Jazakallahu Khairan

Sunday, February 7, 2010

Pusat Operasi Persatuan Siswazah Sabah (PSS)

Sumber: Nurilhakim

Saya pernah berhasrat menghidupkan dakwah di bumi Sabah dengan mewujudkan puluhan pusat operasi persatuan di serata pelosok negeri dan menjadikannya pusat pembelajaran Al-Quran, Fardhu Ain, membaca dan mengira selain tempat lepak remaja sambil dihiburkan dengan bahan-bahan ilmiah dan bermanfaat. Ideanya mudah, tetapi untuk melaksanakannya agak susah. Yang paling susah ialah untuk mencari penghuni tetap pusat operasi yang mampu mengorbankan kalau pun tidak sepenuhnya masa untuk dakwah, separuh pun jadilah. Saya memasang cita-cita membuka operasi antara lainnya di Kg. Kobuni dan Kg. Kionsom Kecil, Inanam, di Bundu Tuhan, di Kg. Tinuhan, Tuaran selain di Kg. Likas. Semuanya berpijak di bumi nyata. Kerana di semua tempat telah saya kenalpasti tapak yang boleh digunakan dan 'kaki-kaki' yang dapat membantu. Yang membantutkan ialah masalah yang satu itu-tiada tenaga penggerak tetap.

Walaubagaimanapun, sekelumit hasrat saya tercapai bilamana PSS berjaya membuka satu pusat operasi di Kg. Likas sejak awal bulan Februari ini. Setakat ini ia belum dapat dioperasikan sepenuhnya memandangkan ia agak lengang selain bilik yang digunakan untuk menginap. Justeru kami memohon jasa baik pembaca mengisi kekosongan tersebut dengan memberikan sumbangan kelengkapan dan perabot terpakai, atau sekurangnya menjualkannya kepada kami dengan harga berpatutan. Kelengkapan yang diperlukan adalah seperti berikut:

Rak buku untuk Bilik Sumber (Perpustakaan Mini)
Filing cabinet untuk pejabat
Meja pejabat
Meja komputer Komputer meja (PC) untuk kegunaan pejabat
Kerusi terpakai, dan meja foldable
Kipas angin (kipas meja/kipas lantai) Peralatan memasak
Mesin basuh (kegunaan penginap dan pelajar tuisyen)
TV 24" untuk tayangan pendidikan dan sebagai alat bantu mengajar
Lain-lain yang difikirkan sesuai

Kelengkapan akan digunakan untuk memenuhi fungsi pejabat seperti berikut:

1. Pusat operasi dan pengurusan pejabat PSS
2. Bilik mesyuarat PSS dan KRU
3. Kelas tuisyen dengan konsep pusat tuisyen sebagai rumah kedua
4. Tempat rekreasi dan belajar anak-anak tempatan Kg. Likas
5. Kuliah dhuha berkala di dataran pusat operasi
6. Kelas Al-Quran dan Asas Bahasa Arab
7. Restoran gulai kawah setiap hari Jumaat selepas solat Jumaat

Ya ALLAH jadikan pejabat kami tempat berehat para musafir di jalanMu serta tempat berlindung orang susah.

Untuk menyumbang/maklumat lanjut hubungi Nadir-0198110964.

Saturday, February 6, 2010

Gotong-Royong Perdana dan Promosi!

Hari ini bersamaan 06 Feb 2010 telah diadakan Gotong-Royong Perdana di SMK TBBN. Untuk julung kalinya gotong-royong pada kali ini cukup meriah dan memberangsangkan. Pengetua baru kali ini cukup serius dalam melakukan perubahan. Go Mr. Loh! hehe.

Seperti biasa, Pra-U atas ditugaskan menyambut kedatangan para tetamu dan ibubapa. Cukup memenatkan tapi agak berbaloi. Suka melihat semangat perpaduan yang ditonjolkan terutamanya dari kampung-kampung yang terdekat. Bak kata YB Jainab "Inilah semangat 1 Malaysia! Penduduk kampung dan para ibubapa harus memberikan sokongan kepada pengetua di sekolah ini walaupun berbangsa cina." Dalam turun padang sempat juga YB dan rekrutnya mempromosi, undilah BN Sepanggar. Cukup bersemangat.

Pelancaran Gotong-Royong Perdana pagi tadi turut disertakan bersama pelancaran Tabung Dana Kasih. Harapnya pelajar tertentu akan mendapat manfaat dari sumbangan berkenaan.
Sumbangan mereka kepada sekolah, pemotong rumput.

Terima kasih. Gotong-royong yang dijalankan pada kali ini lebih sistematik. Pembahagian kumpulan mengikut A, B, C hingga Q bermula dari meja pendaftaran.
Dinding yang mula menjalani proses rawatan Pintu-pintu dibaiki dan diperbaharui
Tangga-tangga mula mendapat perhatian

Serta bermacam-macam lagi tugas di setiap kawasan. Alhamdulillah~ gotong-royong berakhir pada jam12 tengahari. Setinggi penghargaan buat wakil Politeknik KK dan Pasukan bomba&penyelamat yang sudi turun padang menyumbangkan tenaga.Golongan berfikir, ada yang perlu anda renung ;)

Friday, February 5, 2010

Aku Sudah Marah!

Arghhh..

Marah?!

Panas baran?

Kebelakangan ini penulis merasakan sifat mazmumah yang hampir terkubur suatu ketika dulu mulai wujud kembali. Marah?! Salah satu daripada sifat tercela (mazmumah) yang dibenci Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. Justeru, perasaan marah yang gagal dikawal sebenarnya boleh menimbulkan pelbagai penyakit hati seperti dendam, dengki, sombong dan angkuh. Sesiapa saja yang tidak mengikis sifat ini pasti akan hidup dalam suasana yang suram dan penuh dengan tekanan. Semua perkara yang tidak bersesuaian dengan jiwa, mulalah tinggi suara, angkat tangan ataupun terserlah dari pelbagai bentuk yang tidak sepatutnya. Benarkan?

"Aku Sudah Meletup!"

Pelbagai langkah boleh saya, anda dan mereka ambil untuk menangani rasa marah.

1.
Berwudhuk, beristigfar.
2. Berfikir secara waras alasan yang kukuh untuk marah.
3. Tinggalkan tempat yang mengundang kemarahan.
4. Pandanglah alam sekeliling. Wujudkan rasa kehambaan.
5. Luahkan pada pendengar setia yang boleh dipercayai.

6. Tidur sebentar. Beri ruang kepada diri untuk tenang seketika.
7. Berdiam diri seketika. Elakkan diri dari berbual untuk sementara waktu. Dikhuatiri perbua
lan dengan individu lain akan menambahkan lagi kemarahan. Mungkin gurauan, akan didengari seperti sindiran.

Hakikatnya marah itu datangnya dari syaitan yang cuba memecahbelahkan umat manusia. Mungkin pada masa terdekat marah itu akan membantu anda. Untuk jangka masa yang panjang? Hubungan persaudaraan mulai terjejas.
Sukarnya menahan marah.

Rasulullah s.a.w bersabda bermaksud:
"Apabila seseorang daripada kamu marah, maka hendaklah ia mengambil wuduk. Maka sesungguhnya marah itu daripada secebis api." (Riwayat Abu Daud).
Mereka yang dapat menahan dirinya daripada dikuasai sifat marah akan mendapat ganjaran setimpal dengan usahanya.

Rasulullah bersabda bermaksud:
"Janganlah kamu marah dan bagi kamu balasan syurga." (Riwayat al-Bukhari).


Tapi, boleh jadi marah itu juga betul sekiranya disalu
rkan ke arah yang tepat.

Marah turut berlaku kepada individu yang mempunyai kedudukan seperti orang agama berstatus ustaz, ustazah, tuan guru, ulama, marah dan melenting.


Marah yang dipuji adalah marah yang pertengahan, iaitu marah bertempat. Contohnya, seorang bapa marah kepada anaknya yang tidak mahu bersolat atau menutup aurat.

Nabi SAW mengajar dalam sabdanya yang bermaksud: “Suruhlah
anak kamu bersolat ketika berumur tujuh tahun dan pukullah mereka yang tidak mahu bersolat ketika berumur 10 tahun dan pisahkan mereka dari tempat tidur.”

Marah kepada mereka yang memusuhi Islam sehingga kita boleh mengisytiharkan berperang. Begitu juga dalam mencegah kemungkaran, perlu ada marah.


Contoh paling hebat berlaku dalam sejarah ialah ketika Saidina Ali berada dalam satu peperangan di mana beliau hampir hendak memenggal leher musuhnya, tiba-tiba musuhnya itu meludah mukanya. Lalu Saidina Ali tidak jadi memenggal lehernya.
Maka musuhnya berasa pelik lalu bertanya kepada Saidina Ali mengapa tidak jadi membunuhnya. Maka Saidina Ali menjawab: “Aku takut bahawa aku membunuhmu bukan kerana Allah tetapi kerana marah kepada kamu kerana meludahku.” Hebatnya Saidina Ali masih lagi menggun
akan pertimbangan akal dan syariat walaupun ketika marah.
Cabarlah diri, kita mampu melakukannya ;)

Wednesday, February 3, 2010

Wajah baru LOGO KRU

Alhamdulillah~ Syukur ke hadrat ilahi. Sebuah penantian berakhir. Untuk makluman, LOGO KRU yang rasmi secara muktamadnya adalah seperti grafik yang terpampang di atas. Sahabat-sahabat dari seluruh cawangan KRU bolehlah menggunakan logo rasmi ini sebermulanya 1 Februari 2010. Tahniah buat KRU khususnya kepada pereka dan para juri! Semoga KRU terus gemilang dan lebih kukuh bertapak di bumi Sabah.

Rujukan: myikhwanfiideen

Sunday, January 31, 2010

Celik Minda, Apa Yang Dilupa?

Sebuah sorotan kegemilangan Islam..

Dan zaman itu telah berlalu, sebuah peristiwa agung yang sewajarnya memberi impak mendalam di setiap kalbu umat Islam. Namun mungkin ada antara kita yang tidak pernah merasai kesan kewujudannya, rentetan realiti dunia yang kian berubah menghanyutkan membawa jati diri muslim seorang insan.

Zaman ketika mana Islam berada dipuncak, sudah terlalu jauh meninggalkan kita. Runtuhnya kerajaan Turki Uthmaniyyah pada tahun 1924 merupakan satu pelengkap kepada kejatuhan kekuasaan Islam yang sebenarnya telah lama retak, hanya menanti masa untuk tumbang menyembah bumi.

Tampuk kekuasaan terhadap umat manusia keseluruhan kemudiannya digantikan Barat, dengan membawa nilai kebendaan, materialistik yang beransur-ansur menyedut roh beragama dalam diri manusia. Dunia sekarang tiada lagi sempadan yang menjadi pemisah antara negara dan bangsa. Itulah globalisasi, yang sebenarnya merupakan satu kesan dan kejayaan hegemoni Barat.

Tapi samada kita sedar ataupun tidak, Barat sudah tiada apa lagi yang mampu disumbangkan, tiada lagi sumbangan nilai yang melayakkan mereka menjadi pemimpin umat manusia. Umat manusia dahagakan nilai yang lengkap, bukan sekadar nilai kebendaan tapi juga nilai-nilai yang mampu memimpin dan mengawal kemajuan ciptaan sains dan teknologi yang kononnya dipelopori Barat. Dan hanya Islamlah yang merangkumi kesemua nilai-nilai tersebut.

Berhadapan dengan situasi ini, timbul persoalan bila dan dimanakah perlu kita mulakan kebangkitan ini? Apa yang pasti umat Islam sekarang bukanlah 'umat Islam' yang sebenar kerana umat Islam dalam erti kata yang sebenar bukanlah mereka yang hidup di bumi yang majoritinya muslim, bukan mereka yang mewarisi Islam dari nenek moyang mereka tetapi umat Islam yang sebenar adalah mereka yang mengamalkan ajaran Islam secara syumul dalam kehidupan mereka. Untuk umat Islam kembali memimpin umat Islam perlu bangkit semula dari keadaan ini.

Asas generasi Emas Islam sepanjang zaman..

Jika kita melihat kepada Generasi Emas Islam, yang tidak lain tidak bukan generasi para sahabat yang lahir dari didikan secara langsung dari baginda Rasulullah, kita pasti akan menjumpai satu perkara yang akan menjadi asas kepada kebangkitan Islam. Jika kita merenung sejenak kenapa tidak lahir lagi generasi sehebat generasi pertama Islam ini, mungkinkah kerana Rasulullah telah meninggalkan kita, bermakna tiada lagi individu yang dapat membimbing kita? Jika itulah sebabnya mana mungkin Allah mengutuskan Nabi Muhammad sebagai utusan terakhir, mana mungkin dakwah ini meliputi seluruh umat manusia hingga ke akhir zaman.

Sudah pasti itu bukan sebabnya, sebab yang sebenarnya adalah kerana sumber panduan hidup mereka adalah Al-Quran, semata-mata Al-Quran. Segala apa yang dilakukan hanyalah berpandukan Al-Quran. Tapi apa yang berlaku selepas itu, sumber panduan hidup manusia bercampur baur. Falsafah Yunani, cerita-cerita israiliat Yahudi, dan saki-baki tamadun lampau yang sukar dikikis, semuanya bercampur baur dengan Al-Quran.

Cara penerimaan ilmu dan pengajaran mereka juga jauh berbeza dari generasi selepas mereka. Mereka belajar bukan untuk mendapatkan ilmu semata-mata, bukan untuk mendapatkan hiburan, bukan untuk mendengar cerita-cerita di dalam Al-Quran tetapi mereka belajar semata-mata untuk bertindak. Mereka belajar untuk mengetahui apa yang mereka perlu buat, apa tuntutan Al-Quran terhadap mereka dari segi akhlak dan hubungan dengan Allah. Berbeza sekali dengan generasi selepas mereka yang kebanyakannya mencari ilmu sekadar untuk menambahkan 'koleksi' ilmu mereka, untuk ditunjukkan kepada masyarakat supaya mereka dikagumi.

