Jazakallahu Khairan

Tuesday, May 5, 2009

Manusia Seperti Ular dan Buaya.

Ular Cuma Ada Sifat Ular
Buaya Cuma Ada Sifat Buaya
Tetapi Manusia Ada Sifat Manusia, Ular Dan Buaya.

Semua orang tahu ular mampu mematuk mangsa dengan bisanya, membelit bahkan mampu membaham mangsa yang lebih besar daripadanya.

Namun pernahkah kita mendengar seekor ular 'menyengat' mangsanya? Tentulah tidak kerana ular tidak menyengat kerana menyengat bukan sifat ular tetapi sifat lebah.


Buaya pula terkenal dengan libasan mautnya. Dalam senyap ia akan menghampiri si mangsa yang langsung tidak menyedari kedatangan haiwan ganas ini. Meronta-ronta si mangsa minta dilepaskan. Sebuas-buas buaya, ia tidak membelit dan lidahnya tidak bercabang. Sebab, itu bukan sifat buaya.


Kalau lembu dan kambing pula senjatanya adalah pada kedua-dua tanduknya. Kadang-kadang ada juga ia menyepak terajang mangsanya. Tidak ada kambing yang menggunakan ekor seperti sang buaya sebagai senjata untuk melibas mangsanya. Tidak ada juga mana-mana lembu dalam dunia ini yang menyengat atau mematuk mangsanya sehingga mati.


Begitulah yang selalu terjadi. Melihat saja pada ular, kita sudah tahu apa tindak balas yang bakal dilakukan. Ular hanya mampu mematuk dan ianya berbisa. Begitu juga apabila terserempak dengan buaya, lebah dan haiwan lainnya. Kita sedia maklum buaya dengan sifat buayanya, tebuan dengan perangai tebuannya serta lembu dengan gayanya.

Cuma satu saja yang tidak dulu, kini dan selamanya serupa, manusia. Membaca sikap manusia lebih susah daripada membaca perangai haiwan. Sebabnya, manusia bukan hanya ada sifat manusia tetapi juga sifat ular, buaya, lembu dan lain-lain kebinatangan.


Yang kelihatan tenang dan sederhana gerak-gerinya sehingga yang melihatpun mudah terpesona rupa-rupanya bila berkata-kata terkeluar segala bisanya. Yang disangka lemah lembut, pabila membelit patah tulang rusuk dikerjakan. Yang kita sangka amat sabar orangnya, bila dijolok menyerang ganas bagai nak gila.

Ingat, ini cuma sekadar muhasabah diri, bukan mencari salah sesiapa. Hebatnya kalau kita selalu muhasabah diri. Yang sudah bagus, teruskan bagus dan tambahkan bagusnya. Bahkan amat bagus dan tidak salah kalau kita terus membaguskan apa yang memang sudah sedia bagus.


Biar binatang bersifat manusia
tetapi
jangan manusia bersifat binatang.
Melihat haiwan memakai pakaian lebih baik
daripada melihat manusia telanjang seperti haiwan.

No comments: