Jazakallahu Khairan

Wednesday, November 9, 2011

Mendasari Ukhuwwah dengan Bunga Keimanan.

Surau di puncak bukit itu menggamit seribu nostalgia. Di situlah kami belajar bertatih. Adakalanya terjatuh, adakalanya terluka. Juga pernah hampir berputus asa di jalan yang tidak rata itu, berlopak, berduri, penuh halangan. Nostalgia sakit zaman remaja namanya.

Di situ jugalah hati-hati mula tertaut. Tempat hadirnya tangan-tangan yang membalut luka, memapah untuk sama-sama melangkah. Hingga akhirnya sama-sama bangkit semula. Bersendel bahu saling bantu-membantu. Ini dikatakan persahabatan. Umpama perisai segala bencana.

"Kita tidak memerlukan seseorang yang sempurna untuk dijadikan teman. Tetapi kita memerlukan seorang teman yang membuatkan kita berasa sempurna apabila mengenalinya"

Mengikat Hati dengan Hati.


Itulah yang kami diajar. Hingga tercetus tanggungjawab untuk melahirkan pejuang-pejuang Islam yang ditaut dengan hati. Hanya hati yang mampu menawan hati. Dari hati akan sampai kepada hati. Perlu berhati-hati membawa hati. Hati dan hati hanya mampu disatukan melalui ukhuwwah. Ukhwah atau persaudaraan merupakan nikmat dari kekuatan iman dan ketakwaan yang melahirkan perasaan kasih sayang yang mendalam, rasa saling percaya mempercayai dan hormat-menghormati, sesama insan yang terikat dengan akidah Islamiah. Kesinambungan daripada perasaan ini melahirkan keikhlasan yang tidak berbelah bahagi untuk saling tolong-menolong, berkasih sayang, saling memaafi, setia kawan, dan sikap mulia lainnya. Tidak akan ada ukhwwah tanpa iman dan takwa dan begitu juga sebaliknya.
Sebentar tadi bersama-sama kami berkumpul dan menyaksikan sebuah lagi ukhuwwah yang terbina atas dasar kasih kepada Pencipta. Rentetan dari usaha-usaha murni yang mahu berkongsi rasa berkasih sayang kerana Allah. Hanya Allah yang berkuasa menyentuh hati-hati manusia. Berkuasa menghimpunkannya. Mudah juga untuk membolak-balikkannya.

Dalam kisah mereka, masih banyak liku yang menanti untuk diceritakan pada masa hadapan. Watak-watak sudah nyata, konflik masih ada yang belum tertera. Masa terus berputar mencoretkan kisah-kisah baru, sama-sama kami dan mereka mengharapkan rantaian ukhuwwah yang terbina tidak putus di tengah jalan. Biar kekal hingga ke syurga.

Bertemu dan Berpisah kerana Allah.

Halaqah gabungan sebelum adik-adik Basyirah03 dan Ikhwanul Solihin01 menduduki SPM sebentar tadi menutup tirai usrah untuk sesi 2011. Bukan bermakna ditutup untuk selama-lamanya. Muka surat baru akan dibuka setelah semua menamatkan zaman sekolah menengah. Cabaran demi cabaran baru akan datang silih berganti selepas ini.

Tadi sempat mereka mengutarakan rancangan selepas SPM. Pastinya selepas ini masing-masing akan sibuk dengan komitmen lain. Banyak kekangan untuk berhimpun mengisi rohani walaupun seminggu sekali. Saya doakan agar adik-adik ini akan membesar dewasa dalam landasan yang tepat. Jika ditemukan atas dasar keimanan, berpisah juga seharusnya di atas dasar yang sama. Perlu sentiasa mencari dan ternanti-nanti sesiapa yang sudi melorongkan cahaya buat diri.

Bittaufiq Wannajah fil imtihan adik-adikku.
Semoga impian-impian yang baik menjadi kenyataan.

Thursday, October 27, 2011

Lorekkan Jejak-jejak Luar Biasa.

Lama blog ini menyepi. Banyak saja idea dan bahan mahu dikongsi. Hakikatnya, sengaja saya membiarkan blog ini tidak bertulis beberapa hari, niat untuk mengasah pena. Sambil-sambil cuba merenung kembali tujuan asal saya menulis. Tidak banyak pengalaman mahu dikongsi, juga tidak banyak falsafah untuk diungkapkan. Apatah lagi dengan ilmu yang setitis di hujung jari. Mudah-mudahan perkongsian yang sedikit selama ini, ada baiknya untuk semua.

Ke Mana Halatuju?
Menuju saat-saat terakhir untuk kembali mencedok ilmu di bumi anbiya. Bercampur baur perasaan. Apakah masih ada ruang untuk saya kembali berkelana di bumi Syam? Jejak-jejak yang pernah dilakar sebelum ini muncul satu per satu memujuk-mujuk minta ditunaikan. Impian yang pernah terinspirasi dari senior-senior yang sudah berjaya menapakkan kaki di atas pentas kejayaan. Mendapatkan segulung ijazah dalam bidang yang diceburi. Azam yang pernah tertanam di sanubari, mahu menimba sebanyak mungkin pengalaman ketika menuntut di institusi tempatan. Mempelajari selok-belok berdiplomasi. Bergiat dalam aktiviti membangunkan spiritual dan rohani insani. Bertukar-tukar pengalaman serta menyumbang idea. Belajar berpartisipasi, belajar mengurus, belajar pengalaman orang, belajar menganalisis isu. Impian mahu menjadi hebat seperti mereka yang hebat, agar dapat melahirkan generasi yang hebat.
Mungkin kini, mimpi itu perlu diperhalusi lagi. Antara tangguh atau perbaharui. Ada mutiara yang perlu diselami dan dikongsi kepada masyarakat tempatan hari ini. Dan mutiara ini bukan di mana-mana boleh diperolehi. Perlu turun ke bumi yang lautan ilmunya belum dicemari. Menjadikan saya lebih faham hidup ini perlu ada yang dikorbankan demi kehidupan sendiri dan orang lain. Semoga dengannya akan menyelamatkan lebih banyak jiwa-jiwa suci.

Menjadi biasa atau luar biasa?
Untuk mencapai tujuan hidup yang sebenar, pilihan demi pilihan perlu dilakukan. Bukan mudah memilih laluan yang benar-benar mencapai tujuan hidup sambil memandang hasilnya di hadapan. Setiapnya ada liku dan warna-warna yang bergabung menghasilkan sebuah kisah. Setiap plot di pentas kehidupan ini sangat menguji diri. Mahu menjadi yang biasa atau yang luar biasa? Saat perlu memilih ini muncul baru kita sedari, hidup ini bukan sekadar untuk diri sendiri. Komitmen begitu banyak dan setiap pihak menagihnya. Belajar untuk menjadi lebih kuat walau seringkali merasa tersepit di antara harapan dan impian. Memilih bukan hanya sekali. Tersilap langkah pasti tersungkur nanti. Sekiranya saya tersungkur bertambahlah lagi satu titik hitam di dalam masyarakat. Menimbulkan persoalan apa yang membezakan saya dan mereka?

Jalan-jalan untuk menjadi manusia biasa atau luar biasa itu sudah terbentang. Zaman berzaman, kurun berkurun banyak kisah yang sudah menceritakan. Hidup seperti manusia biasa sudah nampak susunannya. Aturannya mudah, cemerlang akademik-kerja-kahwin-beli kereta mewah-beli rumah besar-dapat anak-naik pangkat-pencen-mati! Ramai orang yang memilih jalan hidup seperti ini. Mahu senang, menjadi orang yang biasa-biasa saja di muka bumi. Rugilah hikmah yang terbentang di dalam warna Islam jika satu pun tidak digarap dan diambil madunya. Orang-orang yang dijanji syurga hidupnya bukan yang biasa-biasa. Syurga itu sesuatu yang luar biasa, hanya mereka yang luar biasa mendapat tempat di taman-taman yang luar biasa. Jalan hidup Rasul dan para sahabat itu yang perlu dihayati. Dari cara hidup yang biasa-biasa, berubah kepada luar biasa dengan izin Allah. Malanglah, jika saya mengabaikan ibrah dari sirah-sirah itu. Peluang untuk berubah itu ada banyak kali, sungguhpun hidup ini hanya sekali.

Apakah kesudahan Hidup Ini?
Manusia tidak tahu bila dia mati, dan bagaimanakah dia akan mati? Namun tidak salah untuk kita menetapkan mengapa kita mahu mati dan harapan bagaimanakah untuk kita mati. Ketahuilah diri. Malam dan siang itu silih berganti. Itulah malam yang kelam dan inilah siang yang cerah. Seperti ini jugalah keadaan malam dan siang diwaktu hidupnya Nabi Nuh dan Nabi Hud. Inilah juga malam dan siang yang dijalani watak Qarun dan Firaun. Berjalanlah seseorang yang amat baik dan seorang yang amat jahat di bawahnya. Namun ternyata tiada siapa pun yang pernah menggugatnya. Bahkan entah berapa ramai yang telah terlipat dibawah kebahagian dan kesengsaraan mereka.
Jika luar biasa itulah pilihanmu, maka ketahuilah jalan ini bukan jalan untuk orang yang takutkan miskin dan kelaparan. Bukan untuk orang yang suka bersenang-senang memuaskan hawa nafsunya. Jalan ini adalah jalan pembersihan dan mengajar untuk memenjarakan diri di dalam dunia yang menipu. Jalan ini melimpahkan sejuta rahmat dan keberkatan tetapi amat memerlukan kejujuran dan ketahanan. Demi Allah yang diriku berada di dalam genggamannya, tiada siapa yang mampu meneranginya kecuali mukmin yang bergantung sepenuhnya pengharapan kepada Allah Azzawajalla.

Merancang untuk hidup ini terlalu besar dan berat. Apatah lagi merancang kehidupan selepas kematian. Tidak semudah melakar target exam di atas kertas. Ataupun menyusun waktu menelaah pelajaran dikotak-kotak cantuman garisan pena. Tidak semudah memfailkan kertas-kertas peperiksaan.

Baiklah, setelah bermuhasabah diri, tekad membulatkan matlamat utama. Dan anda yang membaca mohon doa dan peringatkan saya berkali-kali. Sudah terlalu lama saya bermain dengan awan kesamaran. Kali ini perlu betul-betul tekad melangkah beberapa tapak lagi. Melorek impian seperti karya indah ciptaan ilahi, yang tumbuh mekar di balik kelopak awan selepas hujan seperti warna-warni sang pelangi~ usaha merealisasikan setiap impian yang dicoret dalam buku kuning comel itu.

Friday, September 30, 2011

Jaga Dirimu Buat yang Menduduki exam!

Minggu ini, dalam kesibukan sempat juga menziarahi seorang adik usrah yang bakal menduduki SPM. Bimbang dengan kondisi kesihatannya lantaran 3 hari tidak hadir ke sekolah. Diharap adik-adik usrah juga buat semua pelajar yang bakal menduduki peperiksaan penting dapat menjaga kesihatan diri dengan baik di saat-saat akhir ini. Maklumlah di musim cuaca tidak menentu, macam-macam boleh berlaku.

Mengimbas kembali nostalgia di zaman sekolah menengah. Berlayar sebentar ke Portal Rasmi Kementerian Pelajaran Malaysia. Sebuah laman yang kerap dikunjungi sewaktu bergelar calon SPM dan STPM. Buat sekian lamanya, saya bertandang lagi ke web tersebut untuk menghitung hari-hari yang masih berbaki buat junior-junior yang bakal menduduki peperiksaan PMR, SPM dan STPM.
PMR: 4 hari lagi
SPM: 45 hari lagi
STPM: 52 hari lagi

Buat yang sudah bersedia, alhamdulillah. Buat yang belum bersedia, fi amanillah. Sedikit tips persediaan untuk sahabat-sahabat yang sedang melangkah ke stage seterusnya. Di saat-saat akhir ni, kawal mental dan emosi dari perilaku yang merugikan serta prihatin lebih pada fizikal dan rohani diri.

Pengawalan Mental
  • Pakar-pakar motivasi mengatakan setiap kejayaan bermula dari minda yang berfikiran positif. Baik yang anda fikirkan, baiklah apa yang anda lakukan. Usah berteka-teki dengan keputusan yang bakal diperolehi sebaliknya teruskan usaha hingga ke akhirnya.
  • Jangan menyerah kalah sebelum peperiksaan!
  • Di saat-saat akhir, elakkan sebarang tekanan kerana tekanan yang anda hadapi akan mencacatkan kualiti usaha.
Pengawalan Emosi

Hindari diri dari;
  • CINTA MONYET. Permainan perasaan ini akan menggangu konsentrasi dan melekakan.
  • Overconfident. Yakin sudah mampu mencapai lulus dengan cemerlang akan mematikan semangat dalam diri untuk menambah usaha.
  • Menyakiti hati orang sekeliling terutamanya ibubapa dan guru. Hati-hati ini sangat perlu untuk dijaga. Khuatir luka yang anda guriskan itu menjadi penghalang untuk menjawab soalan dengan baik sewaktu peperiksaan.
  • Prasangka buruk pada orang lain. Sikap buruk ini hanya akan merugikan diri. Atas faktor cemburu, kejayaan orang lain dianggap bala pada diri. Kegagalannya pula mendatangkan kegembiraan. Perlu diingat, kejayaan kita juga adalah hasil dari doa orang lain. Doakan kebaikan orang lain, insyaAllah akan lebih ramai yang mendoakan kejayaan anda.

Persediaan Fizikal
  • Rehat yang mencukupi. Di waktu ini bukan masanya lagi untuk bersengkang mata hingga larut malam. Tidur sekurang-kurangnya 5-8 jam sehari.
  • Jaga pemakanan. Elakkan makanan yang mengandungi bahan-bahan tambahan seperti MSG. Banyakkan memakan makanan yang boleh menguatkan daya ingatan seperti kismis, kacang dan kurma.
  • Membuat senaman ringan. Baik untuk salur darah dan sendi-sendi badan.
  • Menitik beratkan keselamatan diri.
Persediaan Rohani
  • Banyakkan meminta pertolongan dari Allah SWT. Mohonlah doa di waktu-waktu mustajab.
  • Perbanyakkan amal ibadat untuk memperoleh ketenangan. Amalkan solat sunat hajat, taubat dan witir. Juga bertahajjud di sepertiga malam.
  • Jauhkan diri dari maksiat. Awasi mata, telinga dan setiap perilaku dari perkara-perkara dan tempat-tempat yang berunsur maksiat. Risau ianya akan mengelapkan hati dan seterusnya menyukarkan proses menjawab soalan.
Jika terlupa, bacalah doa yang diajarkan ketika terlupa;

(Subhaa na man laa ya naa mu wa laa yas huu Allahumma zakkirnii maa nasiit) 3x

Maksudnya: Maha Suci Tuhan yang tidak pernah tidur dan tidak pernah lalai, Wahai Tuhanku, ingatkanlah aku apa-apa yang aku lupa

Kejayaan itu bukan satu destinasi, tapi sebuah perjalanan. Semakin jauh anda berjalan, semakin bagus anda jadinya. Ianya tidak berpenghujung....

Bit taufiq wannajah fil imtihan

Monday, September 26, 2011

Rehlah Sept KRUKK

Lihatlah alam, tidak putus-putus bercerita akan kehebatan Penciptanya. Melihat sebuah kesempurnaan di depan mata. Laut yang terbentang luas. Subhanallah.. Seluas saujana mata memandang, sebiru laut membisikkan sebuah ketenangan.

Alhamdulillah pada 24 September 2011, Kelab Remaja Ukhuwwah (KRU) cawangan Kota Kinabalu telah mengadakan sebuah rehlah bersama ahli yang dirancang ad-hoc. Rehlah yang diadakan di Taman Awam Teluk Likas bertujuan merapatkan hubungan sesama ahli dan membangkitkan semangat sahabat-sahabat yang bakal menduduki peperiksaan.

Syukran lihudurikum buat sahabat KRU Sipitang yang sudi hadir meraihkan sedikit jamuan yang disediakan. Dalam bersantai, beberapa aktiviti berbentuk kuiz diadakan bagi menguji tahap persediaan sahabat-sahabat yang bakal menduduki peperiksaan SPM pada tahun ini.

Sekalung terima kasih, selaut budi buat senior dan junior yang sudi hadir. Jazakumullah khairan katsiran wa jazakumullah ahsanal jaza. Semoga dipertemukan lagi.

Saturday, September 24, 2011

Nilai Segulung Tikar Getah..

Hanya dengan sekecil-kecil perkara, kegembiraan dapat anda sebarkan kepada orang lain. Hatta hanya dengan sekuntum senyuman mahupun sepatah salam.

Hidup bermasyarakat lapang-lapangkan berkongsi rasa gembira agar ikatan yang dibina bertambah utuh. Bahkan menjadi sunnah Rasulullah untuk menggembirakan hati orang lain meskipun cuma seorang kanak-kanak.

Pada asalnya niat sekadar mahu menziarahi rumah senior PSS di Tuaran, secara tidak langsung bertukar menjadi misi menghulurkan bantuan ke rumah jiran sekampung. Merentasi jambatan, jalan-jalan kecil berlubang, batas-batas sawah padi, pagar-pagar buluh dan dawai-dawai besi berduri, akhirnya team PSS dan KRU selamat tiba ke tempat yang dituju, sebuah pondok kecil.

Sebarkan gembira ke seluruh pelusuk dunia.

Ada apa pada segulung tikar getah?

Di sebuah pondok kecil berdinding dan berlantai papan rapuh. Menjadi tempat sepasang suami isteri dan 4 orang anak kecil berlindung dan berpijak. Hanya segulung tikar getah setakat ini yang mampu disumbangkan menjadi alas duduk, makan, bermain, belajar dan tidur kepada keluarga ini. Orang dikota sibuk-sibuk menambah barangan yang tidak berkecukupan. Rupanya yang dibendang hanya mampu menambah rasa syukur setiap hari dalam meneruskan kehidupan.

"Jangan sesekali kamu memperkecilkan kebajikan sesekalipun ketika kamu mencurahkan air sehingga habis dari bekasmu ke bekas orang lain yang meminta air dan ketika kamu bercakap dengan saudaramu dengan menunjukkan muka yang manis kepadanya"
(Direkodkan oleh Tabrani)

Si Kecil Ika gembira memikul tikar getah

Sesi berkenal-kenalan

Khidmat memasang tikar getah

"Sesiapa yang membantu memenuhi keperluan saudaranya, Allah akan membantu memenuhi keperluannya dan sesiapa yang membantu melepaskan kesusahan Muslim, Allah akan membantu melepaskan kesusahannya pada hari kiamat."
(Direkodkan oleh Bukhari)

alhamdulillah, sekadar yang mampu

Misi mencari jalan pulang

Semoga post ini dapat melahirkan rasa senang kepada para pembaca untuk menyebarkan 'kegembiraan' kepada insan-insan yang sangat memerlukan. Insya-Allah akan dipantulkan kegembiraan yang berganda-ganda buat anda semula.

Selamat beramal!

Wednesday, September 21, 2011

Puasa 6; Syawal masih berbaki

Syawal masih berbaki.
Buat yang belum memulakan puasa sunat syawal, sudah-sudahlah dengan alasan "masih awal".

Cuti umum raya pada tahun ini agak pendek. Undangan open house hanya lebat di hujung minggu. Jadi mudahlah untuk melaksanakan puasa sunat syawal. Syawal bukanlah bulan untuk bersuka ria semata, tetapi telah disyariatkan puasa 6 hari bulan Syawal sebagai satu latihan. Bahwasannya amal ibadat itu bukan terletak pada bulan-bulan tertentu sahaja tetapi amalan itu perlu konsisten sepanjang hidup manusia.

Pelajar yang cemerlang akan berusaha untuk mendapatkan markah yang terbaik dalam setiap ujian yang diduduki. Kerana nilai-nilai nombor ini yang menentukan gred yang bakal diperolehi. Analoginya sama buat individu muslim yang menginginkan keputusan yang cemerlang sewaktu dihisab di akhirat kelak. Amalan-amalan sunat inilah yang akan membantu dalam menentukan mumtaz, jayyid jiddan sehinggalah rasib.

Gred apakah yang anda idam-idamkan untuk ibadat puasa pada tahun ini? Untuk gred terbaik cukup mudah dengan memenuhi syarat bertahan hanya untuk 6 hari di bulan Syawal.

Apa faedahnya berpuasa sunat syawal?

Pertama: Menampung mana-mana kekurangan puasa fardhu.

Sempurnanya ibadat seseorang terletak pada amalan sunat yang telah dilakukan. Bukan sekadar pelaksanaan ibadat yang wajib semata-mata. Umum mengetahui solat adalah perkara terawal yang dihisab kelak. Maka, solat-solat wajib akan dinilai dahulu sebelum solat sunat dihitung sebagai menutup mana-mana kelompangan yang ada di dalam amalan solat kita. Sebagaimana puasa, pasti ada yang terkurang di suatu sudut. Justeru, anda masih berpeluang untuk mendapatkan markah yang tinggi dalam penilaian puasa. Peluang masih terbuka dalam pelaksanaan puasa sunat enam hari di bulan syawal.

Kedua: Menggenapkan ganjaran berpuasa setahun penuh.

Rasulullah bersabda; “Setiap satu amalan kebajikan itu digandakan pahalanya sebanyak 10 kali ganda”. Jika 1 hari berpuasa bersamaan 10 pahala, puasa sebulan akan bersamaan puasa selama sebulan. Dengan berpuasa sunat 6 hari, akan menggandakan pahala kita menjadi setahun.

Ketiga: Melakukan puasa syawal merupakan tanda diterimanya amalan puasa Ramadhan.

Para ulama berkata: “Pahala kebaikan adalah dengan kebaikan setelahnya. Siapa yang melakukan kebaikan, lalu setelahnya diikuti dengan kebaikan lainnya, maka itu bukti diterimanya kebaikan pertama”. Apabila Allah menerima amal ibadah seseorang, Allah akan memudahkan hambaNya itu untuk melakukan amal soleh yang lainnya.

Keempat: Melaksanakan puasa syawal adalah sebagai bentuk syukur pada Allah.

Tidak ada nikmat yang paling berharga selain mendapat keampunan dari Allah. Justeru, orang yang berpuasa di bulan Ramadhan berhak mendapatkan keampunan (maghfirah) dari Allah atas segala dosa-dosanya yang lalu. Dengan meneruskan amal puasa di bulan Syawal menzahirkan salah satu rasa syukur kita kepada Allah atas segala kebaikan yang telah diberikan.

Kelima: Melaksanakan puasa syawal menandakan bahawa ibadahnya berterusan, tidak bermusim.

كونــوا ربانيين ولا تكونوا رمضانيين

”Jadilah kamu hamba Allah dan janganlah kamu jadi hamba Ramadhan”.

Dengan berakhirnya musim Ramadhan kali ini, berakhirlah kebaikan berganda buat orang-orang yang berbuat baik dan keburukan berganda buat orang-orang yang berbuat buruk. Sungguhpun bulan seribu rahmat itu sudah berlalu, semoga ia tidak menjadi titik noktah amalan baik yang kita lakukan sepanjang Ramadhan. Amalan puasa tidak hanya terhad pada bulan Ramadhan, tetapi juga sunat dilaksanakan pada hari dan juga tarikh-tarikh tertentu.
Selamat menghabiskan puasa 6 hari di bulan Syawal!