Pada zaman itu, zaman gemilang Islam, zaman Rasulullah dan sahabat baginda, apabila sahabat-sahabat mula memeluk Islam, menggapai cahaya kebenaran Islam dan meninggalkan kegelapan jahiliah, mereka benar-benar berubah, mereka bagaikan manusia berbeza. Jahiliah ditinggalkan bukan sekadar pada zahirnya sahaja, bukan hanya cara islam menjadi cara hidupnya, bahkan pada hati dan perasaan mereka juga telah terbina tembok pemisah yang kukuh antara zaman jahiliah dengan zaman baru mereka, zaman Islam.

Jika kita menganggap zaman jahiliah sudah lama berlalu, kita sememangnya telah tersilap, kerana jahiliah di zaman ini lebih gelap lagi hingga hampir setiap sesuatu di sekeliling kita mempunyai unsur jahil.

Maka ambillah ibrah dari segenap perjalanan dakwah baginda Nabi Muhammad, itulah perjalanan yang menghasilkan generasi terbaik Islam. Justeru, sebagai langkah pertama yang perlu diambil untuk mencetuskan kebangkitan semula Islam adalah dengan menghapuskan jahiliah, mencabut terus akar jahiliah yang terpacak kukuh selama ini.

Nyata-nyatakan misi anda. Kita ada amanah, jom laksana!

Muhasabah Perjuangan

"Penatla kak. Sy sorg ja yang brgerak di sini. Kawan2 yg rapat dulu pula makin jauh. Sy xtahan bila dorang asyik critakan keburukan sy dgn orang lain." SMS dari seorang sahabat di zon pedalaman.

"Lemahlah ukhti. Sejak akhir2 ni parent selalu sekat bila mau keluar berprogram. Susahlah macam ni." Luahan melalui SMS dari seorang lagi sahabat yang dikenali sewaktu mengikuti program di kawasan sejuk dan nyaman di bumi Sabah.

Hidup di dunia ini tidak lari dari bersemuka mehnah dan tribulasi. Dugaan dan cabaran adalah saringan daripada Allah untuk mendidik kesabaran orang-orang mukmin. Saringan inilah yang akhirnya menjadikan seseorang hamba itu lebih kental dan tabah dalam mengharungi kehidupan yang penuh dengan pancaroba.

Firman Allah SWT;
Apakah manusia menyangka mereka tidak diuji dengan hanya mereka berkata “Kami telah beriman”. Sesungguhnya Kami telah uji orang-orang yang dahulu dari mereka. Maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Ia mengetahui orang-orang yang dusta
(Al-Ankabut : 2-3)

Firman Allah SWT;
Dan tentu Kami akan uji kamu hingga Kami buktikan orang-orang yang berjuang (bersungguh-sungguh) di antara kamu dan orang-orang yang sabar, dan Kami nyatakan hal-hal kamu
(Muhammad : 31)

Jadi begitulah, tidak ada manusia yang minta diuji, malah setiap makhluk sentiasa memohon kepada Allah agar selamat dalam setiap derap langkah kehidupan. Namun cubaan bagi orang mukmin adalah dengan ujian iman yang begitu dasyat. Allah menguji keimanan seseorang untuk menapis adakah mereka benar-benar beriman atau sebaliknya. Manusia yang berakal sering mengharapkan agar jiwanya gagah dan kuat dalam melanjutkan perjalanan kehidupan yang begitu menyempitkan jiwa dan hati.

Maka sentiasalah menanamkan di dalam jiwa perasaan ma’iyatullah (merasakan diri sentiasa bersama Allah) dalam setiap langkah, gerak geri, bahkan pada setiap detik dan waktu. Lebih-lebih lagi di saat itu kita terpaksa menempuh hambatan ujian yang benar-benar menguji keimanan dan kekentalan jiwa kita.

Tempuhilah dan harungilah dengan sebaik-baiknya. Sesungguhnya, sesiapa Allah bersama dengannya, pasti ia tidak akan kehilangan sesuatu pun walaupun ia terpaksa menelan pahit dan perit maung. Sesiapa yang Allah tidak bersama denganNya, maka ia akan kehilangan dan sesat dalam kehidupan walaupun kehidupan yang dilaluinya begitu menyeronokkan dan mengasyikkan. Al-Iyazubillahi minzalik..

Ya Allah, aku memohon perlindunganMu dari sebarang ujian yang mampu mematahkan semangatku dan sahabat seperjuanganku. Aku berlindung dari sifat putus asa dan lemah dalam melangkah. Pimpinlah setiap derap langkah kami ya Allah dalam meneruskan lagi lanjutan perjalanan kehidupan dan dakwah ini.