Jazakallahu Khairan

Sunday, July 10, 2011

Kembara menuntut ilmu di bumi Syam II



Syiria menyimpan terlalu banyak khazanah dan kesan-kesan bersejarah yang masih utuh untuk tatapan generasi kini, baik sejarah kehidupan sebelum dan awal masihi mahupun sejarah kekhalifahan Islam kerana Damsyik sebagai ibu kota Syiria merupakan pusat kekhalifahan Bani Umayyah pada 661M. Syiria yang dulunya terkenal dengan sebutan Syam juga turut terkenal dengan sirah nabi-nabi terdahulu, sejarah pusat kerajaan Rom, sejarah Rasulullah saw berniaga dari Mekah ke Syam sebelum menjadi rasul, sejarah pengembaraan kaum kerabat Rasulullah saw dari Karbala ke Damsyik Malah Rasulullah SAW pernah datang berdagang ke sini sewaktu kecil dan zaman remaja baginda serta pelbagai cerita lagi

Tanah negara tamadun lama ini dipenuhi banyak jejak tokoh dan ilmuan Islam yang terkemuka. Cukup menginsiprasikan. Sehingga kini, keikhlasan para ulama' dan auliyaa' dalam memikul amanah menyebarluaskan ilmu kepada masyarakat menjadikan bumi ini terus kaya dengan pengajian ilmu dan majlis zikir yang tidak wajar dipersiakan.

Peluang menadah ilmu di bumi barakah ini merupakan anugerah yang tidak ternilai buat insan-insan terpilih. Semestinya ini menjadikan amanah yang dipikul menjadi semakin berat selaku para daie ila Allah SWT sekaligus terhadap ibu bapa, keluarga, masyarakat dan tanah air tercinta.

Saya bersyukur dipertemukan dengan insan-insan mutawakkilun di bumi ini, orang-orang berjiwa tenang yang sentiasa menyandarkan diri mereka kepada qada' dan qadar Allah. Syiria tidaklah semewah mahupun secanggih Malaysia. Buat yang sudah terbiasa diselimuti kesenangan dan kemewahan mungkin agak sukar untuk menyesuaikan diri dengan hidup sungguh-sungguh di atas kaki sendiri. Lagi dengan dugaan dan risiko yang silih berganti. Namun, uniknya di sini, setiap kepayahan disulami dengan ketenangan.

Dalam 2 hari kedatangan saya di Syiria, sewaktu menuju ke rumah sewa akhowat Malaysia di kawasan lain, Allah pertemukan sekilas taaruf dengan seorang wanita Malaysia sekitar 50an di tangga salah sebuah pusat pengajian. Sehinggalah ditakdirkan saya berkunjung ke rumahnya setelah dijemput beberapa kali. Keramahan wanita ini dalam berkongsi pengalaman hidup cukup menyenangkan. Di ambang penghujung usia, azam untuk mendalami ilmu agama sangat kuat. Sungguhpun memiliki pekerjaan yang bergaji lumayan dan kemewahan yang melimpah ruah sewaktu menetap di Malaysia, tapi ketenangan di Syiria tetap menjadi dambaan. Berbekalkan wang pencen, beliau datang mencari ilmu agama dan bahasa arab yang baru hendak dipelajari. Seringkali di setiap perkongsian pasti akan ada kata semangat dan nasihat yang diberikan. Usia bukan penghalang untuk menuntut ilmu. Pengakhiran setiap manusia di luar jangkaan fikiran. Baiknya Allah, membuka ruang kepada setiap hambaNya yang ingin mengubah nasib diri.

"....sesungguhnya, Allah tidak akan mengubah keadaan suatu kaum sebelum mereka mengubah keadaan dan diri mereka sendiri...."
(Ar-Ra'd : 11)

Terlalu ramai mereka yang memiliki pengalaman hidup susah di perantauan. Kesusahan yang dialami tidak sewajarnya dilabel sebagai "pengalaman pahit". Setiap ketentuan Allah adalah yang terbaik buat hamba-hambaNya. Semua kesulitan yang ditempuhi pasti membuahkan kemanisan diakhirnya. Setiap cabaran ini hanya mampu diatasi dengan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Allah. Yakinlah semua perkara yang menyakitkan itu adalah "hadiah" yang terbaik dari Allah dan setiapnya pasti akan berlalu melakar sebuah lagi memori dan pelajaran baru

Individu yang mempunyai latar yang berbeza lebih menjadi tumpuan di atas keunikan liku hidup yang dilalui. Saya baru bekenalan beberapa minggu dengan seorang akhowat yang tua beberapa tahun. Secara kasarnya saya melihat dia seorang yang periang dan bersemangat tinggi. Acapkali namanya disebut-sebut dalam kalangan sahabat-sahabat yang sedang menduduki peperiksaan sebagai contoh dalam menguatkan semangat. Tertanya-tanya apa uniknya. Sehingga di suatu petang, saya meminta ahli rumah menjelaskan sistem pembelajaran kuliah di Syiria. Perkongsian dari akhowat tersebut menjadikan saya bertambah kagum. Penangan Syiria melahirkan lebih ramai anak Malaysia yang berilmu dan berjiwa kental. Asalnya, dia juga tidak mempunyai basic arab. Datang ke Syiria 5 tahun yang lalu sewaktu menuntut di matrikulasi. Terlalu banyak rintangan yang dihadapi untuk sampai ke tahun 1 pengajian. Perancangan untuk graduate pada masa yang ditetapkan teranjak.

Misteri perancangan Allah kepada hambaNya, tidak pernah mendukacitakan. Biarpun pelbagai rintangan yang dilalui, akhowat ini tetap akur dengan perancangan Allah. Di Malaysia mungkin segenggam ijazah sudah dimiliki dalam usia sedemikian, sebaliknya di Syiria anjakan demi anjakan tersebut cukup berharga untuk lebih fakih dalam agamaNya dan ilmu yang lebih mendalam untuk dimanfaatkan.

Pesannya kepada seorang adik Sabah, hargailah sepenuhnya masa yang Allah kurniakan untuk menuntut di bumi kaya ilmu ini dan jadilah lebih tabah dengan setiap dugaan. Terlalu banyak ilmu yang perlu dibawa pulang dikala tibanya waktu untuk berbakti semula kepada masyarakat. Cepat atau lambat, masing-masing tetap akan pulang ke tanah air. Diakhirnya setiap makhluk juga pasti akan kembali kepada Pencipta. Masih banyak kelemahan diri yang perlu diperbaiki di samping mengenal sang Pencipta dengan lebih dekat. Bersyukurlah dengan peluang yang tidak semua orang mampu perolehi.

Sejak berada di bumi berkat ini, alhamdulillah ziarah paling bermakna adalah ketika berpeluang ke makam Salahudin Al-Ayubi. Seorang tokoh yang terkenal dalam kalangan Nasrani dan Muslim dengan kebolehannya sebagai ketua dan ketangkasannya dalam peperangan. Juga dengan sifat kesateriaan dan belas kasihannya semasa Perang Salib. Sangat teruja. Saya mahu memiliki semangat juang yang sama seperti tokoh agung ini.

foto ihsan google

Antara maqam lain yang terdapat di Syiria:
  • Maqam Nabi Yahya Bin Zakaria as
  • Maqam Saidina Habil Bin Nabi Adam as
  • Maqam Bilal Bin Rabah
  • Maqam Ammar Bin Yasir
  • Maqam Abi Bin Kaab al-Ansori
  • Maqam Hujur Bin ‘Adi
  • Maqam Ummu Salamah (Isteri kepada Rasulullah saw)
  • Maqam Ummu Habibah (Isteri kepada Rasulullah saw)
  • Maqam Sayyidah Zainab Binti Saidina Ali kw
  • Maqam Sayyidah Sukainah Binti Saidina Husien
  • Maqam Sayyidah Ummu Kalsum Binti Saidina Ali kw
  • Maqam Sayyidah Fatimah al-Sughra Binti Saidina Husien
  • Maqam Sayyidah Sukainah Binti Saidina Ali kw
  • Maqam Sayyidah Ruqaiyah Binti Saidina Husien
  • Maqam Saidina Abdullah Bin Ja’far al-Sadiq
  • Maqam Sayyidah Asma’ Binti Umais
  • Maqam Sayyidah Maimunah Binti Saidina Hasan
  • Maqam Sayyidah Hamidah Binti Muslim Bin Aqil
  • Maqam Abdullah Bin Ali Zainal Abidin Bin Saidina Husien
  • Maqam Sayyidah Fiddah (Pembantu kepada Sayyidah Fatimah az-Zahraah)
Al-Fatihah~

Maaf di atas kelemahan mengemaskini blog ini. Sedang berusaha untuk mengatur jadual dengan baik agar tidak terlalu banyak masa yang perlu dikorbankan meng'update' posts seterusnya.

Wednesday, June 1, 2011

Kembara menuntut ilmu di bumi Syam I

Bagaimana saya mahu memulakan mukadimah ini? Dengan menulis monolog senyum? Tetapi bukannya saya senyum sentiasa, kadang-kadang intonasinya boleh menjadi sedih juga. Adakah dengan menerangkan pangkal permulaan cerita atau bagaimana? Agak lama jemari tidak menari di atas papan keyboard.

Mungkin dengan merafa'kan setinggi kesyukuran kepada sang Pencipta. Segala puji hanya bagi Allah Tuhan semesta Alam, Allah SWT yang menjelaskan segala keteraturan dan ketelitian melalui apa yang diciptakan sebagaimana dalam firman-Nya:

Sesungguhnya Kami menciptakan segala sesuatu menurut ukuran (Al-Qamar; 54:49)

Allah mengilhamkan pebagai pilihan kepada manusia selagi mereka hidup di muka bumi. Pelbagai pilihan yang perlu dihadapi sebagai penentu untuk terus melangkah ke hadapan atau kekal di posisi yang sama. Setiap manusia pasti merancang dan sebaik-baik perancang adalah Allah SWT. Maka, setiap pilihan perlu dikembalikan semula kepada Allah yang Maha Mengetahui agar tidak tersalah membuat pilihan.

Kini sudah seminggu bertapak di bumi Syam. Pada asalnya niat dihati hanya mahu terus berada di bumi Sabah. Keliru memilih antara mahu meneruskan pengajian di semenanjung kemudiannya mengejar cita-cita mahupun terus kekal menuntut di Sabah sambil bermasyarakat bersama ribuan mad'u. Tanpa disangka, satu lagi tawaran ajakan menuntut di bumi anbia datang. Keliru memilih di antara pilihan-pilihan yang ada. Alhamdulillah dalam seminggu, Allah memberikan jawapan. Bumi Syam menjadi pilihan.

Teringat ketika proses membawa kedua ibu bapa berunding. Sebelum istikharah, saya rujuk dulu kepada kedua ibu ayah untuk sama-sama memikirkan pilihan masa depan yang terbaik. Biarlah dalam apa yang dilakukan mendapat redha dari kedua ibubapa. Penting bagi memudahkan setiap urusan. Memandangkan mereka lah yang akan menampung kos hidup dan pengajian di sana kelak. Tambahanpula, pasti bukan pertimbangan yang mudah untuk dibuat melepaskan seorang anak menuntut di tempat yang jauh. Apatah lagi seorang anak gadis. Sunguh saya tidak menyangka ibu dan ayah memberikan kepercayaan untuk mengutip sebanyak mungkin mutiara di bumi anbiya. Dengan bantuan dari beberapa sahabat, urusan pasport dan beberapa keperluan utama saya uruskan sendiri. Tidak mahu menambah beban kepada ibu ayah. Mujurlah sudah berlesen kereta. Lebih memudahkan pergerakan. Syukran Jazilan buat sahabat-sahabat PASTI yang banyak membantu. Sehari sebelum bertolak ke KL barulah ditemani ibu ayah melengkapkan beberapa barangan lagi.

Sewaktu diajak menuntut di bumi Syam, "tidak bersedia" jawapan pertama yang saya lontarkan. Sungguh, sukar rasanya mahu berpisah dengan bumi subur dakwah, Sabah. Alangkah ruginya bila peluang sudah ada tapi diri pula yang belum bersedia. Entah masa bila baru bersedia. Komitmen semakin banyak, usia juga semakin hari semakin bertambah. Peluang yang baik tidak selalu datang, inilah peluang untuk mendalami ilmu agama di samping memperbaiki diri. Apatah lagi dalam suasana yang sangat membantu.

23 Mei 2011- Sekitar pukul 11 pagi saya dan keluarga sudah berada di airport menunggu penerbangan ke KLIA. Perasaan masih tenang dan lapang. Sempat berpesan-pesan dan dipesan-pesan melalui telefon bimbit. Mujur tiada yang menghantar melainkan ahli keluarga. Ramai yang menyangka tarikh penerbangan saya pada 24 Mei, tarikh dari KL-Damascus. Jika tidak pasti tidak terlangkah ke arah pintu masuk. Saya tekad, itulah air mata terakhir yang tumpah setelah memilih jalan ini. Satu-satu wajah terbayang, tidak pasti bila lagi akan bertemu. haa Sabah id Ginawo~

Lama tidak menaiki kapal terbang. Seingat saya paling terakhir semasa tingkatan 1. Mabuk udara menjadikan saya bertambah risau untuk terbang lagi. Tidak tertahan demam 3 hari setiap kali mendarat. Alhamdulillah untuk perjalanan yang panjang di udara kali ini Allah permudahkan. Tidak ada sebarang masalah air sick seperti dahulu kala. Mungkin juga disebabkan mood yang 'terbang'.


“Maka lihatlah berulang-ulang, adakah kamu lihat sesuatu yang tidak seimbang. Kemudian pandanglah sekali lagi nescaya penglihatanmu akan kembali kepadamu dengan tidak menemukan sesuatu cacat dan penglihatanmu itupun dalam keadaan payah”. (Al-Mulk: 3-4)


Indahnya ciptaan Allah. Dari pandangan atas, rumah seperti kotak-kotak mancis. Kecil, terlalu kecil. Tidak sedikitpun dapat mengagak mana satu pergerakan manusia. Lautan terbentang luas, berganda-ganda lebarnya dari tanah lapang. Terasa diri terlalu kecil, bersaing untuk hidup di bumi Tuhan, turut bersaing untuk mendapatkan perhatian dari Allah. Adakah diri ini dipandang Allah? Banyak lagi ilmu Allah yang perlu dipelajari. Terlalu banyak sehinggakan 7 air lautan tidak cukup untuk menulis semua ilmu Allah. Sedikir demi sedikit saya turut termotivasi. Betapa pentingnya ilmu. Bagaimana seorang pilot mahu menerbangkan sebuah kapal terbang tanpa mempunyai ilmu? Bagaimana pula cik pramugari itu mahu menunjukkan demo keselamatan di depan penumpang tanpa mempelajarinya terlebih dahulu? Teringat kata orang-orang bijak;

"Jika kamu ada harta, kamu akan pening kepala untuk menjaganya. Tetapi kalau kamu ada ilmu, kamu tak usah gusar, kerana ilmu itu akan menjaga kamu dan hartamu."

yang banyak berjasa merawat luka

Sesampai di KLIA, usai proses checking di hotel, bertemu pula dengan abang-abang kandung yang menuntut di pusat pengajian semenanjung. Kemudiannya bertolak ke airport semula dalam jam 9 malam. Sedia menanti penerbangan yang berlepas pada jam 3 pagi. Pertama kalinya, berkenalan dengan Aisyah al-Humayrah di KLIA sebelum sama-sama bermusafir. Masing-masing tidak arif soal pengurusan menaiki kapal terbang ke luar negara. Sesekali terasa seperti sedang menduduki exam MUET bila perlu bertutur dalam bahasa orang putih setiap kali mahu berkomunikasi. Perlu banyak bertanya. Alhamdulillah penerbangan ke Kuwait 8 jam ditambah transit 8 jam sebelum ke Damascus dipermudahkan. Banyak pengalaman yang ingin dikongsi, cuma agak dicemburui masa untuk berkongsi. Bertemu dengan pelbagai jenis manusia, bermacam-macam ragam, bahasa dan pegangan. Pengalaman menjadi orang asing di tempat asing :)

Hijrah ini mengajar diri untuk tidak terus bergantung dengan orang lain dan menyerahkan segenap urusan kepada Allah. Tidak ada yang mustahil selagi ada kemahuan dan keyakinan. Susah untuk maju jika terus mencipta alasan. Detik ini bermulalah sebuah episod baru dirantau orang dalam mencari redha Allah. Banyak perkara lagi ingin di kongsi.

Pohon-pohon segar itu telah bangun,
Bangun mencari keredhaan tuhannya,
Alangkah ajaibnya,
Setiap kali mereka dicantas, ianya tumbuh kembali,
Malah semakin banyak dan bercambah,
Begitulah urusan umat,
Akan ada yang membelanya sehingga ke hari kiamat.

Bersambung.....


I would like to wish my wonderful mother a very happy birthday! Her birthday was officially on May 29th, but since I haven't had internet access in my new bayt huhu, my birthday wishes are a little late.

In any case, happy birthday, Mom! I hope your special day was absolutely wonderful. I love you & miss you so much! ;)

Friday, May 20, 2011

Terima Kasih PASTI.

Berpagi-pagi di hari Jumaat.

Warna perak di ufuk timur telah mula dicemburui sinar emas sang suria. Kiranya sebentar lagi sang suria bakal tersenyum menerangi satu lagi hari baru. Di kala subuh bersiap-siap untuk pergi, mata banyak yang masih terpejam mematuhi arahan tuannya yang asyik diulit mimpi.

Pesan orang tua-tua bangun lambat rezeki tak masuk. Siapa yang tidur waktu pagi lepas solat subuh, nanti rezekinya dipatuk ayam. Entahlah mengapa ayam.

Doa Waktu Pagi dan Petang

Usai menghabiskan bacaan al-mathurat otak ligat berfikir apa perlu dibuat. Terfikir juga untuk mencipta mimpi, serba salah menerpa. Masa masih berbaki 3 jam sebelum pukul 9 pagi. Minggu ini jadual agak penuh, tapi sudah berjanji untuk menghantar seorang senior kehormat dan keluarganya ke UITM. Awal-awal sudah dipesan,

"Kosongkan semua jadual awal pagi jumaat!!"

Akur. Mencuri masa lapang yang ada, sempat mencuci kereta. Melihat masih ada masa berbaki, terfikir mahu melawat PASTI As-Solihin melepas rindu pada bekas senior sekerja dan murid-murid kesayangan. Hampir seminggu tidak ke sana.
Menginjakkan kaki semula ke sana membuatkan hati berbunga bahagia. Rakan-rakan yang ceria, murid-murid yang tidak putus-putus melambai dan silih ganti datang menyapa. Waah~

Walaupun hanya beberapa bulan sempat berkhidmat sebagai guru pembantu, suasananya terlalu banyak memberi pengajaran dan pelajaran baru. Dalam mengajar, saya turut diajar dan belajar.

Belajar.
Bila menghadiri majlis ilmu ataupun singgah di mana-mana, jika niat di hati untuk mendapatkan ilmu, nescaya lebih dari 1 yang anda akan perolehi. Sungguhpun hanya menumpang bekerja beberapa bulan terasa terlalu banyak perkara yang diperolehi.

Berhadapan dengan pelbagai ragam manusia memerlukan kesabaran. Baru bertemu dengan ragam ibu dan ayah, belum masuk anak-anak lagi. Ada ibu bapa yang memahami kenakalan anak mereka dan tidak kurang ada juga yang memenangkan anak-anak. Kadangkala guru yang menjadi mangsa, sabar senyum rasional :)

Siapa yang mampu bertahan melayan telatah berbeza puluhan budak? Lain mood pelajar, lain lagi mood guru yang mengajar. Hari-hari tidak selalu baik dan ceria. Bila begitu, perlu berhadapan pula dengan pelajar yang lambat menangkap huruf, lain lagi yang berebut kerusi dan mana lagi yang menjerit-jerit. Usaha bersikap adil, anak kecil memang begitu. Mungkin dari situ ada sesuatu yang mereka belajar. Masa-masa kritikal sebegini saya cuba memininumkan percakapan risau emosi mendahului. Tapi selalunya mood gelap itu laju berubah bila melayan karenah setiap dari mereka. Pernah sekali saya cuba mengalihkan perhatian dengan mengajak mereka menyebut nama-nama haiwan dan bunyinya sekali. Sekali dilontarkan soalan

"Nyamuk dengan ibu nyamuk lain? Macam mana bunyi ibu nyamuk?"

Teringat pula masa kecil-kecil dulu, mungkin begitu la perasaan nenek bila saya bertanya

"Macam mana bunyi zirafah?"

Pentingnya guru tadika punya ilmu yang lebih. Rugi jika banyak ilmu yang disampaikan berunsur dongeng semata. Di usia muda sebegini kanak-kanak mudah mengingat banyak fakta. Hati juga masih bersih mudah menerima ilmu. Banyak pelajaran baru yang mereka akan ingat hingga ke tua. Jangan ditipu-tipu dengan kisah karut lagi hantu. Risau nanti melahirkan kanak-kanak yang penakut dan berfikiran tertutup. Maka tidak ada alasan guru tadika tidak menonton channel berbentuk dokumentari dan ilmiah. Kita andaikan anak kecil ini masih tidak faham, rupanya di rumah itulah yang diulang sebut selalu.

Penangan Basikal Tua
Ada kisah disebalik basikal tua. Cukup membuatkan saya terkenang jasa setiap ibu dan ayah. Dulu-dulu rutin setiap pagi buat saya yang datang awal ke PASTI, menyambut murid-murid di pintu pagar selain memastikan keselamatan semua terjamin. Kereta-kereta mewah dan sederhana silih berganti singgah dan pergi. Hadiahkan senyuman yang paling ceria pengganti gula-gula buat anak-anak kecil.

Datang seorang ayah mengayuh perlahan basikal tua yang menyamai usianya. Di belakangnya duduk seorang 'Puteri' tersenyum menampakkan gigi yang tersusun putih. Kuat semangat si ayah. Dulu saya perhatikan cuma berjalan kaki. Mungkin ada sedikit wang membeli basikal tua untuk menjimatkan masa juga buat kesenangan si anak kecil. Pernah juga sempat bertegur ringkas bertanya mesra. Terharu dengan kesungguhan ayah tua ini dengan kudrat yang ada setiap hari berulang alik menghantar dan mengambil anaknya dari PASTI ke kilang tempat dia bekerja. Anggaran sejauh 6KM. Setiap hari mengorbankan masa rehat untuk mengambil anak pulang sekolah dan acapkali terlewat sejam. Si gadis bermata bulat itu seolah-olah faham kepayahan si ayah, sekalipun tidak pernah merungut malah diberikan senyuman paling indah bila diajak pulang.

Hebatnya pengorbanan ibubapa untuk menjadikan anak-anak bijak di usia muda dan harapannya juga tinggi agar terus bijak hingga ke usia selanjutnya. Saya fikir, agaknya kesusahan hidup dan kasih yang padu dari ibubapa boleh mempercepatkan proses percambahan minda anak-anak berlaku. Mungkin juga hypothesis ini silap. Sekadar pandangan sepintas lalu. Apapun, saya respect dengan nilai murni yang ada dalam keluarga itu!

sebahagian murid 4 tahun

Anak-anak dan bimbingan agama
Sehebat mana pun anak, tanpa agama tetap tidak membantu ibu bapa di akhirat kelak. Ada ibu bapa yang prihatin mahukan anak-anak mereka kenal ilmu dan kenal siapa Tuan ilmu. Biarlah dari kecil sudah terbiasa dengan cara hidup 'sejahtera'. Taat kepada Allah, sekaligus mencintai rasulullah dan patuh pada kedua ibubapa. Saya senang melihat anak-anak ini dari kecil sudah tahu menghormati orang tua apatah lagi yang tahu membaca doa untuk kedua ibubapa. Lebih sejuk bila melihat mereka menunjukkan rasa kasih yang tinggi pada ibu bapa samada di dalam mahupun di luar sekolah.

Ada sesetengah pelajar lebih mengangkat kata guru dari ibu bapa. Tidak dinafikan ada ibubapa yang memanjakan anak-anak sehingga dalam usia kecil sudah berani melawan kata. Besar peranan guru di situ untuk memastikan pelajar ini tetap mendengar kata bila di rumah. Ada sekali, seorang ibu menangis mengadukan sikap anaknya yang terlalu 'keras' bila ditegur. Di sekolah, mudah saja pelajar ini mendengar nasihat guru. Esoknya si ibu menelefon kembali mengatakan sikap anaknya yang sudah berubah. Penting penerapan untuk mengaitkan setiap ilmu yang dipelajari dengan nilai-nilai agama, biar melekat pegangan itu hingga mereka dewasa. Agama yang sentiasa mengingatkan siapa pencipta dan apa matlamat hidup di dunia. Khabarkanlah pada anak-anak kecil ini dengan lebih berhemah dan mengikut cara yang kena.

Kaedah
Selalu saya memikirkan inisiatif terbaik bagaimana kaedah untuk membentuk murid-murid ini agar mereka mempunyai kesedaran yang lahir dari diri sendiri untuk bersikap baik tanpa perlu dimarah dan diarah. Susahnya bila berlembut, terasa nasihat yang diberi seolah-olah untuk angin. Mungkin juga diusia muda begitu bukan cara yang sesuai untuk dipraktikkan. Mungkin perlu lebih kepada tegas bukannya marah. Risau meningkat dewasa, hanya 'marah' yang diingat, tidak pada nasihat. Pendekatannya tidak sama seperti remaja. Ini sudah silap. Jadi jangan marah-marah, masih ada banyak cara boleh diguna.

Sebelum resign, sempat juga melawat seorang pelajar yang dimasukkn ke dalam wad rentetan terkena jangkitan paru-paru. Alhamdulillah tadi saya nampak pelajar ini sudah datang ke sekolah. Mungkin lebih bersemangat setelah dilawat guru-guru tempoh hari.
Nawfal Lutfi.
Pelajar paling manja.
Hanya makan bila disuap.

Sungguh inilah pengalaman berkerja pertama yang akan sentiasa saya ingati. Senior sekerja terlalu banyak mengajar erti kehidupan. Cukup selamba. Cukup ceria, bekerja dengan lapang jiwa, paling saya gemari dalam setiap perkara tidak pernah mengabaikan Allah sebagai pencipta. Sungguh dalam setiap tutur walaupun bercanda tapi ada sahihnya. Dalam bicara ada mutiara. Benar-benar banyak mengajar saya beberapa bab kehidupan. Guru-guru ini sudah ada yang berumahtangga dan bercahaya mata. Suka berkongsi pengalaman dan ilmu-ilmu yang ada. Teladan seorang ibu, isteri, tanggungjawab sebagai anak, adik-beradik, keprihatinan kepada masyarakat dan jiran semua. Cukup mesra dan penuh dengan perkongsian membina.

