengan lidah fasih dari akal yang bijaksana. Semoga diri ini tidak lemas dalam zon selesa.

Kelegaan selamat sampai ke bumi kelahiran sesuatu pemberian dari Allah yang tiada timbang taranya untuk disyukuri. Bosan menanti penerbangan yang asyik ditunda. Redha saja sekiranya terpaksa beraya di lapangan terbang, namun ketenangan diragut bila memikirkan kesungguhan ibu dan ayah memujuk untuk pulang. Alhamdulillah semua dipermudahkan.

Most Comfortable Place.
3 bulan meninggalkan rumah, meninggalkan Sabah. Dari dulu, saya agak lemah untuk menyusun hidup agar bebas dari keselesaan. Satu kaedah untuk menghindari rasa itu, selalu saya praktikkan adalah dengan keluar dari rumah dan mencari ketenangan dicelah-celah kepayahan dan kebobrokan masyarakat. Bukan kerana keadaan rumah yang tidak tenang, tapi risau kesenangan yang ada menjadi pembunuh! Khuatir usaha memperbaiki diri terbantut. Takut-takut penyakit tidakpedulisme menyaluti diri. Biar terus melihat kesusahan sebagai peringatan.

Di tengah perut kapal terbang, 1 message jemputan diterima untuk memenuhi sebuah slot pagi di program Qiamullail Kelab Remaja Ukhuwwah. Alhamdulillah, peka dengan malam ke-27. Belum tiba di Sabah, sudah ada yang menyuluh arah jalan untuk aktiviti esok hari. Seusai mendarat, panggilan demi panggilan diterima. Pandai mereka mengagak masa. Akhirnya jadual hari-hari seterusnya langsung padat. Memang inilah yang saya rindukan. Mujur keluarga sudah masak dengan kelincahan. Selalu perlu bijak siasah bersama keluarga.

Generasi Masa Hadapan.
Mungkin ramai yang menganggap saya gila, sia-sia juga membazir masa. Sebuah lakaran impian yang mustahil. Sukar untuk dicapai atau tidak akan tercapai. Mengapa mahu menyelamatkan generasi kini yang sudah nyata cacat akhlaknya, hilang nilai moralnya, sudah tepu dengan budaya cacamerba? Apa yang saya tuliskan mungkin terlalu idealistik, boleh jadi sukar dihadam oleh para pembaca. Apa yang ingin saya sampaikan bukanlah tentang ungkitan hari semalam, tetapi jangkauan hari esok. Siapa tahu apa akan terjadi pada kita nanti? Ketidakpastian tentang masa depan menjadikan hidup ini sangat mencabar. Kita berjalan di dalam gelap yang kian mencerah hari demi hari. Apa yang kita tidak pasti tentang diri kita 10 tahun yang dulu, kini kita telah mendapat jawapannya. Apa yang kita tertanya-tanya tentang diri kita pada 10 tahun akan datang, kita harus terus berlalu agar jawapan itu kita ketemu. Apa yang kita nampak dan lihat, itu adalah kejadian sekarang. Masa depan tiada siapa yang pasti.

Soalnya bukan mahu menilik nasib Umat dan melontarkan sewenang-wenangnya tanggapan mengikut suka hati, tapi ada yang perlu direnungkan dalam keadaan masyarakat hari ini dan merelatifkannya dengan masa depan, mungkin 10 tahun lagi, atau 20 tahun lagi. Berharap dapat menimbulkan persoalan yang harus difikirkan bersama. Ini juga bukan soal melihat dunia daripada sudut pandang yang negatif, lalu terus memberikan kesimpulan yang menutup pintu perubahan, tetapi ini adalah soal melontarkan realiti dan mencari solusi.

Dalam mencartakan remaja hari ini matlamat terealisasi, saya yakin di antara mereka itu tidak semua menjauhi cahaya Islam, ramai yang perlu dipandang dan diberi perhatian. Di Sabah saja, yang nakal dan berkelakuan hilang akal itu masih ada yang mampu menangis bila disapa angin keinsafan. Kenapa menganggap mustahil untuk mereka berubah? Jangan lari dari sejarah, mungkin boleh berkenalan dengan kisah Ikramah bin Abu Jahal yang memeluk Islam setelah menjadi salah seorang penentang hebat Islam pada awalnya. Atau meng'google' kisah Khalid al-Walid, panglima perang yang paling digeruni di medan perang sebelum beliau memeluk Islam. Sejarah sudah membuktikan, pasti ada yang berulang pada masa kini. Bermula dari sekarang. Ada yang perlu dicegah dan ada yang perlu diubati.

