Jazakallahu Khairan

Monday, August 29, 2011

Merenung Kekuatan di Kota.

Tatkala merenung dunia luar sejenak, betapa kemewahan itu satu keselesaan besar yang perlukan bayaran mahal. Cuma belum tentu kegembiraan akan menjelma dalam longgokan material di depan mata.

Jika benar, berapa ramai orang senang yang tersenyum puas punya harta yang banyak?

Jika benar, mengapa terdapatnya orang susah tetapi mampu tersenyum ceria menghadapi hari-hari sukarnya?

Besar makna sebuah kesyukuran yang bukan luahan dengan kata-kata semata-mata tetapi tafsiran melalui hati yang hidup. Digerakkan dengan amal perbuatan. Dituturkan dengan lidah fasih dari akal yang bijaksana. Semoga diri ini tidak lemas dalam zon selesa.

Kelegaan selamat sampai ke bumi kelahiran sesuatu pemberian dari Allah yang tiada timbang taranya untuk disyukuri. Bosan menanti penerbangan yang asyik ditunda. Redha saja sekiranya terpaksa beraya di lapangan terbang, namun ketenangan diragut bila memikirkan kesungguhan ibu dan ayah memujuk untuk pulang. Alhamdulillah semua dipermudahkan.

Most Comfortable Place.
3 bulan meninggalkan rumah, meninggalkan Sabah. Dari dulu, saya agak lemah untuk menyusun hidup agar bebas dari keselesaan. Satu kaedah untuk menghindari rasa itu, selalu saya praktikkan adalah dengan keluar dari rumah dan mencari ketenangan dicelah-celah kepayahan dan kebobrokan masyarakat. Bukan kerana keadaan rumah yang tidak tenang, tapi risau kesenangan yang ada menjadi pembunuh! Khuatir usaha memperbaiki diri terbantut. Takut-takut penyakit tidakpedulisme menyaluti diri. Biar terus melihat kesusahan sebagai peringatan.

Di tengah perut kapal terbang, 1 message jemputan diterima untuk memenuhi sebuah slot pagi di program Qiamullail Kelab Remaja Ukhuwwah. Alhamdulillah, peka dengan malam ke-27. Belum tiba di Sabah, sudah ada yang menyuluh arah jalan untuk aktiviti esok hari. Seusai mendarat, panggilan demi panggilan diterima. Pandai mereka mengagak masa. Akhirnya jadual hari-hari seterusnya langsung padat. Memang inilah yang saya rindukan. Mujur keluarga sudah masak dengan kelincahan. Selalu perlu bijak siasah bersama keluarga.

Generasi Masa Hadapan.
Mungkin ramai yang menganggap saya gila, sia-sia juga membazir masa. Sebuah lakaran impian yang mustahil. Sukar untuk dicapai atau tidak akan tercapai. Mengapa mahu menyelamatkan generasi kini yang sudah nyata cacat akhlaknya, hilang nilai moralnya, sudah tepu dengan budaya cacamerba? Apa yang saya tuliskan mungkin terlalu idealistik, boleh jadi sukar dihadam oleh para pembaca. Apa yang ingin saya sampaikan bukanlah tentang ungkitan hari semalam, tetapi jangkauan hari esok. Siapa tahu apa akan terjadi pada kita nanti? Ketidakpastian tentang masa depan menjadikan hidup ini sangat mencabar. Kita berjalan di dalam gelap yang kian mencerah hari demi hari. Apa yang kita tidak pasti tentang diri kita 10 tahun yang dulu, kini kita telah mendapat jawapannya. Apa yang kita tertanya-tanya tentang diri kita pada 10 tahun akan datang, kita harus terus berlalu agar jawapan itu kita ketemu. Apa yang kita nampak dan lihat, itu adalah kejadian sekarang. Masa depan tiada siapa yang pasti.

Soalnya bukan mahu menilik nasib Umat dan melontarkan sewenang-wenangnya tanggapan mengikut suka hati, tapi ada yang perlu direnungkan dalam keadaan masyarakat hari ini dan merelatifkannya dengan masa depan, mungkin 10 tahun lagi, atau 20 tahun lagi. Berharap dapat menimbulkan persoalan yang harus difikirkan bersama. Ini juga bukan soal melihat dunia daripada sudut pandang yang negatif, lalu terus memberikan kesimpulan yang menutup pintu perubahan, tetapi ini adalah soal melontarkan realiti dan mencari solusi.