Rasanya belum terlambat mengucapkan selamat hari guru buat bekas senior-senior setugas! Teruskan perjuangan dalam mengasuh anak didik menjadi muslim sejati ;)

Terharu untuk hadiah Hari Guru pertama kali walaupun salah satunya sekadar sebatang pen~

*** Bila ada pengalaman menjadi guru, barulah dapat memahami perasaan guru-guru. Tapi mengajar budak-budak kecil tidak sehebat pengorbanan jiwa guru-guru yang mendidik anak-anak remaja. Hebatnya guru!

.Dari skop pandangan dan pemerhatian mata saya yang kecil.

Sunday, May 15, 2011

Majlis Alumni bersama ummi PERPIS.

ucapan buat anak-anak sabah

Kejutan berkumpul di pusat membeli-belah 1 Borneo seperti berhasil khas buat seorang ummi yang banyak berjasa dalam menakhodai bahtera Persatuan Pelajar Islam di SMK Tebobon amanah daripada Ust Abdullah Din. Sambutan bersempena hari guru seterusnya sedikit majlis kecil-kecilan sebagai penghargaan kepada Ustazah Haflah yang akan berpindah mengikuti suami ke Sungai Buloh, Selangor. Begitulah pengorbanan seorang isteri, setia dan patuh pada suami meskipun perlu memilih hidup berpindah-randah. Sebagai tentera, kemungkinan amat tinggi untuk dipindahkan kawasan bertugas setiap 5 tahun. Namun sedikit berbeza dengan suami ustazah yang diletakkan dalam unit tugas-tugas khas sebagai tentera yang bergelar ustaz. Hinggakan ini adalah sekolah ke-5 yang dijejaki ustazah rentetan mengikuti suami yang dipindahkan tempat tertugas setiap 3 tahun.

Dalam ucapan itu, diselitkan harapan bagi peneraju PERPIS masa hadapan agar dapat memupuk kerjasama yang lebih erat sesama ahli dan istiqomah dalam gerakan. Ucapan tahniah juga buat alumni PERPIS di atas kejayaan mendapatkan tempat di pusat pengajian yang seterusnya. Juga permohonan maaf di sepanjang mengepalai persatuan berkenaan.

melentur buluh biar dari rebungnya

Bukan mudah bagi seorang muslimah menjadi ketua dalam menggerakkan sebuah organisasi yang diamanahkan beratus-ratus orang pelajar Islam untuk dibimbing. Dalam keterbatasan, mujurlah ustazah memiliki suami yang memahami tuntutan dakwah. Tidak keberatan membenarkan isteri untuk bermalam dan berprogram bersama-sama pelajar.

Sambil-sambil membuat kejutan, majlis turut sama meraihkan para alumni yang bakal melangkah ke episod hidup seterusnya. Tahniah! buat sahabat-sahabat dan adik-adik yang berjaya menempah nama di gedung ilmu yang lebih tinggi. Semoga matlamat menempah nama di syurga Allah tetap di tangga nombor satu.

Muhammad Aiman Osman - Asasi sains UMS (16 Jun 2011)
Nursuhaila Lani - Perbankan Islam KUIN (4 Jun 2011)
Husaini Hashim - Asasi sains fizikal UNIMAS (4 Jun 2011)
Irawan Ridduan & Tasnim - Kolej Matrikulasi Labuan (21 Mei 2011)
Hannafi Muktah - Kembali meneruskan jihad akademik di KML (19 Mei 2011)

serta beberapa individu lain lagi. Buat yang memilih STPM sebagai langkah seterusnya, insya-Allah besar pahalanya dalam memantau adik-adik bekerja dan membantu perjuangan.


Perancangan Allah adalah yang terbaik. Pemergian 'orang-orang kuat' pasti akan diganti dengan jiwa muda yang lebih bersemangat dan lebih ramai yang akan bangkit membimbing rakan-rakan sebaya.

Dari sinilah saya mula belajar gerakan dalam berorganisasi dan berjinak-jinak dengan dunia dakwah. Semoga PERPIS terus kukuh dan lebih ke hadapan di bawah nakhoda dan pimpinan baru. Bangkitlah syabab! Iringi langkah insan seusiamu kembali ke landasan hidup mulia...

Tuesday, May 10, 2011

USUKAN pun boleh bah!!


USUKAN PUN BOLEH BAH!!

Pada 6-8 Mei 2011, Persatuan Siswazah Sabah(PSS) telah dijemput untuk menguruskan Program Motivasi khas buat pelajar-pelajar tingkatan 6 yang berlokasi di SMK Usukan Kota Belud. Seramai 11 orang yang terdiri daripada ahli PSS dan dibantu oleh ahli Kelab Remaja Ukhuwwah(KRU) telah menyumbang tenaga menjayakan program bagi mencapai objektif dan memenuhi harapan guru-guru. sekitar 40 orang peserta telah menginap di asrama SMK Usukan bagi mengikuti program 3 hari 2 malam ini secara penuh. Program telah berlangsung di sekitar sekolah, berdekatan pantai dan Dewan Asrama Al-Firdaus yang menjadi kawasan utama pengumpulan peserta.

Pelbagai modul dan aktiviti diadakan bagi meningkatkan motivasi peserta serta berfikir secara kritis dan melahirkan generasi yang membudayakan ilmu. Aktiviti merangkumi kuliah dasar, latihan dalam kumpulan, pembentangan, diskusi dan sumbangsaran sebagai medium pembuka minda serta mengizinkan pertukaran idea berlaku. Turut dikedepankan beberapa slot perkongsian hidup bagi menyelami latar belakang sahabat dan diri sendiri. Ini bertujuan memupuk kesedaran dalam diri peserta untuk berinisiatif mengubah masa hadapan kepada kehidupan yang lebih cerah.





Dalam menyuntik motivasi, tidak lari dari mendidik jiwa-jiwa muda Usukan untuk kembali teguh mengamalkan cara hidup berpandukan al-quran dan as-sunnah. Pengisian rohani turut tidak tertinggal sebagai penerang kepada hati-hati generasi ini. Sepanjang program berlangsung qiamullail, solat berjemaah dan kuliah-kuliah ringkas turut menjadi agen pembentuk peribadi.




Gemuruh jiwa semangat membara
Dari puncak ingin ke angkasa
Berkalungkan bintang berkelipan
Menyerlah jauh dari yang biasa

Setiap bait lirik dihayati. Lagu tema yang menjadi pemangkin motivasi kepada para peserta untuk mencapai kejayaan. Masing-masing melontarkan harapan untuk mengenggam segulung ijazah kelak selepas membuktikan kecemerlangan dalam STPM pada tahun 2011. Semoga para pelajar ini akan berjaya mendapatkan keputusan cemerlang dalam setiap perkara yang diceburi dan turut menyerlah di arena membangunkan masyarakat.

Checkpoint 'Tangki'

Checkpoint 'Darurat'

Checkpoint 'Tiru-Teka'

Checkpoint 'si Buta'

Checkpoint akhir - keindahan alam

semangat melangkah dengan kaki bertaut

Ponsikow Togumu!

Terima kasih di atas pihak sekolah yang memberi kepercayaan penuh kepada PSS untuk menguruskan perincian perjalanan program sepenuhnya. Juga buat para peserta di atas komitmen yang tidak berbelah bahagi dan kejutan hadiah buat para fasilitator. Selamat menginjakkan kaki ke menara gading!

Lebih banyak gambar menyusul kemudian.
Kebanyakkan gambar, creadit to: TOIB Photography - Azizul Julirin

Thursday, May 5, 2011

Who am I to blow against the wind?


What I have learned
from the sudden death
of a young child

Death teaches us how to live~

1. We are all more fragile than I ever imagined.

2. True friends just simply do what you need and when you are that true friend, you attract the same in return.

3. The most alive moments are those times when you can't believe what you are living.

4. Making peace with now means you become ok with whatever comes next.

5. Saying, "Alhamdulillah" works for everything.

6. Loving everyone for the best that they can do is the best that you can do.

7. We don't have enough strength alone. We need Allah more than any person.

8. Our faith must be in place during the good times in order to support us during the hard times.

9. That stupid thing, which we know is stupid, really is very, very stupid and we need to stop doing it, saying it, and thinking it.


10. Turning points are there for us to make the decisions which help us to grow bigger, better, and brighter

11. Very few things actually matter in the exact moment you are living. Think simply. Live simply.

12. Do the thing which truly makes sense to you and it will all unfold better than if you tried to be a, "good," person and do what was expected from others.

13. Your problems could be worse. How? I don't know, but I bet if we both thought about it, someone could figure out how. Thank Allah for what you were spared.

14. Alcohol, drugs, food and mindless relationships just don't beat prayer.
There's a lot of "re" in my life: reverting, re-assessing, re-establishing, and finally returning and possibly re-emerging.

May Allah's plan for our lives bring us the challenges we need to get into Jannah.