Malam ini,
Dalam kelam cahaya bulan
Dia lihat kita melumat kerikil
Dari kerdip sinar bintang
Kelip matanya memancar jengkel

“Ah! itu hanya kumpulan kecil manusia gila
Memahat usaha sia-sia!”

Siang nanti,
Bila mentari mula tinggi
Kiranya mata tidak tertipu lagi
Rupanya dalam sepi malam ini
Kita tekun mengukir nyata sebuah mimpi

Kota kukuh besi kursani
Temboknya tebal berdepa
Tiangnya sayup melonjak angkasa
Lantainya merentas lautan memukat benua

Bumbung teduh mustadafin sedunia
Dinding tangis mustakbirin durjana

fikrul mustanir

Lemah Kelam di Kota.
Usaha masih banyak perlu digiatkan, kelompangan diri masih banyak perlu dipenuhi. Semalam bersama adik-beradik diajak membeli persiapan raya. Lama tidak melihat bandar Kota Kinabalu. Malangnya, sungguh saya berdukacita. Persekitaran yang jauh berbeza dari apa yang saya rasakan di Syria. Susah mahu menjaga mata. Terasa seperti sedang berjalan di kota kelam penuh debu maksiat walau di bulan yang mulia. Risau, adakah sebelum ini saya menganggap wanita-wanita berpakaian singkat dan pergaulan bebas sebegitu sesuatu yang normal? Semoga diri ini tidak lemas dalam masyarakat yang bebas. Masih ada kekuatan yang perlu dipertingkatkan. Mengingatkan saya kepada sajak yang dideklamasikan oleh seorang senior dalam program dulu-dulu sewaktu menjadi peserta,


Ketika aku kecil,
Aku berada dalam khayalan yang luas,
Ketika itu imaginasi aku tanpa batas,
Aku bebas mengidamkan apa saja,
Aku mengidamkan untuk mengubah dunia ini,
Namun aku sedar aku tidak mampu,
Aku mengidamkan untuk mengubah Negara ku ini,
Namun aku juga tidak mampu,
Aku mengidamkan untuk mengubah bandar ku ini,
Namun, hal itu juga luar jangkauan aku,
Aku mengimpikan mengubah isteri dan anak-anakku,
Namun aku lemah untuk membuatkan mereka taat padaku,
Akhirnya aku mengimpikan mengubah diri ku sendiri,
Namun kini aku di perbaringan,aku tak kuat untuk berubah,
Aku mulai sedar, bahawa diri yang kerdil ini,
Takkan mampu mengubah yang dihadapan andai yang ditangan,
Belum mampu diubah..
Segalanya bermula pada diriku sendiri..

Bartanah-tanah, berlaut-laut lagi perlu dijelajahi dalam mencari ilmu dan mengumpul kekuatan diri. Hingga perlu berhijrah jauh meninggalkan 'ladang' seketika bagi mengisi kekosongan otak dan diri. Terima kasih buat senior-senior yang memberi kepercayaan pada diri ini untuk 'berehat' sebentar dengan harapan akan kembali dengan ilmu penuh di dada.

ya Allah, kembalikan ketenangan di bumi Syria, semoga ketenangan itu dapat diterbangkan hingga ke Sabah.

*****************************************

Dikesempatan ini ingin mengucapkan Salam Eid Mubarak! buat seluruh umat Islam yang telah melalui fasa ramadhan dengan jayanya :)
Semoga istiqomah dengan perubahan positif diri dalam Ramadhan

Tuesday, August 16, 2011

Ramadhan di Perantauan :)

Assalamua'laikum wbt

بسم الله الرحمن الرحيم

Rasanya, belum terlambat untuk mengucapkan Salam Ramadhan buat semua. Rata-rata blog yang saya kunjungi hangat membicarakan tentang ramadhan Al-Mubarak. Alhamdulillah, saya masih bernafas dalam kesibukan ini dan masih dipinjamkan waktu untuk meng'update' blog. Terlalu banyak faktor yang mengekang.

Ramadhan kali ini saya kira agak mencabar fizikal juga spiritual. Bertahan dalam musim bercuaca panas. Dikala suhu bermain-main disekitar 40 celsius, masih ada kewajipan yang perlu ditunaikan. Mengejar ilmu bahasa dari pagi hingga ke petang, sambil diiringi angin panas berpindah dari satu tempat pengajian ke pengajian di kawasan lain pula. Syukurlah di waktu petang, pancaran mentari tidak seterik di waktu pagi dan tengah hari. Masih berdaya berjalan kaki ke rumah guru mengaji.

Seronok Ramadhan di Syria?
Terima kasih sahabat-sahabat, keluarga dan saudara-saudara yang ringan jari menghantar message mengucapkan salam ramadhan. Tidak kurang yang bertanya khabar diri menyambut ramadhan di negara orang.

Sepi dan sedih? Mungkin ya mungkin tidak. Saya cuba mengelak dari mendoktrin fikiran memikirkan sedemikian. Mungkin hari-hari agak sepi tanpa kegiatan bersama masyarakat dan remaja. Lebih baik ianya di transform kepada sesuatu yang lebih futuristik. Seorang pejuang Islam perlu berfikir ke hadapan dan mengajar dirinya agar sentiasa berlapang dada menghadapi setiap ujian. Perlu menjadi individu yang fleksible dan berdaya tahan tinggi walau dicampak ke mana-mana.

Ihya Ramadhan
Buat kali ke-2 saya mengingkuti program anjuran Persatuan Pelajar Malaysia Syria(PPMS) setelah Program Jejak Tarbiyyah sebelum ini. Program Ihya Ramadhan ini menjadi satu inisitif kepada ahli PPMS untuk meningkatkan amal ibadah dan juga sebagai salah salah ubat rindu buat yang merindui suasana ramadhan di Malaysia. Terdapat beberapa aktiviti telah dirangka dan dijalankan. Antaranya aktiviti berbentuk pengisian seperti muhadarah yang disampaikan oleh syeikh mahupun golongan agamawan yang menuntut di Syria. Turut diadakan tadarus al-Quran dan bazaar PPMS. Sebagai medium merapatkan silaturrahim dan memeriahkan ramadhan, ziarah mahabbah diperingkat akhowat turut menjadi modus operandi. Alhamdulillah, semoga yang jauh dapat didekatkan, yang dekat dapat dieratkan. Sungguhpun masing-masing sibuk dengan pengajian dan persediaan peperiksaan, namun kegiatan ziarah tetap dapat dilaksanakan. Setakat ini, berkesempatan sekali menjadi tuan rumah dan menyambut beberapa jemputan iftar.

Rindu angin di bawah bayu
Ramadhan ini semestinya saya merindui iftar bersama sahabat-sahabat dan seluruh susun lapis masyarakat di Sabah. Termasuk tarawih bersama guru-guru dan rakan-rakan di sekolah, sahur bersama keluarga juga kemeriahan bazaar yang sukar dirasai di sini.

Namun, rasa ini tidak berlarutan. Terlalu banyak penawar rindu di kota Damascus. Saya bersyukur diberi peluang menjalani ibadah di bulan ramadhan dalam persekitan yang mendorong diri untuk menambah amalan. Bersama ahli bait yang sentiasa mewujudkan suasana ibadah di dalam rumah.

Entah adakah tarawih dan kemanisan ibadah pada ramadhan kali ini akan dapat saya rasai lagi pada tahun-tahun seterusnya. Betapa nikmatnya dapat menjadi makmum kepada imam, syeikh-syeikh yang menjiwai bacaan solatnya. Sehingga dalam selitan doa turut mampu mengalirkan air mata insan yang mendengarnya. Baru saya memahami kelazatan hamba yang khusyuk dalam solat dan ibadahnya. Beruntunglah buat mereka yang memahami bahasa al-Quran.

Atas beberapa faktor yang mengekang, setakat ini hanya berpeluang mengikuti 5 buah masjid dalam solat sunat tarawih. Hebatnya talian persaudaraan sesama muslim, sungguh saya melihat sama ada ajnabi ataupun warga tempatan boleh berdiri, rukuk dan sujud bersama di dalam saff solat yang rapat tanpa memikirkan perbezaan status, bahasa pertuturan, warna kulit mahupun usia. Jika umat Islam mengaplikasi keistimewaan ini dalam kehidupan seharian, tiada apa lagi yang perlu dikhuatiri dalam memerangi musuh-musuh Islam.

Untuk 10 malam terakhir, mendengar suasana yang digambarkan sudah cukup membuatkan yang mendengar teruja. Masing-masing merebut peluang mengejar lailatulqadr dengan menghidupkan malam-malam terakhir melalui tahajud dan ibadah sunat lainnya. Masjid-masjid giat diimarahkan. Semoga peluang ini turut direbut oleh semua umat Islam walau di mana kita berpijak.

Rezeki di bumi barakah
Sewaktu berbuka puasa, seorang ahli rumah saya sentiasa mengingatkan untuk bersyukur dengan makanan yang ada. Maklumlah, hidup diperantauan persediaan untuk berbuka hanya sekadar yang mampu. Lebih-lebih lagi di saat krisis kenaikan harga barang di sini. Saudara seIslam di bumi bergolak belum tentu berpeluang menjamah makanan dengan tenangnya.

Tempoh hari, berkata seorang ahli rumah kepada saya;

"Hari ni rasa macam nak makan ayam golek la..."

dan esoknya seorang lagi

"Lama tak makan cekodok pisang..."

dan seorang lagi kemudiannya ,

"Teringin nak rasa anggur di sini..."


Sabar mereka dalam memastikan diri tidak tunduk kepada nafsu. Mungkin penyelamatnya juga disebabkan kekurangan fulus. Anggur dan pisang tidaklah semurah seperti yang boleh didapati di Malaysia. Hingga dikatakan, hanya orang kaya saja yang mampu memakannya, wallahua'lam. Ini menurut seorang kakak. Sekadar metafora. Baiknya Allah, selang beberapa hari satu persatu apa yang dihajati dimakbulkan. Ada saja hamba Allah yang ringan tangan menghulur makanan. Alhamdulillah, siapa sangka saya berpeluang untuk menjalani ibadah ramadhan di bumi yang penuh barakah ini.

Al-Fatihah
Memetik kata-kata seorang senior PSS kehormat;

"Rungutan mengugat keikhlasan"

Boleh jadi kita merungut kerana makanan yang tidak mencukupi, kurang enak, letih, lelah dan sebagainya. Mungkin masing-masing boleh mememuhasabah kembali pintu-pintu nikmat yang masih terbuka di bulan yang mulia ini. Masih ada peluang untuk menebus kekurangan ibadah di ramadhan yang lalu.

Baru-baru ini, wanita berusia yang pernah saya ceritakan dalam post yang lalu disahkan mengidap barah payu dara tahap ke-3. Katanya, tidak dapat diramal apa yang akan berlaku kepada dirinya untuk hari-hari seterusnya. Beruntunglah buat mereka yang diperingatkan kembali akan ajal yang bakal bertandang. Dapatlah mereka mempersiapkan diri untuk kehidupan di alam 'sana'. Semoga kesakitan dan kesusahan yang dilalui dapat menghapuskan dosa-dosa lampau dan kemudiannya merebut pahala selaku orang-orang yang bersabar.

Sedekahkan al-fatihah juga buat seorang sahabat Syria yang telah meninggal dunia pada ramadhan ke-10 kerana terlibat dalam kemalangan jalan raya. Sungguhpun saya tidak berkesempatan mengenali arwah, namun susok itu diperkatakan amat disayangi atas sifat tawadhuk dan hormatnya kepada orang lain. Semoga diberi kekuatan kepada keluarga dan sahabat-sahabat arwah. Kisah selanjutnya boleh merujuk di sini dan di sini.

Tiada siapa yang dapat memberi jaminan hidup ini walau untuk seminit kemudian.

Sedarlah, masih ada waktu yang berbaki untuk perbaiki diri!

Selamat beribadah di waktu ramadhan yang masih tersisa,
Mari mengejar 10 malam terakhir!

Segala puji bagi Allah yang menjadikan di antara jalan-jalan (kebaikanNya) adalah bulan Ramadhan, bulan puasa, bulan Islam, bulan kesucian, bulan pembersihan, bulan menegakkan solat malam, bulan yang di dalamnya Al Qur’an diturunkan sebagai penyuluh dan (rincian) penjelasan petunjuk dan pembeza bagi manusia. (QS Al Baqarah: 185)

p/s: Sedikit yang dapat dikongsikan buat sahabat-sahabat yang berada di Sabah dan seluruh pembaca. Mohon maaf di atas kesilapan. Feel free to comment~ :)