Dalam mencartakan remaja hari ini matlamat terealisasi, saya yakin di antara mereka itu tidak semua menjauhi cahaya Islam, ramai yang perlu dipandang dan diberi perhatian. Di Sabah saja, yang nakal dan berkelakuan hilang akal itu masih ada yang mampu menangis bila disapa angin keinsafan. Kenapa menganggap mustahil untuk mereka berubah? Jangan lari dari sejarah, mungkin boleh berkenalan dengan kisah Ikramah bin Abu Jahal yang memeluk Islam setelah menjadi salah seorang penentang hebat Islam pada awalnya. Atau meng'google' kisah Khalid al-Walid, panglima perang yang paling digeruni di medan perang sebelum beliau memeluk Islam. Sejarah sudah membuktikan, pasti ada yang berulang pada masa kini. Bermula dari sekarang. Ada yang perlu dicegah dan ada yang perlu diubati.

Malam ini,
Dalam kelam cahaya bulan
Dia lihat kita melumat kerikil
Dari kerdip sinar bintang
Kelip matanya memancar jengkel

“Ah! itu hanya kumpulan kecil manusia gila
Memahat usaha sia-sia!”

Siang nanti,
Bila mentari mula tinggi
Kiranya mata tidak tertipu lagi
Rupanya dalam sepi malam ini
Kita tekun mengukir nyata sebuah mimpi

Kota kukuh besi kursani
Temboknya tebal berdepa
Tiangnya sayup melonjak angkasa
Lantainya merentas lautan memukat benua

Bumbung teduh mustadafin sedunia
Dinding tangis mustakbirin durjana

fikrul mustanir

Lemah Kelam di Kota.
Usaha masih banyak perlu digiatkan, kelompangan diri masih banyak perlu dipenuhi. Semalam bersama adik-beradik diajak membeli persiapan raya. Lama tidak melihat bandar Kota Kinabalu. Malangnya, sungguh saya berdukacita. Persekitaran yang jauh berbeza dari apa yang saya rasakan di Syria. Susah mahu menjaga mata. Terasa seperti sedang berjalan di kota kelam penuh debu maksiat walau di bulan yang mulia. Risau, adakah sebelum ini saya menganggap wanita-wanita berpakaian singkat dan pergaulan bebas sebegitu sesuatu yang normal? Semoga diri ini tidak lemas dalam masyarakat yang bebas. Masih ada kekuatan yang perlu dipertingkatkan. Mengingatkan saya kepada sajak yang dideklamasikan oleh seorang senior dalam program dulu-dulu sewaktu menjadi peserta,


Ketika aku kecil,
Aku berada dalam khayalan yang luas,
Ketika itu imaginasi aku tanpa batas,
Aku bebas mengidamkan apa saja,
Aku mengidamkan untuk mengubah dunia ini,
Namun aku sedar aku tidak mampu,
Aku mengidamkan untuk mengubah Negara ku ini,
Namun aku juga tidak mampu,
Aku mengidamkan untuk mengubah bandar ku ini,
Namun, hal itu juga luar jangkauan aku,
Aku mengimpikan mengubah isteri dan anak-anakku,
Namun aku lemah untuk membuatkan mereka taat padaku,
Akhirnya aku mengimpikan mengubah diri ku sendiri,
Namun kini aku di perbaringan,aku tak kuat untuk berubah,
Aku mulai sedar, bahawa diri yang kerdil ini,
Takkan mampu mengubah yang dihadapan andai yang ditangan,
Belum mampu diubah..
Segalanya bermula pada diriku sendiri..

Bartanah-tanah, berlaut-laut lagi perlu dijelajahi dalam mencari ilmu dan mengumpul kekuatan diri. Hingga perlu berhijrah jauh meninggalkan 'ladang' seketika bagi mengisi kekosongan otak dan diri. Terima kasih buat senior-senior yang memberi kepercayaan pada diri ini untuk 'berehat' sebentar dengan harapan akan kembali dengan ilmu penuh di dada.

ya Allah, kembalikan ketenangan di bumi Syria, semoga ketenangan itu dapat diterbangkan hingga ke Sabah.

*****************************************

Dikesempatan ini ingin mengucapkan Salam Eid Mubarak! buat seluruh umat Islam yang telah melalui fasa ramadhan dengan jayanya :)
Semoga istiqomah dengan perubahan positif diri dalam Ramadhan

No comments: