Jazakallahu Khairan

Friday, September 18, 2009

Watak Sama, Pelakon Berbeza.

"Manusia yang yang lupa, akan mengulangi sejarah"

"Manusia yang bijak, belajar dari kesilapan orang lain"

Kadang cuba dihalusi yang tersirat dari kata itu. Anak soleh solehah minta dibacakan buku sirah nabi dan pejuang Islam era dulu. Bertubi persoalan dilontarkan. Zahirnya dikira mereka itu kurang faham. Apa mungkin mereka lebih penghayatan pada situasi lampau. Si pembaca yang terpinga.

"Ahh. Ini kisah dulu. Sekarang dah berubah."

Mungkin kerana kereta dan bangunan sudah mulai berubah wajah, binatang turut berevolusi diledak modenisasi. 2 era yang berbeza, dia alpa dalam memahami sejarah. Hinggakan perkara yang berulang didepan mata disangka perkara biasa. Dia lupa, dia juga sebahagian sejarah.

Apakah tiada persamaan buat yang dulu dan yang kini? Selain putaran masa. Benarkah hidup ini berputar umpama roda? Kadang di atas kembali ke bawah.


Lupa kita meletakkan situasi pada perintis perjuangan. Mungkin kerana dulu mereka minoriti, tidak berharta bahkan terdiri dari fakir dan hamba. Berbuih mulut ustaz menceritakan kisah Bilal menegakkan kalimah ahad, rasul u’lul azmi dan kaum-kaum yang silih berganti. Bala-bala yang turun buat yang tidak mahu menerima kebenaran. Kita hanya mengeleng kepala.

"Jahilnya menilai yang haQ" bisik hati.

Bukankah kita juga sama. Kita ulangi apa yang terkandung dalam kamullah. Berupa amaran dan catatan sejarah tiada nota pengajaran. Terdulu Ibrahim menghancurkan berhala memesongkan aqidah yang disembah oleh kaumnya dan menentang raja zalim, Namrud. Namun, apa bezanya dengan manusia kini yang ramainya tapi menyembah dunia? Harta kekayaan, pangkat, pujian, kereta, barangan berjenama, cinta remaja, cinta dunia. Yang hanya melekakan untuk patuh pada si Pencipta. Status mulai berubah, hamba Allah? Tidak, hamba dunia. Cinta pada yang rapuh hanya sementara. Andai itulah, mahu kita dengar bicara persis Nabi Ibrahim?

Apakah mungkin kita ini serumpun dengan Abu Lahab yang menentang Rasulullah diwaktu mengajaknya kembali mengenal kebenaran? Mana mungkin yang kaya dan ternama mahu tunduk pada ajaran yang buta huruf lagi tidak berharta. Sabar. Kita kan versi moden.

Terkadang kita merasakan diri lebih hebat hanya kerana pangkat yang tinggi, hatta melihat sebelah mata memandang sinis pada si fakir harta ataupun memaling muka saat ditegur oleh mereka yang tidak ternama. Kita sama. Memandang enteng pada yang menyeru kepada ma’ruf dan menentang kemungkaran. Sama seperti raja Parsi yang memandang jelek pada surat utusan Nabi dari bumi Arab.

Yang pintar juga sama. Tiada pengajaran. Bila bijak tidak berilmu. Bila berilmu tidak mahu diamal. Bukan dibimbing yang buta bahkan ditolak, dibiar sendiri dilembah kesesatan. Tidak dirawat yang luka, ditikam parah mati hati yang noda. Usah dipandang enteng pada yang baru mengenal alif ba ta andai diri di tahap mengaji berlagu.

Kita tidak mustahil mengulangi perkara yang sama. Membandingkan kaum laknat terdahulu dan masyarakat kini tidaklah payah. Renungilah pada bumi kita berpijak. Sejarah mana yang tidak berulang?

No comments: